Larangan Berlebih-lebih (Ghuluw) dalam Beragama
Surah 5: Al-Maidah (76 – 77)
Ayat 76
قُلْ أَتَعْبُدُونَ مِن دُونِ ٱللَّهِ مَا لَا يَمْلِكُ لَكُمْ ضَرًّا وَلَا نَفْعًا ۚ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw bertanya kepada penyembah selain-Nya baik daripada kalangan ahli kitab mahupun orang-orang musyrik mengapa mereka menyembah sesuatu yang sama sekali tidak memiliki kuasa untuk memberi manfaat atau menghilangkan mudarat kepada mereka.
Allah Swt mengatakan bahawa Dia-lah Yang Maha Mendengar segala perkataan dan ucapan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, mengapa mereka berpaling daripada menyembah-Nya kepada menyembah manusia atau benda-benda mati yang tidak dapat mendengar, melihat dan tidak berupaya untuk menjaga diri mereka sendiri.
Ayat 77
قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ لَا تَغْلُوا۟ فِى دِينِكُمْ غَيْرَ ٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓا۟ أَهْوَآءَ قَوْمٍ قَدْ ضَلُّوا۟ مِن قَبْلُ وَأَضَلُّوا۟ كَثِيرًا وَضَلُّوا۟ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ
Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul”
Allah Ta’ala menyuruh Rasulullah saw mengatakan kepada ahli Kitab iaitu kaum Yahudi dan Nasrani agar mereka tidak melampaui batas dalam mengikuti kebenaran. Ini bermaksud tidak berlebih-lebihan memuliakan orang-orang yang diperintahkan-Nya supaya dimuliakan sehingga ke tahap mengagungkan dan menganggap mereka sebagai tuhan. Ini berlaku kepada kaum Yahudi yang menjadikan Uzair sebagai putera Allah dan kaum Nasrani mengangkat darjat Nabi Isa as sebagai tuhan selain Allah Ta’ala, juga berlebih-lebihan dalam merendahkan martabat Nabi Isa as dan ibunya dengan menuduhnya berzina.
Allah Swt juga mengingatkan mereka agar tidak mengikut pendapat dan pandangan kaum yang hanya bersumberkan hawa nafsu mereka sahaja. Merekalah yang menjadi pemimpin kepada kesesatan yang telah tersesat sejak dahulu.