Perintah ketika Menghadapi Peperangan
Surah 8: Al-Anfal (45 – 47)
Ayat 45
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَٱثْبُتُوا۟ وَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Ayat ini merupakan ajaran daripada Allah Ta’ala kepada hamba-hamba-Nya yang beriman tentang adab-adab ketika berhadapan dengan musuh dan cara untuk menjadi berani pada ketika itu. Ini merupakan kaedah penting dalam peperangan.
Tetap teguh pada saat bertemu dengan musuh, bersabar ketika bertempur dengan mereka sehingga tidak boleh lari dan bersikap pengecut. Bertahan merupakan fokus utama dalam berperang dan faktor utama untuk sebuah kemenangan.
Terdapat beberapa kaedah yang disebutkan dalam ayat ini:
- Daripada ‘Abdullah bin Abi ‘Aufa, dia berkata bahawa Rasulullah saw pernah menunggu hari-hari Baginda dan kaum muslimin akan bertemu dengan musuh. Dan ketika matahari telah condong, Baginda berdiri di tengah-tengah mereka dan berseru:
“Wahai sekalian manusia, janganlah kamu mengharapkan agar bertemu musuh dan mohonlah keselamatan kepada Allah. Jika kamu bertemu dengan mereka, maka bersabarlah dan ketahuilah sesungguhnya syurga itu berada di bawah bayang-bayang pedang.”
Kemudian Rasulullah saw berdiri dan berdoa:
“Wahai Allah, Zat yang telah menurunkan Al-Quran, yang memperjalankan awan dan yang menghancurkan golongan musuh, kalahkanlah mereka dan tolonglah kami dalam melawan mereka.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
- Berzikir kepada Allah Ta’ala sebanyak-banyaknya dalam bentuk zikir dengan hati dan lidah, merendahkan diri, bertawakkal kepada-Nya semata dan memohon pertolongan serta kemenangan kepada-Nya kerana kemenangan tidak akan dapat dicapai tanpa pertolongan-Nya. Selalu mengingatkan kekuasaan dan janji-Nya akan memberi pertolongan kepada Rasul-Nya dan kaum muslimin. Setiap pejuang muslim harus yakin bahawa kemenangan itu berada di tangan Allah dan Allah akan memberikan kepada siapa yang dikehendaki-Nya.
Ayat 46
وَأَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَـٰزَعُوا۟ فَتَفْشَلُوا۟ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَٱصْبِرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ
Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
Allah Ta’ala menjelaskan lagi beberapa kaedah penting dalam peperangan iaitu:
- Taat kepada Allah Swt dan Rasul dalam setiap perkara yang diperintahkan dengan melakukannya dan meninggalkan setiap larangan-Nya.
- Bersatu dalam pasukan dengan tidak berselisih pendapat dan bertengkar sesama mereka kerana perbuatan ini boleh menjadikan mereka lemah sehingga akhirnya pihak musuh mendapat kemenangan.
- Bersabar iaitu tetap teguh pendirian semasa menghadapi musuh atau ketika melihat bilangan musuh berganda-ganda banyaknya. Allah Swt akan bersama dengan orang-orang yang sabar dan akan mengurniakan pertolongan-Nya kerana sesiapa yang diberikan pertolongan pasti tidak dapat dikalahkan.
Ayat 47
وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ خَرَجُوا۟ مِن دِيَـٰرِهِم بَطَرًا وَرِئَآءَ ٱلنَّاسِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ وَٱللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan menunjuk-nunjuk (kekuatan mereka) kepada orang ramai (kerana hendak meminta dipuji), serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka kerjakan.
Allah Swt mengingatkan kaum muslimin agar tidak meniru perbuatan orang-orang Quraisy Mekah yang keluar meninggalkan rumah mereka menuju ke Badar dengan penuh kesombongan. Mereka sombong kerana bilangan mereka ramai dan memiliki peralatan perang yang banyak. Di samping itu mereka menunjuk-nunjuk kepada orang ramai agar mereka dipuji bahawa mereka itulah yang kaya dan gagah lagi berani.
Tujuan mereka adalah untuk menghalang agama Islam daripada berkembang dan mencegah manusia dari jalan Allah Swt dengan membangkitkan permusuhan terhadap Nabi Muhammad saw dan berpaling daripada dakwahnya serta menyeksa para sahabat yang mengikuti jejak Baginda.
Ayat ini juga merupakan ancaman Allah Swt kepada orang-orang yang bersifat sombong dan suka menunjuk-nunjuk (riya’).
Allah Swt mengetahui segala apa yang mereka lakukan dan tujuan mereka melakukannya. Oleh itu, Dia akan membalas perbuatan mereka dengan seburuk-buruk seksaan.