Penjelasan tentang Kaffarah (Tebusan) terhadap Sumpah
Surah 5: Al-Maidah (89)
Ayat 89
لَا يُؤَاخِذُكُمُ ٱللَّهُ بِٱللَّغْوِ فِىٓ أَيْمَـٰنِكُمْ وَلَـٰكِن يُؤَاخِذُكُم بِمَا عَقَّدتُّمُ ٱلْأَيْمَـٰنَ ۖ فَكَفَّـٰرَتُهُۥٓ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَـٰكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَـٰثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّـٰرَةُ أَيْمَـٰنِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَٱحْفَظُوٓا۟ أَيْمَـٰنَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia tidak akan menimpakan suatu hukuman kepada seseorang yang melanggar sumpah yang telah diucapkannya dengan tidak sengaja. Baginya tidak ada sebarang hukuman. Namun begitu, apabila seseorang itu bersumpah dengan sepenuh hati dan niat yang bersungguh-sungguh, kemudian dia melanggar sumpah tersebut, maka dia dikenakan kaffarah (denda), iaitu salah satu daripada hal-hal yang berikut:
a) Memberi makan sepuluh orang miskin, masing-masing sekali makan. (Abu Hanifah membolehkan memberi makan seorang miskin sahaja, tetapi dalam masa sepuluh hari) Makanan tersebut mestilah sama kualitinya dengan makanan yang dimakan sehari-hari oleh pembayar kaffarah dan keluarganya.
b) Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin, yang sama kualitinya dengan pakaian yang dipakainya sehari-hari.
c) Memerdekakan seorang hamba sahaya yang diperoleh dengan jalan membeli atau menawannya dalam peperangan dan tidak disyaratkan agar hamba-hamba sahaya itu mesti yang beriman. Oleh itu, dibolehkan memerdekakan hamba sahaya yang kafir sekalipun sebagai kaffarah pelanggaran sumpah. (Ini adalah menurut pendapat Imam Abu Hanifah, manakala Imam Syafie, Malik dan Ahmad mensyaratkan agar hamba itu mesti yang beriman).
d) Berpuasa selama tiga hari berturut-turut. Ini berlaku kepada orang yang melanggar sumpah tetapi tidak mampu membayar kaffarah sumpahnya itu dengan salah satu daripada tiga jenis kaffarah yang disebutkan di atas. Apabila dia belum mampu untuk berpuasa kerana sedang sakit, maka hendaklah dilaksanakannya setelah dia sembuh dan mampu berpuasa. Jika ternyata penyakitnya tidak sembuh dan kemudian dia meninggal dunia sebelum dia berpuasa untuk membayar kaffarah itu, maka diharapkanlah keampunan Allah Ta’ala untuknya, apabila benar-benar telah mempunyai niat yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya walaupun belum tercapai.
Dengan demikian jelaslah bahawa seseorang yang melanggar sumpah yang telah diucapkannya dengan niat yang benar-benar daripada hatinya maka dia mestilah membayar kaffarah, yang boleh dipilihnya salah satu daripada tiga jenis kaffarah di atas. Apabila dia tidak mampu, barulah boleh digantikan dengan kaffarah yang keempat iaitu berpuasa selama tiga hari berturut-turut.
Oleh itu, jika seseorang itu bersumpah tidak akan berbuat sesuatu yang dihalalkan untuknya, bererti dia tidak mengharapkan sesuatu yang telah dihalalkan oleh Allah Swt, maka dia diwajibkan melanggar sumpahnya itu dan dia diwajibkan pula untuk membayar kaffarahnya.
Setelah Allah Ta’ala menjelaskan pelbagai jenis kaffarah yang telah disebutkan di atas yang harus ditunaikan oleh orang yang melanggar sumpahnya itu, Dia mengingatkan orang-orang mukmin agar menjaga sumpah mereka. Ini bermaksud seseorang tidak boleh sewenang-wenangnya bersumpah. Sumpah boleh dilakukan hanya dalam masalah-masalah yang diperlukan sahaja sebagai penguat.
Apabila sumpah itu telah diucapkan dengan niat yang bersungguh-sungguh, maka sumpah itu hendaklah ditepati, kecuali apabila sumpah itu menyalahi peraturan agama. Hal ini seperti mengharamkan apa yang telah dihalalkan Allah Swt dan Rasul-Nya dan dalam keadaan ini sumpah itu hendaklah dilanggar, kemudian ditebus dengan kaffarah.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menegaskan bahawa demikianlah Dia menjelaskan ayat-ayat-Nya kepada mereka agar mereka bersyukur kepada-Nya. Ini bermaksud dengan cara demikianlah Dia menerangkan hukum-hukum-Nya kepada mereka, sehingga dapat menjadikan mereka orang-orang yang mahu bersyukur kepada-Nya atas segala rahmat-Nya, keadilan-Nya, serta kasih sayang-Nya terhadap makhluk-Nya dan agar syukur yang dilakukan dengan cara-cara yang disukai-Nya itu menyebabkan bertambahnya rahmat tersebut kepada mereka.