Surah 8: Al-Anfal (72 – 75)

Persaudaraan Sesama Muslim

Surah 8: Al-Anfal (72 – 75)


Ayat 72

إِنَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوٓا۟ أُو۟لَـٰٓئِكَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَلَمْ يُهَاجِرُوا۟ مَا لَكُم مِّن وَلَـٰيَتِهِم مِّن شَىْءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُوا۟ ۚ وَإِنِ ٱسْتَنصَرُوكُمْ فِى ٱلدِّينِ فَعَلَيْكُمُ ٱلنَّصْرُ إِلَّا عَلَىٰ قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَـٰقٌ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), mereka semuanya menjadi penyokong dan pembela antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.

Allah Ta’ala menyebutkan tiga golongan orang-orang beriman:

Golongan Pertama

Orang-orang Muhajirin adalah golongan pertama yang berhijrah sebelum terjadinya Perang Badar sehingga terjadinya Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam Hijriah. Mereka meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka di Mekah berhijrah ke Madinah untuk menegakkan agama Allah swt dan membantu RasulNya. Mereka rela mengorbankan jiwa dan harta mereka kerana Allah Ta’ala. Oleh itu, pastilah golongan ini paling mulia dan sempurna keimanan mereka.

Golongan Kedua

Orang-orang Ansar iaitu penduduk Madinah yang memberikan tempat tinggal  di rumah mereka untuk Rasulullah saw dan para sahabat yang berhijrah ke tempat mereka dan memberikan pertolongan kepada mereka sehingga Madinah menjadi ibu kota Islam. Mereka bersatu dalam perjuangan menegakkan hukum Allah Ta’ala. Oleh itu, Dia memuji kaum Muhajirin dan Ansar dalam banyak ayat Al-Quran kerana sifat mereka yang saling membantu, antaranya ialah firman-firmanNya:

“Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama (masuk Islam) daripada golongan Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan merekapun redha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar.”

At-Taubah 9:100

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan orang-orang Ansar yang mengikuti Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan daripada mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka.”

At-Taubah 9:117

Golongan Ketiga

Orang-orang beriman yang tidak berhijrah dari Mekah ke Madinah. Mereka tetap berada di bawah kekuasaan musyrikin. Mereka masih tinggal di negeri kaum musyrikin bukanlah atas kehendak mereka tetapi dalam keadaan terpaksa dan tidak dapat melarikan diri berhijrah ke tempat lain. Mereka ini tidak berhak mendapat bahagian daripada ghanimah, tidak juga daripada satu perlima bahagian kecuali apabila mereka ikut berperang.

Namun apabila golongan ketiga ini meminta pertolongan kepada kaum muslimin kerana mereka ditindas dan dipaksa supaya meninggalkan agama mereka atau selalu dihalangi dengan kekerasan dalam mengamalkan syariat Islam, maka kaum muslimin diwajibkan memberikan pertolongan kepada mereka, bahkan jika perlu, mereka wajib mengadakan serangan dan peperangan, kecuali apabila antara kaum mukminin dan kaum musyrikin itu ada perjanjian damai atau perjanjian tidak saling menyerang.

Demikianlah hubungan antara dua golongan pertama dengan golongan ketiga ini, yang perlu diperhatikan dan diamalkan. Mereka perlu bertindak sesuai dengan ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Dia selalu melihat dan mengetahui apa yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.

Ayat 73

وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُن فِتْنَةٌ فِى ٱلْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.

Setelah Allah Ta’ala menyebutkan dalam ayat sebelum ini, bahawa sebahagian orang mukmin menjadi pelindung atau penolong bagi sebahagian yang lain, dalam ayat ini pula Dia menegaskan bahawa tidak boleh ada kesetiaan antara orang-orang mukmin dengan orang-orang kafir. Ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, daripada Usamah bin Zaid, bahawa Nabi saw bersabda: “Tidak (halal) saling mewarisi antara dua pemeluk agama. Seorang muslim tidak boleh mewarisi orang kafir dan begitu juga orang-orang kafir tidak boleh mewarisi orang muslim.” Kemudian Baginda membaca ayat ini.

Sekiranya kaum mukmin tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah swt iaitu tidak menjauhi orang-orang musyrik dan tidak menjadikan orang-orang mukmin sebagai pelindung maka akan terjadi fitnah yang besar iaitu berleluasanya syirik dan kemaksiatan.

Ayat 74

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلَّذِينَ ءَاوَوا۟ وَّنَصَرُوٓا۟ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ حَقًّا ۚ لَّهُم مَّغْفِرَةٌۭ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.

