Kesesatan Orang Lain Tidak Akan Membahayakan Seseorang Selagi Dia Bertakwa kepada Allah Swt
Surah 5: Al-Maidah (105)
Ayat 105
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ عَلَيْكُمْ أَنفُسَكُمْ ۖ لَا يَضُرُّكُم مَّن ضَلَّ إِذَا ٱهْتَدَيْتُمْ ۚ إِلَى ٱللَّهِ مَرْجِعُكُمْ جَمِيعًا فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu (dari melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah). Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk (taat mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan.
Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin agar memperbaiki diri mereka dengan bersungguh-sungguh melakukan kebaikan mengikut kemampuan mereka. Dia menyatakan bahawa sesiapa yang telah mendapat petunjuk kebenaran dengan memperbaiki dirinya, maka dia tetap berada dalam petunjuk dan kesesatan yang ada pada orang lain tidak akan dapat membahayakannya sama ada dalam masa terdekat ataupun pada masa akan datang.
Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya bahawa kepada-Nya-lah tempat kembali semua makhluk-Nya. Ketika itu Dia akan menampakkan segala amalan mereka dan membalas setiap orang sesuai dengan amalan masing-masing. Jika baik amalan mereka maka baiklah balasannya dan begitulah sebaliknya. Firman-firman-Nya:
“Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya,”
Al-Muddaththir 74:38
“Katakanlah, ‘Apakah aku akan mencari Rabb selain Allah, padahal Dia adalah Rabb bagi segala sesuatu. Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri, dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabbmu lah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan.'”
Al-An’am 6:164