Surah 8: Al-Anfal (27)

Larangan Berkhianat

Surah 8: Al-Anfal (27)


Ayat 27

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَخُونُوا۟ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓا۟ أَمَـٰنَـٰتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).

Allah Ta’ala menyeru kaum muslimin agar mereka tidak mengkhianatiNya dan RasulNya dengan mengabaikan kewajipan-kewajipan yang dikenakan ke atas mereka dan melanggar larangan-laranganNya yang telah ditentukan dengan perantaraan wahyu.

Ayat ini juga merupakan seruan Allah Ta’ala agar kaum muslimin tidak mengkhianati amanah yang telah diberikan kepada mereka, iaitu dengan mengkhianati segala urusan yang berkaitan dengan umat, seperti urusan pemerintahan, peperangan dan urusan kemasyarakatan.

Perkara-perkara yang menjadi kewajipan untuk diikuti itu telah dinyatakan di dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Oleh itu, segala urusan kemasyarakatan tidak boleh bertentangan dengan prinsip-prinsip yang telah ditentukanNya. Itulah sebabnya Allah Ta’ala melarang kaum muslimin mengkhianati amanah kerana apabila amanah sudah tidak terpelihara lagi bererti hilanglah kepercayaan.

Apabila kepercayaan telah hilang maka hukum dan peraturan tidak akan terpelihara dan ketenangan hidup bermasyarakat tidak dapat dinikmati lagi. Kejahatan yang bermaharajalela dan kemaksiatan yang berleluasa akan memporak-perandakan hidup bermasyarakat semasa berada di dunia. Manakala di akhirat kelak, akan terjadi penyesalan yang abadi dan mendapat seksaan api neraka.

Khianat adalah sifat orang-orang munafik, sedangkan amanah adalah sifat orang-orang mukmin. Oleh itu, sifat khianat ini hendaklah dijauhi oleh orang-orang mukmin agar tidak dijangkiti penyakit nifak yang dapat mengikis keimanan. Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tanda-tanda orang munafik itu ada tiga. Apabila menuturkan kata-kata dia berdusta, dan apabila berjanji dia menyalahi, dan apabila diberi kepercayaan dia berkhianat.”

(HR. Muslim)