Pertolongan Allah Swt terhadap Orang Islam
Surah 8: Al-Anfal (9 – 11)
Ayat 9
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَٱسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّى مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ مُرْدِفِينَ
(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut.
Terdapat beberapa hadis tentang ayat ini, antaranya:
- Imam Ahmad meriwayatkan, daripada Umar bin al-Khattab ra, dia berkata, “Ketika tiba perang Badar, Rasulullah saw melihat para sahabatnya yang jumlahnya dalam tiga ratus orang dan melihat pula ke arah kaum musyrikin yang jumlahnya dalam seribu orang, maka Nabi saw berpaling menghadap kiblat dan mengangkat kedua tangannya. Ketika itu Baginda memakai rida’ (sehelai kain yang menutupi bahagian atas badan). Baginda berdoa:
“Ya Allah! di mana janji yang Engkau janjikan kepadaku? Ya Allah! Penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah! Jika Engkau binasakan pasukan muslimin ini, maka Engkau tidak akan disembah di bumi selamanya.” Baginda terus berdoa kepada Allah Azza wa Jalla sehingga selendang Baginda jatuh. Abu Bakar mendatangi Baginda, lalu mengambil selendang tersebut dan meletakkan kembali pada Baginda serta memeluk daripada belakang. Abu Bakar berkata, “Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu, dan Dia akan memenuhi janji-Nya kepadamu.” Maka Allah menurunkan ayat ini
(HR. Ahmad, Muslim dan Tirmizi)
- Imam Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra dia berkata, Rasulullah saw berdoa ketika perang Badar:
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu, penuhilah apa yang Engkau janjikan kepadaku (untuk menghancurkan orang-orang kafir dan menolong Nabi-Nya). Ya Allah, jika sekelompok umat Islam ini binasa, nescaya Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selama-lamanya.”
Melihat Rasulullah saw berdoa secara berterusan, Abu Bakar memegang tangan Baginda sambil berkata, “Cukuplah wahai Rasulullah.” Kemudian Baginda bangun menuju ke arah musuh sambil membaca ayat, “Golongan itu pasti akan dikalahkan dan mereka akan mundur ke belakang.” (Surah Al-Qamar 54:45).
(HR. Al-Bukhari dan An-Nasa-i)
Nikmat-nikmat yang disebutkan dalam perang Badar ini ada tujuh iaitu:
- Pertama: Turunnya pertolongan ketika diminta iaitu dengan turunnya malaikat yang membantu mereka dalam peperangan.
Ayat 10
وَمَا جَعَلَهُ ٱللَّهُ إِلَّا بُشْرَىٰ وَلِتَطْمَئِنَّ بِهِۦ قُلُوبُكُمْ ۚ وَمَا ٱلنَّصْرُ إِلَّا مِنْ عِندِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Setelah itu Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia tidak mengirimkan bantuan itu kecuali sebagai berita gembira, iaitu agar kaum muslimin menjadi tenteram dan mempunyai semangat berjuang yang tinggi serta mempunyai keyakinan yang kuat bahawa kemenangan akan diperoleh seperti yang telah dijanjikan-Nya. Selain itu, agar terhindar daripada kegoncangan jiwa dan terlepas daripada rasa takut kerana melihat jumlah kekuatan dan kelengkapan musuh yang banyak.
Dalam ayat ini dijelaskan pula bahawa kemenangan yang mereka peroleh, bukanlah kerana kekuatan dan persenjataan, tetapi semata-mata kerana bantuan Allah Ta’ala dan hanya Dia sahajalah yang dapat memberikan pertolongan dengan jalan mengirimkan bala tentera daripada malaikat.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya Dia Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana. Dia Maha Berkuasa memberikan kemenangan kepada umat Nabi Muhammad saw menurut apa yang dikehendaki-Nya. Dia Maha Bijaksana memberikan kemenangan kepada hamba-hamba-Nya yang mentauhidkan-Nya dan menghancurkan hamba-hamba-Nya yang terjerumus ke dalam kemusyrikan.
