Muqaddimah-At-Taubah

Surah At-Taubah

Surah At-Taubah


Klasifikasi Surah:Madaniyyah
Surah:9
Juz:10 (1 – 93)
11 (94 – 129)
Jumlah Ayat:129
Maksud Surah:Pengampunan
Nama Lain:Baraah bermaksud berlepas diri
Al-Faadhihah yang bermaksud yang mendedahkan keburukan

Intisari Surah

Surah ini dinamakan At-Taubah yang bermaksud pengampunan berhubung kata At-Taubah berulang kali disebut dalam surat ini. Dinamakan juga dengan Baraah yang bermaksud berlepas diri yang di sini maksudnya pernyataan pemutusan perhubungan, disebabkan kebanyakan pokok pembicaraannya tentang pernyataan pemutusan perjanjian damai dengan kaum musyrikin.

Berlainan dengan surah-surah yang lain, permulaan surah ini tidak terdapat basmalah, kerana surah ini adalah pernyataan perang dengan makna bahawa segenap kaum muslimin dikerahkan untuk memerangi seluruh kaum musyrikin, sedangkan basmalah bernafaskan perdamaian dan cinta kasih Allah.

Surah ini diturunkan pada tahun 9 Hijrah di Madinah selepas setahun Pembukaan Mekah.

Dengan jatuhnya Mekah dan kalahnya kaum musyrikin di dalam Peperangan Hunain, pengaruh dan kekuatan musyrikin hampir-hampir tidak ada. Malah sebahagian besar kaum musyrikin telah bertaubat dan memeluk Islam. Hanya tinggal sebahagian kecil saja.

Pada tahun 9 Hijrah, Rasulullah saw telah mengutuskan Saidina Abu Bakar ra untuk memimpin kaum muslimin menunaikan haji. Setelah Saidina Abu Bakar ra berangkat ke Mekah, Rasulullah saw pula mengutuskan Saidina Ali ra menyusul Saidina Abu Bakar ra ke sana. Tugas Saidina Ali ra ialah untuk menghantarkan utusan peraturan yang telah turun dari langit mengenai hubungan dengan kaum musyrikin.

Ketika wuquf di Arafah ataupun sampainya waktu untuk bermalam di Mina, Saidina Abu Bakar ra meminta Saidina Ali ra membacakan utusan Rasulullah saw itu kepada hadirin. Saidina Ali ra telah membacakan surah At-Taubah bahawa semua perjanjian yang pernah dimeterai di antara Rasulullah saw dengan kaum musyrikin, mulai saat itu, sudah terbatal.

Ini adalah kerana sudah berkali-kali timbul kejadian, setelah perjanjian diikat, kaum musyrikin cuba memungkiri perjanjian tersebut. Sebagaimana yang berlaku setelah perjanjian Hudaibiyah dimeterai, iaitu mereka berjanji untuk tidak mengadakan peperangan selama 10 tahun, tetapi baru nak masuk dua tahun perjanjian tersebut, kaum musyrikin telah bertindak tidak jujur dengan memberi bantuan kepada kabilah yang ingin berperang dengan kabilah yang dilindungi oleh Rasulullah saw. Maka dengan sebab itu juga pada tahun ke 8 Hijrah Rasulullah saw telah bertindak dengan menyerang dan menakluk kota Mekah.

Begitu jugalah ketika berlakunya Peperangan Tabuk. Kaum munafikin telah menunjukkan sikap tidak jujur dan kaum musyrikin pula mula memungkiri janji mereka kerana melihat bahawa persiapan Peperangan Tabuk itu adalah sangat sukar. Dengan itu turunlah ayat 58 dari surah Al Anfal di mana Allah berfirman yang maksudnya:

“Dan jika kamu mengetahui pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berkhianat.”

Dari bukti dan pengalaman-pengalaman yang telah banyak berlaku dapatlah disimpulkan bahawa kaum musyrikin, kalau masih dapat mencari dalih, mereka akan berusaha untuk melepaskan diri dari ikatan janji dengan cara yang tidak jujur.  

Sekarang dengan kemenangan demi kemenangan Islam yang berturut-turut, sehingga keperibadian yang dipertahankan oleh kaum musyrikin itu telah tidak ada lagi, dan seluruh kekuasaan sudah berada di tangan Rasulullah saw, maka datanglah ketentuan yang menyatakan bahawa mulai saat itu segala perjanjian yang pernah diikat di antara kaum musyrikin dengan Rasulullah saw sudah terhapus semuanya.

Menurut As Syeikh Dr Muhammad Ali As Sobuni, surah ini mempunyai 2 tujuan utama selain daripada tujuan-tujuannya yang lain.

Tujuan pertama: Penerangan tentang undang-undang muamalat dengan orang-orang musyrikin dan ahli kitab.

  • Rasulullah saw sebelum ini mempunyai perjanjian-perjanjian dengan kaum musyrikin. Tetapi kaum musyrikin telah beberapa kali melanggar perjanjian dengan Rasulullah saw malah bekerjasama dengan kaum Yahudi daripada Bani Nadhir, Bani Quraizah, Bani Qainuqa’ untuk mengkhianati Rasulullah saw. Lalu turunlah surah ini untuk membatalkan perjanjian-perjanjian ini selepas beberapa kali Rasulullah saw dikhianati.
  • Surah ini turun pada tahun 9 Hijrah. Sebelum turunnya surah ini, orang-orang musyrikin dibenarkan melakukan ibadah mereka di Kaabah, bahkan sebahagian daripada mereka melakukan tawaf tanpa pakaian. Apabila turunnya surah ini, orang-orang musyrikin tidak lagi dibenarkan melakukan ibadah di Kaabah pada tahun-tahun yang seterusnya.

Tujuan kedua: Menyingkap keadaan umat Islam ketika Rasulullah saw memerintahkan mereka untuk memerangi Rom dalam Peperangan Tabuk.

  • Surah ini menceritakan tentang sebahagian daripada mereka yang tidak ikut berperang bersama dengan Rasulullah saw dalam peperangan Tabuk ketika diperintahkan kepada mereka. 
  • Surah ini juga menceritakan tentang orang-orang munafik serta perancangan dan tipu daya jahat mereka. Sebahagian para sahabat memanggil surah ini dengan nama Surah Al-Faadhihah yang bermaksud “Surah Yang Mendedahkan Keburukan” kerana surah ini mendedahkan perancangan jahat orang-orang munafik untuk menghancurkan Islam.