Surah 5: Al-Maidah (65 – 66)

Seruan kepada Ahli Kitab agar Beriman kepada Allah

Surah 5: Al-Maidah (65 – 66)


Ayat 65

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَكَفَّرْنَا عَنْهُمْ سَيِّـَٔاتِهِمْ وَلَأَدْخَلْنَـٰهُمْ جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat.

Ayat ini menunjukkan betapa pemurahnya Allah Ta’ala. Dia membuka pintu rahmat dan taubat kepada ahli kitab yang mengejek-ejek, mencemuh dan mempermainkan agamaNya. Sekiranya mereka mahu beriman kepadaNya dan RasulNya, memelihara diri daripada perbuatan dosa dan segala yang diharamkan yang pernah mereka lakukan, maka Dia akan menghapuskan dosa-dosa mereka dan memberikan balasan syurga yang penuh dengan kenikmatan. 

Ayat 66

وَلَوْ أَنَّهُمْ أَقَامُوا۟ ٱلتَّوْرَىٰةَ وَٱلْإِنجِيلَ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْهِم مِّن رَّبِّهِمْ لَأَكَلُوا۟ مِن فَوْقِهِمْ وَمِن تَحْتِ أَرْجُلِهِم ۚ مِّنْهُمْ أُمَّةٌ مُّقْتَصِدَةٌ ۖ وَكَثِيرٌ مِّنْهُمْ سَآءَ مَا يَعْمَلُونَ

Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil, dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya.

Ayat ini mengandungi janji Allah Ta’ala kepada ahli kitab iaitu sekiranya mereka bersungguh-sungguh menegakkan kitab Taurat, Injil dan Al-Quran, nescaya Dia akan melimpahkan rezeki dan mencurahkan nikmatNya dengan keberkatan dari segala penjuru seperti firmanNya: 

“Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatan mereka.” 

Al-A’raf 7:96 

Maksud “menegakkan” dalam ayat ini ialah mengamalkan apa yang terkandung dalam kitab Taurat dan Injil. Kitab-kitab ini diturunkan dari sisiNya dengan membawa prinsip tauhid dan berita gembira tentang kedatangan nabi daripada keturunan Nabi Ismail as. Selain kitab-kitab itu, mereka juga mengamalkan apa yang diturunkan kepada Rasulullah saw iaitu Al-Quran. 

Manakala maksud ayat, “mereka akan mendapat makanan dari atas dan dari bawah kaki mereka,” ialah Allah swt akan melimpahkan rahmatNya dari langit dengan menurunkan hujan dan melimpahkan rahmatNya dari bumi dengan menumbuhkan tanam-tanaman yang buahnya melimpah ruah. 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa tidak semua ahli kitab itu sama dalam hal akidah dan perbuatan mereka. Inilah yang disebutkan sebagai “sepuak yang adil” dalam ayat ini iaitu ada sebahagian kecil yang berlaku jujur dan lurus dalam hal agama seperti Abdullah bin Salam dan rakan-rakannya daripada kalangan Yahudi serta An-Najasy dan rakan-rakannya daripada kalangan Nasrani. Allah swt menyatakan sebahagian ahli kitab yang jujur dan lurus daripada kaum Yahudi dalam surah Al-A’raf ayat 159 dan tentang pengikut Nabi Isa as dalam surah Al-Hadid ayat 27. Firman-firmanNya: 

“Dan di antara kaum Musa itu terdapat suatu umat yang memberi petunjuk (kepada manusia) dengan hak dan dengan yang hak itulah mereka menjalankan keadilan.” 

Al-A’raf 7:159 

“Kemudian Kami iringi di belakang mereka dengan rasul-rasul Kami dan Kami iringi (pula) dengan Isa putera Maryam dan Kami berikan kepadanya Injil dan Kami jadikan dalam hati orang-orang yang mengikutinya rasa santun dan kasih sayang. Dan mereka mengada-adakan Rahbaniyyah padahal Kami tidak mewajibkannya kepada mereka tetapi (mereka sendirilah yang mengada-adakannya) untuk mencari keredhaan Allah, lalu mereka tidak memeliharanya dengan pemeliharaan yang semestinya. Maka Kami berikan kepada orang-orang yang beriman di antara mereka pahalanya dan banyak di antara mereka orang-orang fasik.” 

Al-Hadid 57:27 

Allah Ta’ala menutup ayat ini dengan celaanNya terhadap ahli kitab yang fasik. Mereka telah mendustakan para rasul, memalsukan kitab-kitab dan memakan yang haram. Mereka juga menyebarkan kekufuran, kesyirikan, kejahatan dan melakukan kerosakan. Inilah seburuk-buruk perbuatan yang telah mereka lakukan.