Surah 9: At-Taubah (1 – 4)

Pengisytiharaan Putus Perjanjian dengan Orang Musyrik

Surah 9: At-Taubah (1 – 4)


Ayat 1

بَرَآءَةٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ إِلَى ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتُّم مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya terhadap kaum kafir musyrik yang kamu mengikat perjanjian setia (dengan mereka).

Sebelum turun ayat ini, Rasulullah saw telah melakukan beberapa perjanjian dengan kaum musyrik Mekah. Antara lain ialah perjanjian agar kaum muslim tidak dihalang untuk melaksanakan umrah, perjanjian untuk tidak melakukan perang pada bulan-bulan haram (bulan-bulan mulia) dan perjanjian-perjanjian damai dengan kabilah-kabilah Arab sampai waktu tertentu.

Namun akhirnya mereka merosakkan perjanjian tersebut. Maka, dengan turunnya surah At-Taubah atau Bara’ah ini, kaum muslim diperintahkan untuk tidak melakukan hubungan lagi dengan mereka. Inilah pernyataan pemutusan hubungan daripada Allah swt dan RasulNya kepada orang-orang musyrik.

Namun begitu, mereka tetap diberikan waktu untuk memikirkan kembali sama ada memilih untuk masuk Islam dengan memegang perjanjian bersama ataupun berperang. Di samping itu, dengan penundaan tersebut diharapkan mereka dapat mempersiapkan diri, seandainya mereka memilih untuk berperang, sehingga perang berjalan secara adil.

Dalam tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa ayat ini turun ketika Rasulullah saw dan para sahabatnya kembali dari perang Tabuk pada tahun ke-9 Hijrah. Baginda melantik dan mengutus Abu Bakar As-Siddiq ra sebagai pemimpin rombongan haji pada tahun itu untuk membimbing kaum muslimin dalam melaksanakan ibadah haji. Ini kerana Baginda tidak suka berada bersama-sama orang-orang musyrik dalam melaksanakan ibadah haji disebabkan kebiasaan mereka melakukan tawaf dengan keadaan telanjang.

Ketika Abu Bakar ra menjalankan tugasnya sebagai pemimpin rombongan haji pada tahun itu, maka turunlah surah Bara’ah (At-Taubah) berkaitan dengan pembatalan perjanjian antara Rasulullah saw dengan kaum musyrikin yang telah pernah mereka sepakati.

Kemudian Baginda mengutus ‘Ali bin Abi Talib ra untuk menyertai ibadah haji bersama-sama dengan rombongan Abu Bakar ra untuk mengumumkan kepada orang-orang musyrik bahawa mereka tidak dibenarkan melakukan ibadah haji setelah tahun itu.

Lalu Ali ra mengumumkan pemutusan perjanjian kepada sesiapa sahaja yang memiliki perjanjian dengan orang-orang mukmin dengan membaca ayat ini, “(Ini adalah) pemutusan tanggungjawab (pembatalan perjanjian) dari Allah dan RasulNya” Dia mengatakan:

“Wahai sekalian manusia, tidak akan masuk syurga orang-orang yang kafir dan setelah tahun ini tidak ada seorang musyrik pun yang boleh melakukan haji, tidak dibolehkan seseorang tawaf di Baitullah dengan bertelanjang. Sesiapa sahaja yang memiliki perjanjian dengan Rasulullah saw, maka perjanjian itu berlaku sehingga berakhir tempoh perjanjian.”

Ayat 2

فَسِيحُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى ٱللَّهِ ۙ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُخْزِى ٱلْكَـٰفِرِينَ

Oleh itu hendaklah kamu (hai kaum musyrik) bergerak di muka bumi (dengan bebasnya) selama empat bulan, dan ketahuilah bahawa kamu tidak terlepas dari (azab seksa) Allah. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah akan menghina orang-orang yang kafir (dengan bala bencana di dunia dan azab seksa di akhirat).

Kaum musyrik bebas untuk bergerak dengan jaminan keamanan di muka bumi selama empat bulan. Jika mereka mahu memeluk Islam, itu adalah terbaik bagi mereka tetapi sekiranya mereka mahu meninggalkan Jazirah Arab, mereka bebas melakukannya. Ini kerana jika mereka tetap tinggal dalam keadaan kafir setelah berakhir tempoh empat bulan, maka tidak ada lagi keamanan bagi mereka.

Tempoh empat bulan ini adalah bagi mereka yang ada perjanjian kurang daripada empat bulan atau orang yang mempunyai perjanjian secara bebas iaitu tiada had masa.

Namun bagi mereka yang ada perjanjian dengan orang-orang Islam lebih daripada empat bulan contohnya enam bulan, maka mereka ini dikecualikan disebabkan oleh perjanjian yang telah dipersetujui bersama kecuali mereka memungkiri janji.

Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang yang mengikat perjanjian selama masa perjanjian berlangsung, bahawa walaupun mereka aman, namun sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan Allah swt dan tidak akan terlepas daripada azabNya. Sesiapa sahaja yang tetap berada dalam kesyirikan, maka Allah swt akan menghinanya. Hal inilah yang menyebabkan mereka masuk Islam, kecuali orang-orang yang keras hati dan tidak peduli terhadap ancamanNya.

Allah swt menghina orang-orang kafir di dunia ini dengan menghalalkan darahnya. Manakala di akhirat nanti mereka akan diazab dalam api neraka.