Ayat 11
إِذْ يُغَشِّيكُمُ ٱلنُّعَاسَ أَمَنَةً مِّنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِۦ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ ٱلشَّيْطَـٰنِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىٰ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ ٱلْأَقْدَامَ
(Ingatlah) ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman dari Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu). Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya dan menghapuskan dari kamu gangguan syaitan, dan juga untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian (kamu di medan perjuangan).
- Kedua: Memberikan rasa mengantuk yang menjadikan mereka berasa aman dan tenang, dan hilanglah rasa takut mereka terhadap jumlah bala tentera musuh yang banyak. Firman Allah Swt:
“Kemudian setelah kamu berdukacita, Allah menurunkan kepadamu keamanan (berupa) mengantuk yang meliputi segolongan daripadamu, sedang segolongan lagi telah dicemaskan oleh diri mereka sendiri………………………………..”
Ali ‘Imran 3:154
- Ketiga: Hujan diturunkan dari langit supaya dapat bersuci daripada junub dan hadas sehingga mereka dapat beribadat dalam keadaan bersuci dan menghilangkan gangguan-gangguan syaitan untuk menghilangkan rasa takut dan was-was dari dalam diri orang-orang beriman. Juga agar menghilangkan rasa takut akibat tidak adanya persediaan air dan mengukuhkan pasir tempat mereka berpijak.
- Keempat: Mengikatkan hati orang-orang beriman iaitu menguatkannya dan menghilangkan ketakutan dan kekhuatiran dari dalam diri mereka. Memenuhi jiwa mereka dengan rasa sabar dan memberikan rasa semangat untuk melawan musuh.
- Kelima: Mengukuhkan kaki atas pasir akibat hujan. Ini kerana mereka berada di daerah padang pasir yang tidak baik dijadikan kubu pertahanan kerana sukar untuk menggerakkan kaki, lebih-lebih lagi untuk mengadakan serangan, bahkan di daerah tersebut tidak ada sumber-sumber air. Oleh itu dengan turunnya hujan, kaum muslimin dapat bebas untuk mengatur gerak dalam pertempuran kerana mereka tidak lagi terganggu oleh pasir yang tidak kukuh yang menganggu gerakan kaki.
Berkaitan ayat “Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit”, ‘Ali bin Abi Talhah berkata daripada Ibnu ‘Abbas ra, berkata,
“Pada saat Nabi berjalan menuju Badar, Nabi saw berhenti sebentar di suatu tempat. Sementara orang-orang musyrik memiliki sumber air, meskipun di antara mereka dengan sumber air itu terdapat pasir yang menyulitkan mereka berjalan. Kaum muslimin pula, dalam keadaan sangat penat, syaitan telah memasukkan rasa marah ke dalam hati mereka, syaitan berbisik, ‘Kalian mengaku, bahawa kalian adalah para kekasih Allah, di tengah-tengah kalian ada Rasul-Nya, tetapi orang-orang musyrik telah mengalahkan kalian dalam menguasai air dan kalian solat dalam keadaan junub.” Maka Allah menurunkan hujan yang lebat untuk mereka, lalu kaum muslimin dapat minum dan bersuci dengannya. Allah pun menghilangkan gangguan-gangguan syaitan daripada mereka dan pasir tempat mereka berpijak pun menjadi kukuh kerana terkena hujan. Mereka pun dapat berjalan di atasnya, begitu juga binatang-binatang, lalu mereka berjalan menuju musuh daripada kalangan orang-orang musyrik. Allah Swt memberikan bantuan kepada Nabi-Nya dan orang-orang beriman dengan seribu malaikat. Malaikat Jibril termasuk dalam lima ratus pertama daripada pasukan malaikat menyerang dari arah kanan. Mikail termasuk dalam lima ratus kedua daripada pasukannya menyerang dari arah kiri.”
(HR. At-Tabari)