Surah 5: Al-Maidah (116 – 118)

Dakwah Nabi Isa dalam Mentauhidkan Allah

Surah 5: Al-Maidah (116 – 118)


Ayat 116

وَإِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ءَأَنتَ قُلْتَ لِلنَّاسِ ٱتَّخِذُونِى وَأُمِّىَ إِلَـٰهَيْنِ مِن دُونِ ٱللَّهِ ۖ قَالَ سُبْحَـٰنَكَ مَا يَكُونُ لِىٓ أَنْ أَقُولَ مَا لَيْسَ لِى بِحَقٍّ ۚ إِن كُنتُ قُلْتُهُۥ فَقَدْ عَلِمْتَهُۥ ۚ تَعْلَمُ مَا فِى نَفْسِى وَلَآ أَعْلَمُ مَا فِى نَفْسِكَ ۚ إِنَّكَ أَنتَ عَلَّـٰمُ ٱلْغُيُوبِ

Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia: `Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain dari Allah? ‘ “Nabi `Isa menjawab: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhan)! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang aku tidak berhak (mengatakannya). Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu; kerana sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa pada hari kiamat kelak, Dia akan menanyakan kepada Nabi Isa as di hadapan umatnya yang menjadikan dirinya dan ibunya iaitu Maryam sebagai tuhan selainNya. 

Allah swt akan menanyakan adakah Baginda yang mendakwa dirinya dan ibunya sebagai tuhan selainNya. Lalu Nabi Isa as menyatakan bahawa yang demikian itu tidaklah benar. Ini kerana Baginda tidaklah berhak menyatakan sesuatu yang tidak patut bagi dirinya dan ibunya. Allah swt menanyakan hal demikian itu kepada Baginda as walaupun Dia Maha Mengetahui apa yang sebenarnya terjadi. 

Ini adalah agar pada hari kiamat kelak, Nabi Isa as menyatakan di hadapan para rasul dan umat manusia bahawa hanya Allah lah yang berhak disembah, serta dia menjelaskan kesalahan umatnya yang memandang dirinya dan ibunya sebagai tuhan. Semua ibadah hanya dihadapkan kepada Allah swt sendiri. Ini bersesuaian dengan firmanNya: 

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama…………….” 

Al-Bayyinah 98:5 

Ayat ini merupakan satu bentuk penghinaan kepada orang-orang yang mengatakan adanya sifat ketuhanan pada Nabi Isa as. Lihatlah bagaimana Baginda sendiri tidak mengakui dirinya sebagai tuhan. 

Allah swt sahaja yang mengetahui segala perkara yang ghaib. Manusia lain, termasuk para nabi dan Nabi Isa as, tidak tahu tentang perkara-perkara ghaib melainkan apa yang Allah swt sampaikan kepada mereka. 

Ayat 117

مَا قُلْتُ لَهُمْ إِلَّا مَآ أَمَرْتَنِى بِهِۦٓ أَنِ ٱعْبُدُوا۟ ٱللَّهَ رَبِّى وَرَبَّكُمْ ۚ وَكُنتُ عَلَيْهِمْ شَهِيدًا مَّا دُمْتُ فِيهِمْ ۖ فَلَمَّا تَوَفَّيْتَنِى كُنتَ أَنتَ ٱلرَّقِيبَ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنتَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ شَهِيدٌ

“Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya, iaitu: `Sembahlah kamu akan Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu ‘ dan adalah aku menjadi pengawas terhadap mereka (dengan membenarkan yang benar dan menyalahkan yang salah) selama aku berada dalam kalangan mereka; kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, menjadilah Engkau sendiri yang mengawasi keadaan mereka, dan Engkau jualah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.

Setelah Nabi Isa as pada ayat yang lepas mensucikan Allah swt dan kemudian dia membersihkan dirinya, maka dalam ayat ini pula Baginda menjelaskan apa sebenarnya yang telah diserukannya kepada kaumnya iaitu agar mereka menyembah hanya kepada Allah swt, Rabbnya sendiri dan juga Rabb kaumnya. 

Amat tidak benar Nabi Isa as menjadikan dirinya dan ibunya sebagai tuhan kerana mereka berdua adalah hamba Allah swt seperti manusia yang lain. Baginda telah mengajarkan pokok-pokok agama dan dasar-dasar keimanan kepada kaumnya yang sepatutnya mereka jadikan sebagai pedoman dalam kehidupan beragama sepanjang masa. Sewaktu Baginda masih berada bersama-sama mereka, Baginda selalu memberikan bimbingan dan mengawasi segala tingkah laku mereka. 

Namun setelah Baginda diangkat ke langit, tamatlah masanya untuk menjalankan tugas kerasulannya. Dengan demikian terputuslah pengawasan dan bimbingan Baginda terhadap mereka. Baginda tidak lagi mengetahui amal perbuatan, sejarah perkembangan dan agama mereka. Hanyalah Allah lah yang menjadi Pengawas dan Saksi atas mereka setelah itu. Dia akan memberikan petunjuk kepada orang-orang yang menghendaki kebenaran dan dibiarkanNya orang-orang yang menginginkan kesesatan. Kafirlah orang-orang yang menjadikan Nabi Isa as sebagai tuhan dan haramlah syurga bagi mereka. Hal itu ditegaskan Allah swt dalam firmanNya: 

“Sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata, “Sesungguhnya Allah ialah Al-Masih putra Maryam.” Padahal Al-Masih sendiri berkata, “Wahai Bani Israil, sembahlah Allah Rabbku dan Rabbmu.” Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan kepadanya syurga dan tempatnya ialah neraka, tiadalah bagi orang zalim itu seorang penolong pun.” 

Al-Ma’idah 5:72 

Sesungguhnya Allah swt menjadi saksi atas segala sesuatu yang terjadi dan semuanya adalah di bawah kekuasaanNya. 

Ayat 118

إِن تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ ۖ وَإِن تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنتَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ

“Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalanginya) kerana sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu; dan jika Engkau mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”

Allah swt menerangkan bahawa Nabi Isa as menyerahkan sepenuhnya kepadaNya untuk menentukan keputusan terhadap orang-orang yang menjadikannya sebagai tuhan. Baginda berlepas diri daripada tanggungjawab terhadap perbuatan mereka kerana Baginda sudah menyampaikan seruannya sesuai dengan perintah Allah swt agar mengesakanNya serta mengkhususkan ibadah kepadaNya. 

Allah swt akan menjatuhkan hukuman kepada mereka menurut kesaksianNya. Dia lah yang mengetahui siapa di antara mereka yang tetap dalam tauhid dan siapa yang musyrik, yang taat dan yang ingkar, juga yang soleh dan yang fasik. Jika Allah swt mengazab mereka, maka azab itu menimpa orang-orang yang memang patut menerima azab. Mereka itu adalah hamba-hamba Allah swt yang sepatutnya menyembah Allah swt dan tidak menyembah selainNya. Jika Dia memberikan pengampunan kepada mereka, maka pengampunan itu diberikanNya kepada orang-orang yang patut menerimanya. 

Allah Maha Berkuasa dan Dia benar-benar melakukan apa yang dikehendakiNya. Dia Maha Bijaksana dalam menentukan keputusan atas perkara itu. Dia lah Yang Maha Mengetahui siapa di antara orang-orang Nasrani itu yang telah menjadi musyrik dan yang masih mentauhidkanNya. 

Allah swt tidak akan mengampuni dosa orang-orang musyrik. FirmanNya: 

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya……………” 

An-Nisa’ 4:48