Surah 5: Al-Maidah (101 – 102)

Larangan Banyak Bertanya tentang Perkara yang Tidak Bermanfaat dalam Agama

Surah 5: Al-Maidah (101 – 102)


Ayat 101

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَسْـَٔلُوا۟ عَنْ أَشْيَآءَ إِن تُبْدَ لَكُمْ تَسُؤْكُمْ وَإِن تَسْـَٔلُوا۟ عَنْهَا حِينَ يُنَزَّلُ ٱلْقُرْءَانُ تُبْدَ لَكُمْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهَا ۗ وَٱللَّهُ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan (kamu) dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Allah Ta’ala membimbing orang-orang beriman agar tidak bertanya kepada Rasulullah saw tentang masalah-masalah tidak ada manfaatnya atau perkara-perkara yang begitu terperinci dalam agama ataupun kewajipan yang tiada keterangannya dalam wahyu. Ini kerana hal-hal seperti itu hanya akan menjadi beban yang berat buat mereka. Jika ini terjadi, maka pastilah akan menjadikan mereka susah atau hati mereka kesal atas perbuatan mereka itu. Sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya orang muslim yang paling besar dosanya adalah orang yang menanyakan tentang sesuatu yang tidak diharamkan lalu ia menjadi haram dengan sebab pertanyaannya itu.” 

(HR. Muslim) 

“Sesungguhnya Allah mengharamkan pada kalian derhaka kepada ibu, menguburkan anak perempuan, menolak dan meminta (menolak kewajipan dan meminta yang bukan haknya). Dia membenci tiga hal; perkataan yang tidak jelas kebenarannya, banyak bertanya dan mensia-siakan harta,” 

(HR. Muslim) 

Menurut sebahagian riwayat, ayat ini turun ketika terdapat ramai orang mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah saw yang kadang-kadang untuk mengujinya dan kadang-kadang untuk mengejeknya. Ada orang yang bertanya kepada Nabi, “Siapakah ayahku?” Kemudian ada pula seorang yang kehilangan untanya bertanya kepada Nabi, “Di manakah gerangan untaku itu?” 

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa dia berkata, “Rasulullah saw telah berkhutbah kepada kami, Baginda bersabda: 

“Wahai umatku, sesungguhnya Allah telah mewajibkan kepadamu ibadah haji, maka berhajilah kamu.” Tiba-tiba ada seseorang bertanya, “Apakah setiap tahun kami mesti melakukan haji, wahai Rasulullah?” Baginda tidak menjawab pertanyaan itu, sehingga orang tersebut menanyakan lagi sampai tiga kali. Kemudian barulah Baginda bersabda, “Kalau saya jawab “ya,” maka berhaji setiap tahun itu akan menjadi wajib dan kalau ia sudah menjadi wajib nescaya kamu tak sanggup melaksanakannya.” Kemudian Baginda bersabda, “Sebaik-baiknya tidaklah kamu tanyakan kepadaku apa-apa yang tidak aku sampaikan kepadamu.” Maka turunlah ayat ini.” 

(HR. Muslim) 

Selanjutnya, dalam ayat ini Allah Ta’ala menjelaskan bahawa apabila mereka menanyakan sesuatu kepada Rasulullah saw ketika turun ayat yang berkenaan dengan masalah yang ditanyakan itu, dan pertanyaan tersebut memang perlu dijawab untuk memahami isi dan maksud daripada ayat tersebut, maka Allah swt membolehkannya dan memaafkan orang yang mengajukan pertanyaan itu. FirmanNya: 

“Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu, kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui,” 

An-Nahl 16:43 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan, bahawa Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyantun. Dia mengampuni orang-orang yang mengemukakan pertanyaan yang benar-benar berfaedah dan hal-hal yang tidak akan menjadi beban kepada mereka. Hal ini adalah supaya mereka tidak mengajukan pertanyaan kepada Rasulullah saw supaya tidak menambah beban kepada mereka dan itu merupakan rahmatNya kepada hamba-hambaNya. 

Berkaitan dengan keampunan Allah swt yang disebutkan dalam ayat ini, dapat juga difahami, bahawa Dia memaafkan kesalahan-kesalahan sebelum larangan ini. Oleh itu, dengan sebab luasnya keampunan dan kesantunanNya maka Dia tidak menimpakan seksaan kepada hamba-hambaNya. Ini sesuai dengan firmanNya pada ayat-ayat yang lain, antaranya ialah: 

“………..Allah memaafkan apa-apa yang telah lalu……….” 

Al-Ma’idah 5:95 

Ayat 102

قَدْ سَأَلَهَا قَوْمٌۭ مِّن قَبْلِكُمْ ثُمَّ أَصْبَحُوا۟ بِهَا كَـٰفِرِينَ

Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan (kepada Nabi mereka) oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya).

Allah Ta’ala menjelaskan keadaan sebahagian kaum pada masa lampau seperti kaum Nabi Saleh as yang bertanyakan pelbagai masalah kemudian mereka mengabaikan hukumnya. Mereka bukan sahaja tidak mengimaninya malah menjadi kafir selepas itu. Oleh itu, Rasulullah saw mengingatkan umatnya seperti dalam sabdanya: 

“Apa yang aku larang maka jauhilah, apa yang aku perintahkan maka lakukanlah semampu kamu. Sesungguhnya yang membinasakan orang-orang sebelum kamu adalah banyak pertanyaan dan perselisihan mereka kepada para nabi mereka.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)