Secara kesimpulannya, pihak musyrikin ada pilihan:

  • Masuk Islam dan mereka akan selamat; atau
  • Bersiaplah dengan segala kelengkapan perang kerana selepas empat bulan itu, pihak Islam akan menyerang mereka; atau
  • Larilah kalau mereka mampu. Namun mereka tidak akan dapat lari ke mana-mana lagi. Mereka akan tetap kena balasan dari Allah.
Ayat 3

وَأَذَٰنٌ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦٓ إِلَى ٱلنَّاسِ يَوْمَ ٱلْحَجِّ ٱلْأَكْبَرِ أَنَّ ٱللَّهَ بَرِىٓءٌ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ۙ وَرَسُولُهُۥ ۚ فَإِن تُبْتُمْ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَإِن تَوَلَّيْتُمْ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّكُمْ غَيْرُ مُعْجِزِى ٱللَّهِ ۗ وَبَشِّرِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Dan inilah perisytiharan dari Allah dan RasulNya kepada umat manusia, (diisytiharkan) pada Hari Raya Haji yang terbesar, bahawa sesungguhnya Allah dan RasulNya memutuskan tanggungjawab terhadap orang-orang musyrik; oleh itu jika kamu (wahai kaum musyrik) bertaubat (dari kufur) maka yang demikian adalah baik bagi kamu; dan jika kamu berpaling (ingkar), maka ketahuilah sesungguhnya kamu tidak akan dapat melepaskan diri dari (azab seksa) Allah. Dan khabarkanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir (bahawa mereka akan ditimpakan) dengan azab yang tidak terperi sakitnya.

Inilah janji Allah Ta’ala kepada kaum mukmin, iaitu Dia memberi kemenangan kepada agamaNya, meninggikan kalimahNya serta mengecewakan musuh-musuhNya, iaitu kaum musyrik yang sebelumnya mengusir Rasulullah saw dan para sahabatnya dari Mekah.

Allah swt menolong RasulNya dan kaum mukmin sehingga Mekah dapat ditakluki. Kaum musyrik dikalahkan dan kaum muslim berkuasa di negeri itu. Pada hari Haji Akbar (hari Nahar), iaitu waktu berkumpulnya manusia sama ada yang muslim atau yang kafir daripada semua jazirah (semenanjung) Arab, Rasulullah saw menyeru manusia, bahawa Allah swt dan RasulNya berlepas diri daripada kaum musyrik. Oleh itu, jika mereka ditemui, maka mereka akan dibunuh, dan dikatakan kepada mereka, “Janganlah kalian mendekati Masjidil Haram setelah tahun ini (setelah tahun 9 Hijrah).”

Para mufassir berbeza pendapat tentang apa yang dimaksudkan dengan haji akbar. Ada yang mengatakan hari Nahar, ada yang mengatakan hari Arafah. Namun yang dimaksudkan dengan haji akbar dalam ayat ini adalah haji pada tahun ke 9 Hijrah.

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata,

“Aku diutus oleh Abu Bakar ra pada musim haji tersebut bersama-sama orang-orang yang ditugaskan menyampaikan maklumat pada hari Nahar (10 Zulhijjah). Mereka menyampaikan maklumat di Mina, bahawa setelah tahun ini tidak boleh ada seorang musyrik pun melakukan haji dan melakukan tawaf dengan telanjang.” Humaid (salah seorang daripada perawi dalam riwayat ini) berkata, “Kemudian Nabi saw terus mengutus ‘Ali ra dan memerintahkannya untuk mengumumkan berita pemutusan hubungan.” Abu Hurairah ra berkata: “Lalu ‘Ali ra bersama kami mengumumkan berita itu kepada orang-orang musyrik di Mina pada hari penyembelihan korban tentang pemutusan hubungan dan bahawa setelah tahun ini tidak boleh seorang musyrik pun melakukan ibadah haji dan melakukan tawaf di Kaabah dengan telanjang.”

(HR. Al-Bukhari)

Ayat 4

إِلَّا ٱلَّذِينَ عَـٰهَدتُّم مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ثُمَّ لَمْ يَنقُصُوكُمْ شَيْـًٔا وَلَمْ يُظَـٰهِرُوا۟ عَلَيْكُمْ أَحَدًا فَأَتِمُّوٓا۟ إِلَيْهِمْ عَهْدَهُمْ إِلَىٰ مُدَّتِهِمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَّقِينَ

Kecuali mereka yang kamu mengikat perjanjian setia (dengannya) dari orang-orang musyrik, kemudian mereka tidak mencabuli perjanjian kamu itu sedikitpun, dan mereka tidak menolong seorangpun yang memusuhi kamu, maka sempurnakanlah kepada mereka perjanjian mereka sehingga (habis) tempohnya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Allah memberikan pengecualian kepada sebahagian orang-orang musyrik yang berikat dengan perjanjian damai dengan orang-orang Islam kerana mereka tidak memungkiri janjinya, bahkan masih tetap setia dengan perjanjian tersebut.

Pihak Islam diwajibkan untuk memenuhi perjanjian dengan orang-orang musyrik sehingga tamat tempohnya, ialah golongan yang mematuhi syarat-syarat berikut:

  • Mereka tidak mengkhianati isi perjanjian tersebut; dan
  • Mereka tidak membantu mana-mana pihak yang menentang Islam.

Allah menyebut tentang takwa kerana hendak mengingatkan umat Islam, walaupun ketika itu mereka ada kuasa, mereka tetap kena takut kepada Allah dan jangan salah gunakan kuasa yang Allah telah berikan.