Surah 9: At-Taubah (19 – 22)

Rahmat Allah Swt bagi Orang Beriman, Berhijrah dan Berjihad

Surah 9: At-Taubah (19 – 22)


Ayat 19

أَجَعَلْتُمْ سِقَايَةَ ٱلْحَآجِّ وَعِمَارَةَ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ كَمَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَجَـٰهَدَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ لَا يَسْتَوُۥنَ عِندَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Adakah kamu sifatkan hanya perbuatan memberi minum kepada orang-orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haram itu sama seperti orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian) tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim.

Al-‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas rama, berkaitan dengan ayat ini, dia berkata orang-orang musyrik Quraisy mengatakan, “Memakmurkan Baitullah dan memberi minum kepada orang-orang yang melakukan haji itu lebih utama daripada orang yang beriman dan berjihad.” Mereka berasa bangga dan menyombongkan diri dengan keberadaan mereka sebagai penduduk Tanah Suci dan yang memakmurkan Baitullah. Maka Allah menjelaskan, bahawa iman dan jihad bersama dengan Rasulullah saw itu lebih utama daripada memakmurkan Baitullah dan memberi minum para hujjaj (jama’ah haji) yang dilakukan oleh orang-orang musyrik itu. Semua amal perbuatan itu tidak berguna di sisi Allah, jika mereka masih berada dalam kemusyrikan. Kemudian Allah berfirman, “Mereka tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim.” Ini bermaksud mereka itu adalah orang-orang yang menyangka bahawa merekalah orang-orang yang memakmurkan Baitullah, tetapi Allah menamakan mereka sebagai orang-orang yang zalim disebabkan kesyirikan mereka, sehingga perbuatan mereka memakmurkan Baitullah itu adalah sia-sia.

(HR. At-Tabari)

Imam Muslim meriwayatkan daripada Nu’man bin Basyir, dia berkata, “Aku pernah berada hampir dengan mimbar Rasulullah saw, lalu ada seseorang yang berkata, “Aku tidak peduli lagi jika setelah Islam, amalku hanya memberi minum orang yang mengerjakan haji.” Yang lain berkata, “Aku tidak peduli lagi jika setelah Islam amalku hanya mengurus Masjidil Haram.” Ada juga yang berkata, “Berjihad di jalan Allah lebih utama daripada apa yang kamu katakan,” maka Umar membantah mereka dan berkata, “Janganlah kamu tinggikan suaramu berhampiran mimbar Rasulullah saw,” sedangkan saat itu adalah hari Jumaat. Apabila aku telah solat Jumaat, aku akan masuk (menemui Baginda) dan bertanya tentang masalah yang kamu perselisihkan. Maka Allah menurunkan ayat ini.”

Ayat 20

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَآئِزُونَ

(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang beriman kepada Allah Ta’ala dan RasulNya, berhijrah dari Mekah ke Madinah, berjihad pada jalan Allah Swt dengan mengorbankan harta benda dan jiwa mereka untuk menegakkan kalimah Allah Swt, mereka itu orang-orang yang lebih tinggi darjatnya di sisi Allah Swt dan merekalah orang-orang yang memperoleh kejayaan. Firman-Nya:

“Allah menjanjikan kepada orang-orang mukmin, lelaki dan perempuan, (akan mendapat) syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, dan (mendapat) tempat-tempat yang bagus di syurga ‘Adn. Dan keredhaan Allah adalah lebih besar; itu adalah keberuntungan yang besar.”

At-Taubah 9:72

Ayat 21

يُبَشِّرُهُمْ رَبُّهُم بِرَحْمَةٍ مِّنْهُ وَرِضْوَٰنٍۢ وَجَنَّـٰتٍ لَّهُمْ فِيهَا نَعِيمٌ مُّقِيمٌ

Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredhaan serta Syurga; mereka beroleh di dalam Syurga itu nikmat kesenangan yang kekal.

Ayat 22

خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عِندَهُۥٓ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya orang-orang mukmin yang beriman, beramal soleh, berhijrah dan berjihad pada jalan-Nya dengan harta dan diri mereka demi mencari keredhaan-Nya, bagi mereka berita gembira daripada Rabb mereka. Mereka akan dikurniakan dengan rahmat yang luas dan keredhaan yang tiada lagi kemurkaan selepas itu serta tempat kembali mereka adalah syurga yang abadi dan kenikmatan yang berterusan.