Surah 5: Al-Maidah (110 – 111)

Kurniaan Allah Swt kepada Nabi Isa as

Surah 5: Al-Maidah (110 – 111)


Ayat 110

إِذْ قَالَ ٱللَّهُ يَـٰعِيسَى ٱبْنَ مَرْيَمَ ٱذْكُرْ نِعْمَتِى عَلَيْكَ وَعَلَىٰ وَٰلِدَتِكَ إِذْ أَيَّدتُّكَ بِرُوحِ ٱلْقُدُسِ تُكَلِّمُ ٱلنَّاسَ فِى ٱلْمَهْدِ وَكَهْلًا ۖ وَإِذْ عَلَّمْتُكَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ ۖ وَإِذْ تَخْلُقُ مِنَ ٱلطِّينِ كَهَيْـَٔةِ ٱلطَّيْرِ بِإِذْنِى فَتَنفُخُ فِيهَا فَتَكُونُ طَيْرًۢا بِإِذْنِى ۖ وَتُبْرِئُ ٱلْأَكْمَهَ وَٱلْأَبْرَصَ بِإِذْنِى ۖ وَإِذْ تُخْرِجُ ٱلْمَوْتَىٰ بِإِذْنِى ۖ وَإِذْ كَفَفْتُ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ عَنكَ إِذْ جِئْتَهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنْهُمْ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ

(Ingatlah) Ketika Allah berfirman: “Wahai Isa ibni Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis membaca, dan hikmat pengetahuan, khasnya Kitab Taurat dan Kitab Injil; dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinku; dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izinku; dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang-orang yang mati dengan izin-Ku; dan (ingatlah) ketika Aku menghalangi Bani Israil daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat), lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata: “Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata”

Allah Swt menyebutkan nikmat-nikmat-Nya yang dikurniakan kepada Nabi Isa as. Antaranya ialah: 

  • Baginda diciptakan tanpa bapa.
  • Ibu Baginda dibersihkan daripada tuduhan yang keji iaitu zina.
  • Baginda disokong oleh Jibril as. 
  • Baginda boleh bercakap ketika masih bayi lalu bersaksi atas kesucian ibunya. 
  • Baginda diutuskan sebagai nabi yang menyeru umatnya kepada Allah Swt ketika kecil dan dewasa.
  • Allah Swt juga mengajar Baginda menulis dan membaca sehingga Baginda dapat mempelajari ilmu pengetahuan yang tertulis. 
  • Allah Swt mengajarkan kepada Baginda Taurat, iaitu kitab suci yang telah diturunkan-Nya kepada Nabi Musa as. 
  • Allah Swt mengajarkan pula kepadanya Injil, iaitu kitab suci yang diturunkan-Nya kepada Baginda sendiri. 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyebutkan beberapa mukjizat sebagai nikmat yang dikurniakan kepada Nabi Isa as sebagai bukti kesempurnaan kekuasaan-Nya. Mukjizat-mukjizat tersebut ialah: 

  • Baginda membuat bentuk berupa burung daripada tanah lalu meniupnya, maka jadilah seekor burung yang bernyawa yang dapat terbang dengan izin Allah Ta’ala. 
  • Baginda juga dapat menyembuhkan orang-orang yang dilahirkan dalam keadaan buta dan orang-orang yang terkena penyakit sopak (kulit). Semuanya adalah dengan izin Allah Ta’ala. 
  • Baginda juga dapat menghidupkan orang-orang yang telah mati. Baginda memanggil mereka dari kubur lalu mereka bangkit dalam keadaan hidup dengan izin Allah Ta’ala. 

Selain itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala juga mengingatkan Nabi Isa as tentang nikmat-Nya kepadanya iaitu Dia telah melindungi baginda daripada kejahatan kaum Yahudi yang mendustakan dan menuduhnya sebagai penyihir, sehingga mereka berusaha untuk membunuh dan menyalibnya. Ini kerana Baginda membawa agama Allah Swt yang disertai dengan bukti-bukti dan keterangan-keterangan yang jelas iaitu mukjizat-mukjizat yang dikurniakan Allah Swt kepadanya. Dia menyelamatkan Baginda dan mengangkatnya ke sisi-Nya dan disucikan-Nya daripada perbuatan mereka yang keji. 

Ada beberapa pendapat tentang maksud ruhul qudus dalam ayat ini. Antaranya ada yang mengatakan maksudnya ialah roh dan wahyu, iaitu Allah Swt menguatkan Nabi Isa as dengan roh dan wahyu yang menyucikan dirinya serta memberikan kekuatan kepadanya dalam menjalankan perintah Allah Swt dan mengajak manusia kepada-Nya. Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa ruhul qudus ini adalah Jibril as yang sentiasa mendampingi Baginda dan menyokongnya pada saat-saat yang genting. 

Ada pendapat mengatakan ada dua perkara atau mukjizat yang ajaib apabila Allah Swt menyebut dalam ayat ini bahawa Nabi Isa as dapat berbicara semasa dalam buaian dan juga ketika dewasa. Pertama, Baginda mampu berbicara ketika masih bayi yang merupakan kejadian yang luar biasa. Kedua, dapat berbicara sehingga dewasa, bermaksud Baginda akan turun lagi ke dunia menjelang kiamat, untuk menyambung tugasnya berdakwah dengan syariat Nabi Muhammad saw. 

Ayat 111

وَإِذْ أَوْحَيْتُ إِلَى ٱلْحَوَارِيِّـۧنَ أَنْ ءَامِنُوا۟ بِى وَبِرَسُولِى قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَٱشْهَدْ بِأَنَّنَا مُسْلِمُونَ

Dan (ingatlah) ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin (sahabat-sahabat karib nabi Isa): “Berimanlah kamu kepadaku dan kepada Rasul-Ku!” Mereka menjawab: “Kami telah beriman, dan saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami orang-orang Islam (yang menyerah diri kepada Allah)”

Allah Ta’ala menyatakan sikap kaum Hawariyyun (pengikut setia), iaitu sebahagian daripada kaum Bani Israil yang menerima baik agama Allah Swt yang disampaikan oleh Nabi Isa as. Dia mengilhamkan kepada kaum Hawariyyun itu agar mereka beriman kepada Allah Swt dan kepada Rasul-Nya, iaitu Nabi Isa as. Lalu mereka berkata kepada Baginda bahawa mereka telah beriman dan mereka bersaksi bahawa sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang patuh kepada seruannya. Ini bermaksud mereka beriman dan menerima seruan Nabi Isa as dan akan melaksanakan semua perintah-perintahnya sebagai bukti keimanan mereka.