Surah 5: Al-Maidah (87 – 88)

Larangan Mengharamkan apa yang Dihalalkan oleh Allah Swt dan Melampaui Batas

Surah 5: Al-Maidah (87 – 88)


Ayat 87

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحَرِّمُوا۟ طَيِّبَـٰتِ مَآ أَحَلَّ ٱللَّهُ لَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda yang baik-baik yang telah dihalalkan oleh Allah bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (pada apa yang telah ditetapkan halalnya itu); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Allah Ta’ala melarang orang-orang beriman mengharamkan bagi diri mereka segala yang baik yang telah dihalalkan-Nya seperti makanan, minuman, pakaian, pernikahan dan lain-lain yang baik dan halal. Dia juga mengingatkan agar mereka tidak melampaui batasan atau berlebih-lebihan dalam perkara halal sehingga ke tahap melakukan perkara yang diharamkan. 

Melampaui batas ialah berlebih-lebihan dalam menyusahkan diri sendiri dengan mengharamkan sesuatu perkara yang dibolehkan dan berlebih-lebihan dalam menggunakan sesuatu yang dihalalkan. Sebaliknya mengambil dan menggunakan sesuatu sesuai mengikut keperluan sahaja. Firman Allah Ta’ala: 

“Wahai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah pada setiap (memasuki) masjid, makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” 

Al-A’raf 7:31 

Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Dia akan menghukum orang-orang yang melanggar ketentuan-Nya seperti mengharamkan perkara yang dihalalkannya meskipun hal itu dilakukan untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Hal ini selari dengan prinsip bersikap sederhana (wasatiyyah) dan keseimbangan dalam Islam iaitu tidak berlebih-lebihan dan tidak juga kedekut. 

Ini kerana seseorang itu tidak perlu meninggalkan kesenangan hidup yang sememangnya dibolehkan dan tidak pula menyeksa diri sebagaimana para rahib yang menyeksa diri dalam kehidupan mereka dengan tidak berkahwin. 

Ayat ini diturunkan berkenaan dengan beberapa orang sahabat yang keliru dalam memahami dan melaksanakan ajaran-ajaran agama Islam. Mereka menganggap bahawa untuk mendekatkan diri kepada Allah Swt, mereka wajib meninggalkan segala kesenangan hidup. Ini kerana mereka berpendapat, bahawa kenikmatan itu hanya akan melalaikan mereka daripada beribadah kepada-Nya. Sebenarnya Allah Swt telah menciptakan dan menyediakan di muka bumi ini segala keperluan mereka benda-benda yang baik dan dihalalkan-Nya untuk mereka. Di samping itu, Dia telah menjelaskan pula perkara-perkara yang diharamkan-Nya. 

Dalam As-Sahihain daripada ‘Aisyah ra bahawa beberapa orang sahabat Rasulullah saw bertanya para isteri Nabi tentang amalan Baginda pada waktu tidak terlihat oleh para sahabat. Sebahagian daripada mereka mengatakan, “Aku tidak akan makan daging”, sebahagian lain mengatakan, “Aku tidak akan menikah dengan wanita.” Sebahagian lain lagi mengatakan, “Aku tidak akan tidur di tempat tidur (solat sepanjang malam).” Hal itu terdengar oleh Nabi saw, maka Baginda bersabda: 

“Mengapa mereka mengatakan demikian dan demikian? Tetapi aku berpuasa dan berbuka, tidur dan bangun, makan daging dan menikahi wanita. Sesiapa yang benci terhadap sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya, bahawa Dia tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. Ini bermaksud bahawa setiap pekerjaan yang dilakukan mesti dalam batas-batas tertentu, baik yang ditetapkan oleh agama, seperti batas halal dan haramnya, mahupun batas-batas yang dapat diketahui oleh akal dan perasaan, seperti batas mengenal banyak atau sedikitnya serta manfaat dan mudaratnya. 

Ayat 88

وَكُلُوا۟ مِمَّا رَزَقَكُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلًا طَيِّبًا ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِىٓ أَنتُم بِهِۦ مُؤْمِنُونَ

Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.

Allah Swt memerintahkan kaum mukmin agar tidak menyerupai orang-orang musyrik yang mengharamkan apa yang dihalalkan Allah Ta’ala. 

Makanan halal adalah makanan yang tidak diharamkan statusnya oleh Islam, makanan yang bukan diperoleh daripada hasil mencuri, merampas dan mengambil hak orang lain. Manakala makanan yang baik adalah makanan yang tidak memudaratkan kesihatan. 

Ayat ini juga menunjukkan bahawa tidak layak bagi seseorang menjauhi sesuatu yang baik-baik dan mengharamkan yang demikian bagi dirinya, bahkan seharusnya dia memanfaatkannya dan menggunakannya untuk ketaatan kepada Tuhannya. Firman-firman Allah Ta’ala: 

“Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah.” 

Al-Baqarah 2:172 

“Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat”. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.” 

Al-A’raf 7:32