Ayat ini menjelaskan kelebihan kaum Muhajirin dan Ansar mengatasi kaum muslimin yang lain. Allah Ta’ala menyatakan bahawa mereka adalah orang-orang yang benar-benar beriman dengan sempurna kerana mereka telah membuktikan keimanan mereka kepada Allah swt dan RasulNya dengan perbuatan yang nyata semenjak bermula turunnya wahyu kepada Rasulullah saw sehinggalah terbinanya pemerintahan Islam di Madinah.

Orang-orang Ansar telah rela berkorban dengan harta benda mahupun jiwa untuk menegakkan agama Allah swt. Sekiranya tidak ada pertolongan dan bantuan sepenuhnya daripada mereka belum tentu kaum Muhajirin akan dapat membina kekuatan Islam dengan sempurna. Berkat keimanan dan persatuan yang kuat antara kedua-dua golongan ini dan kerjasama yang erat antara mereka, terbinalah kekuatan yang hebat yang tidak mampu dihapuskan oleh musuh-musuh Islam meskipun kekuatan mereka berlipat ganda banyaknya.

Oleh sebab kelebihan yang ada pada mereka itulah Allah swt menjanjikan keampunan daripada segala kesalahan yang pernah mereka lakukan sebelumnya. Ketika di akhirat kelak mereka disediakan syurga yang penuh dengan nikmat yang tiada tandingannya.

Ayat 75

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنۢ بَعْدُ وَهَاجَرُوا۟ وَجَـٰهَدُوا۟ مَعَكُمْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مِنكُمْ ۚ وَأُو۟لُوا۟ ٱلْأَرْحَامِ بَعْضُهُمْ أَوْلَىٰ بِبَعْضٍ فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, kemudian mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka adalah mereka dari golongan kamu. Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dalam ayat 72 yang lepas disebutkan tiga golongan orang-orang yang beriman. Dalam ayat ini disebutkan pula golongan yang keempat iaitu:

Golongan Keempat

Orang-orang yang terlambat masuk Islam, terlambat beriman dan terlambat pula berhijrah. Meskipun demikian mereka dapat ikut berjuang dengan ikhlas bersama-sama kaum muslimin. Mereka bersedia pula berkorban dengan harta dan jiwa seperti kawan-kawan mereka yang lebih dahulu masuk Islam.

Ini bermaksud setelah kaum Muhajirin dan Ansar, terdapat golongan yang beriman setelah era penghijrahan tersebut. Setelah beriman mereka melakukan kebaikan mengikuti amalan kaum Muhajirin dan Ansar. Mereka berhijrah dan berjihad pada jalan Allah swt. Oleh itu, mereka pun termasuk dalam golongan yang mulia dan di akhirat kelak mereka akan bersama-sama.

Sebagai penutup ayat ini, Allah swt menerangkan kedudukan Ulul Arham iaitu orang-orang yang mempunyai hubungan kerabat dibandingkan dengan kedudukan kaum muslimin umumnya. Ayat ini menunjukkan bahawa Ulul Arham yang mukmin lebih berhak dari segi pewarisan daripada kaum muslimin yang berhijrah dan dipersaudarakan, baik daripada kaum Muhajirin mahupun daripada kaum Ansar. Oleh sebab itu, mereka lebih berhak dalam hal menerima pertolongan, kesetiakawanan, pengurusan pelbagai perkara dan menjadi kewajipan membina hubungan antara mereka dengan bertolong-tolongan, waris-mewarisi dan mengangkat mereka menjadi wali dalam pernikahan dan sebagainya.

Ayat ini juga menasakhkan hukum pewarisan yang terjadi dengan sebab sumpah dan persaudaraan yang dibentuk. Maka dalam hal ini, Allah swt menetapkan hak pewarisan dalam Islam hanya berlaku kepada orang yang mempunyai hubungan kerabat sama ada melalui nasab atau perkahwinan, dan bukan atas hubungan persaudaraan keagamaan sebagaimana yang terjadi antara Muhajirin dan Ansar pada permulaan Islam. Oleh sebab itu, tidak ada yang menjadi ahli waris bagi seseorang selain kerabatnya, yang terdiri daripada Ashabul Furudh dan Ashabah. Maksud Ashabul Furudh dan Ashabah ada dijelaskan di dalam penghuraian ayat Surah An-Nisa’, ayat 11, 30 dan 176. Jika mereka tidak ada, maka yang mewarisinya adalah kerabat terdekat mereka daripada kalangan Dzawul Arham (hubungan rahim). Maksud, “Menurut (hukum) Kitab Allah” adalah menurut hukum dan syariatNya yang telah tercatat di Lauh Mahfuzh.