Surah 8: Al-Anfal (24 – 25)

Perintah untuk Memenuhi Seruan Allah dan Rasul

Surah 8: Al-Anfal (24 – 25)


Ayat 24

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱسْتَجِيبُوا۟ لِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ إِذَا دَعَاكُمْ لِمَا يُحْيِيكُمْ ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ يَحُولُ بَيْنَ ٱلْمَرْءِ وَقَلْبِهِۦ وَأَنَّهُۥٓ إِلَيْهِ تُحْشَرُونَ

Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna; dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

Muhammad bin Ishaq meriwayatkan daripada Muhammad bin Ja’far bin Az-Zubair, daripada ‘Urwah bin Az-Zubair tentang ayat, “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna;”, dia mengatakan maksudnya adalah apabila menyeru untuk berperang yang dengannya Allah swt memuliakan mereka setelah mendapat kehinaan, menguatkan mereka setelah lemah, memberikan perlindungan yang kukuh kepada mereka daripada musuh setelah mereka dikalahkan.

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud, “dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya”, ialah Allah menghalangi seorang mukmin daripada kekufuran dan seorang kafir daripada keimanan. Diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam al-Mustadrak secara mauquf (hanya sampai kepada Ibnu ‘Abbas ra), dia berkata, “(Hadis ini) sahih, sedang Al-Bukhari serta Muslim tidak mengeluarkannya.” Demikian juga Mujahid, Sa’id, ‘Ikrimah, Adh-Dhahhak, Abu Shalih, Athiyyah, Muqatil bin Hayyan dan As-Suddi berkata: “Dan banyak hadis yang datang daripada Rasulullah yang sesuai dengan ayat ini.”

Daripada Anas bin Malik ra berkata, Rasulullah saw sentiasa mengulangi doa ini:

“Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu.”

Anas berkata, “Kami bertanya kepada Baginda, ‘Wahai Rasulullah, kami telah beriman kepada kerasulanmu dan apa yang datang denganmu. Apakah kamu mengkhuatirkan keimanan kami?” Baginda bersabda:

“Sesungguhnya hati manusia seluruhnya ada di antara dua jemari Allah. Dia membolak-balikkannya sesuai dengan kehendakNya.”

(HR. Ahmad)

Ayat 25

وَٱتَّقُوا۟ فِتْنَةً لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ مِنكُمْ خَآصَّةً ۖ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Kemudian Allah Ta’ala menyeru orang-orang beriman agar memelihara diri mereka daripada seksaan yang tidak hanya khusus menimpa orang-orang zalim sahaja di kalangan mereka. Ini bermaksud seksaan itu tidak hanya bagi orang-orang yang melakukan kemaksiatan sahaja, tetapi seksaan itu akan menimpa mereka secara menyeluruh tanpa pilih kasih, meskipun terdapat orang-orang yang soleh berada di antara mereka. Oleh itu pentingnya mengamalkan amar makruf dan nahi mungkar dalam sesebuah masyarakat.

Daripada Jarir bin ‘Abdullah, Rasulullah saw bersabda:

“Tidaklah pada sesuatu kelompok manusia di antara mereka berlaku pelanggaran batasan Allah (maksiat), padahal orang yang tidak melakukan maksiat lebih kuat dan lebih banyak daripada yang melakukannya, namun tidak mahu mengubahnya melainkan Allah akan menyeksa mereka dengan seksaan yang sama rata.”

(HR. Ahmad)

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengingatkan orang-orang mukmin agar mereka itu mengetahui bahawa seksaan Allah swt sangatlah keras dan akan ditimpakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar hukumNya.