Pengingkaran Janji dan Pembunuhan Para Nabi oleh Orang Yahudi
Surah 5: Al-Maidah (70 – 71)
Ayat 70
لَقَدْ أَخَذْنَا مِيثَـٰقَ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ وَأَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمْ رُسُلًا ۖ كُلَّمَا جَآءَهُمْ رَسُولٌۢ بِمَا لَا تَهْوَىٰٓ أَنفُسُهُمْ فَرِيقًا كَذَّبُوا۟ وَفَرِيقًا يَقْتُلُونَ
Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia dari Bani Israil dan Kami telah utuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. (Tetapi) tiap-tiap kali datang – seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai oleh hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagian dari Rasul-rasul itu, dan mereka bunuh yang sebahagian lagi.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengambil perjanjian daripada umat Yahudi agar mereka mengesakan-Nya, patuh dan taat kepada para rasul dan mengikuti hukum-hukum syariat-Nya. Namun mereka melanggar dan merosakkan perjanjian tersebut dan hanya mengikut pendapat serta hawa nafsu mereka.
Mereka hanya mengambil syariat yang bersesuaian dengan keinginan dan pendapat mereka sahaja. Manakala syariat yang tidak bersesuaian dengan keinginan dan nafsu mereka, mereka menolaknya sehinggakan ada di kalangan para nabi yang diutuskan kepada mereka, mereka dustakan dan ada pula yang dibunuh.
Ayat 71
وَحَسِبُوٓا۟ أَلَّا تَكُونَ فِتْنَةٌ فَعَمُوا۟ وَصَمُّوا۟ ثُمَّ تَابَ ٱللَّهُ عَلَيْهِمْ ثُمَّ عَمُوا۟ وَصَمُّوا۟ كَثِيرٌ مِّنْهُمْ ۚ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ
Dan mereka juga menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga, kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi. Padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.
Allah Swt menerangkan bahawa orang-orang Yahudi tidak menyangka bahawa Dia akan memberikan ujian yang sangat berat disebabkan perbuatan mereka yang sangat keji dan kekejaman yang melampaui batas dengan mendustakan para rasul sehingga mereka membunuh sebahagian daripada rasul-rasul tersebut. Hal itu adalah kerana mereka menganggap bahawa mereka adalah anak-anak Allah dan kekasih-kekasih-Nya. Oleh itu, mereka menganggap mereka akan bebas daripada azab-Nya.
Mereka seolah-olah buta terhadap kenyataan-kenyataan yang menunjukkan adanya seksaan-seksaan Allah Swt terhadap umat-umat yang membuat kerosakan dan kezaliman. Mereka juga seolah-olah tuli terhadap ajaran-ajaran dan petunjuk-petunjuk yang penuh dengan ancaman-ancaman Allah Swt iaitu seksaan terhadap orang-orang yang membatalkan janji-janji yang telah diikrarkan kerana mengikut hawa nafsu untuk berbuat kezaliman.
Menurut sejarah, ketika bangsa Babilon menakluki bangsa Yahudi, mereka membakar masjid Al-Aqsa, merampas harta benda dan memperkosa wanita. Setelah orang-orang Yahudi kembali kepada ajaran Taurat dan bertaubat kepada Allah Swt, maka barulah Allah Swt memberikan pertolongan kepada mereka untuk melepaskan diri daripada kekejaman bangsa Babilon. Namun setelah itu mereka kembali lalai dan sombong, menyebabkan mereka buta terhadap peringatan dan telinga mereka tuli terhadap petunjuk-petunjuk Allah Swt. Oleh itu, mereka kembali melakukan kezaliman dengan membunuh rasul-rasul, maka datanglah lagi ujian daripada Allah Swt iaitu mereka dikuasai pula oleh kerajaan Rom.
Allah Ta’ala Maha Melihat dan Maha Mengawasi mereka. Dia Maha Mengetahui siapa yang layak mendapat hidayah dan siapa yang berhak untuk tersesat. Dia juga Maha Mengetahui tipu daya dan rencana jahat mereka terhadap Rasulullah saw yang merupakan penutup para nabi dan rasul.