Surah 8: Al-Anfal (29)

Manfaat Bertakwa

Surah 8: Al-Anfal (29)


Ayat 29

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِن تَتَّقُوا۟ ٱللَّهَ يَجْعَل لَّكُمْ فُرْقَانًا وَيُكَفِّرْ عَنكُمْ سَيِّـَٔاتِكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ۗ وَٱللَّهُ ذُو ٱلْفَضْلِ ٱلْعَظِيمِ

Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya orang-orang beriman bertakwa kepada-Nya dengan mengikuti perintah-perintah dan meninggalkan larangan-larangan-Nya, nescaya Dia akan memberikan Furqan iaitu pembeza antara yang hak dengan yang batil, antara Islam dan kebenaran dengan kekafiran dan kesesatan.

Furqan ini yang akan menjadi petunjuk serta cahaya yang akan menerangi hati orang-orang yang beriman. Cahaya yang terdapat dalam ilmu yang didasarkan kepada takwa itulah yang dimaksudkan dengan hikmah seperti dalam firman-Nya:

“Allah menganugerahkan Al-Hikmah (kefahaman yang mendalam tentang Al-Quran dan As-Sunnah) kepada siapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang dianugerahi hikmah, dia benar-benar telah dianugerahi kurniaan yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakal yang dapat mengambil pelajaran (daripada firman Allah).”

Al-Baqarah 2:269

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa Dia mempunyai kurniaan yang besar kerana Dia-lah yang dapat memberikan keampunan terhadap dosa serta menganugerahkan syurga kepada hamba-hamba-Nya yang dikasihi di akhirat kelak. Firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman (kepada para rasul), bertakwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan rahmatNya kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Al-Hadid 57:28