Surah 8: Al-Anfal (17 – 19)

Kemenangan kepada Pihak yang Benar

Surah 8: Al-Anfal (17 – 19)


Ayat 17

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ رَمَىٰ ۚوَلِيُبْلِىَ ٱلْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَآءً حَسَنًا ۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia lah yang menciptakan semua perbuatan hamba-hambaNya dan bahawa Dia lah Yang Maha Terpuji atas segala perbuatan baik yang mereka lakukan kerana Dia lah yang memberikan taufik dan pertolongan kepada mereka melakukannya.

Oleh sebab itulah, Allah swt menyatakan bahawa sebenarnya bukanlah mereka yang membunuh musuh-musuh mereka, tetapi Dia lah yang membunuh mereka. Ini bermaksud bukan disebabkan kekuatan kaum muslimin itu yang dapat membunuh musuh-musuh yang jumlahnya sangat ramai berbanding jumlah mereka yang sedikit. Namun Dia lah yang menjadikan mereka mampu menaklukkan musuh, sebagaimana firman-firmanNya:

“Sungguh Allah telah menolongmu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah……….”

Ali ‘Imran 3:123

“Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai para mukminin) di medan peperangan yang banyak…………..”

At-Taubah 9:25

Allah Ta’ala mengajarkan hamba-hambaNya bahawa kemenangan itu bukanlah pada banyaknya bilangan tentera, juga bukan kerana memakai baju besi dan peralatan, tetapi kemenangan itu tidak lain adalah daripada pertolonganNya. FirmanNya:

“………………Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Al-Baqarah 2:249

Kemudian Allah Ta’ala mengatakan kepada Rasulullah saw tentang segenggam debu yang dilemparkan oleh Baginda ke muka orang-orang kafir pada perang Badar, iaitu ketika Baginda keluar dari tempat berteduh. Ini Baginda lakukan setelah Baginda khusyu’ memanjatkan doa kepadaNya. Kemudian Baginda lemparkan segenggam debu itu kepada orang-orang kafir sambil bersabda: “Muka-muka yang buruk.” Lalu Rasulullah saw memerintahkan para sahabatnya untuk melakukan penyerangan dengan bersungguh-sungguh, lalu mereka melakukannya. Maka Allah Ta’ala pun menyampaikan lemparan itu ke mata orang-orang musyrik, sehingga tidak seorang pun daripada mereka kecuali terkena lemparan debu itu, sehingga mereka sibuk menguruskan mata mereka dan lupa kepada keadaan mereka yang sepatutnya melawan musuh.

Ibnu Jarir mentafsirkan ayat, “Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui,” bermaksud Allah Maha Mendengar dan mengabulkan doa, Maha Mengetahui siapa yang berhak mendapatkan pertolongan dan kemenangan.

Ayat 18

ذَٰلِكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ مُوهِنُ كَيْدِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Demikianlah (caranya nikmat yang dikurniakanNya kepada kamu), dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan tipu daya orang-orang yang kafir.

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan bahawa segala kurniaanNya kepada kaum muslimin itu adalah bertujuan melemahkan tipu daya orang-orang kafir di samping melemahkan serangan mereka kepada Nabi Muhammad saw dan kaum muslimin seluruhnya. Selain itu, tujuannya adalah untuk memberi semangat kepada kaum muslimin agar tetap berjuang menegakkan agama tauhid serta berbuat baik sesama mereka dalam membela serta menegakkan agama.

Ayat 19

إِن تَسْتَفْتِحُوا۟ فَقَدْ جَآءَكُمُ ٱلْفَتْحُ ۖ وَإِن تَنتَهُوا۟ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَإِن تَعُودُوا۟ نَعُدْ وَلَن تُغْنِىَ عَنكُمْ فِئَتُكُمْ شَيْـًٔا وَلَوْ كَثُرَتْ وَأَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Jika kamu (hai orang-orang musyrik) memohon supaya diberi kemenangan (bagi pihak yang benar) maka sesungguhnya kemenangan (yang kamu pohonkan) itu telah datang (dan disaksikan oleh) kamu; dan jika kamu berhenti (daripada memusuhi Nabi Muhammad s.a.w) maka yang demikian amat baik bagi kamu, dan jika kamu kembali (memusuhinya), Kami juga kembali (menolongnya mengalahkan kamu); dan golongan (angkatan perang) kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai; dan (yang demikian itu adalah kerana) sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.

Allah Ta’ala memberikan pernyataan yang ditujukan kepada orang-orang musyrikin bahawa apabila mereka ingin mencari keputusan mana satu antara kedua-dua pasukan tentera yang paling unggul dan paling mendapat petunjuk sehingga memperoleh kemenangan, maka telah jelaslah yang mendapat kemenangan itulah pasukan yang paling unggul dan paling mendapat petunjuk.

Pernyataan ini merupakan ejekan terhadap orang-orang musyrikin kerana pada akhir pertempuran perang Badar, kemenangan telah berpihak kepada kaum muslimin, sedangkan kaum musyrikin mengalami kehancuran dan kekalahan.

Imam Ahmad meriwayatkan ‘Abdullah bin Tha’labah, dia berkata bahawa Abu Jahal berdoa ketika dua pasukan bertemu, “Ya Allah, dia (Muhammad) lebih suka memutuskan hubungan silaturrahim dan suka datang membawa kepada kami sesuatu yang tidak kami kenali. Oleh itu binasakanlah dia esok.” Ternyata Abu Jahal lah yang diberikan keputusan dengan kehancurannya.

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya orang-orang musyrikin berhenti daripada memusuhi Nabi Muhammad saw dan pengikut-pengikutnya, maka sebenarnya hal itu lebih baik buat mereka.

Namun sekiranya orang-orang musyrikin membantah terhadap seruan ini dan kembali memusuhi serta memerangi Rasulullah saw dan pengikut-pengikutnya, maka Dia akan memberi pertolongan kepada RasulNya dan pengikutnya.

Allah swt sentiasa bersama dengan orang-orang yang beriman dan beramal soleh walaupun mereka lemah dan bilangan yang sedikit. Bantuan Allah swt sesuai dengan keimanan dan amalan yang mereka kerjakan.

Kemudian Allah Ta’ala menegaskan bahawa angkatan perang kaum musyrikin betapa pun kuatnya, tidak akan dapat menolak bencana atau malapetaka yang akan ditimpakan olehNya kepada mereka. Hal ini menunjukkan bahawa jumlah tentera yang banyak tidak selalu memberi kejayaan dalam peperangan, terkecuali jumlah yang banyak itu disertai dengan kekuatan jiwa dan kepercayaan kepada Allah ‘Azza wa Jalla.