Surah 5: Al-Maidah (61 – 64)

Sikap Tipu Daya Orang Yahudi dan Kehinaan Mereka terhadap Allah

Surah 5: Al-Maidah (61 – 64)


Ayat 61

وَإِذَا جَآءُوكُمْ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا وَقَد دَّخَلُوا۟ بِٱلْكُفْرِ وَهُمْ قَدْ خَرَجُوا۟ بِهِۦ ۚ وَٱللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا كَانُوا۟ يَكْتُمُونَ

Dan apabila mereka (orang-orang Yahudi atau munafik itu) datang kepada kamu, mereka berkata: “Kami telah beriman”. Padahal sesungguhnya mereka itu masuk menemui kamu dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka keluar (dari sisi kamu) dengan kekufurannya juga; dan (hendaklah mereka ingat), Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.

Allah Ta’ala menyatakan antara sifat-sifat Yahudi yang munafik ialah ketika mereka berada bersama-sama Rasulullah saw atau menemui Baginda, mereka menzahirkan keimanan mereka tetapi sebenarnya akidah mereka tetap tidak berubah. Mereka sebenarnya berpura-pura apabila bersama dengan kaum mukmin tetapi hakikatnya hati mereka tetap dalam kekufuran. Ini dinyatakan dalam firmanNya: 

“Dan apabila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: ‘Kami pun telah beriman,’ tetapi apabila mereka berada sesama mereka sahaja, lalu mereka berkata: ‘Apakah kamu menceritakan kepada mereka (orang-orang mukmin) apa yang telah diterangkan Allah kepadamu, supaya dengan demikian mereka dapat mengalahkan hujjahmu di hadapan Rabbmu, tidakkah kamu mengerti?'” 

Al-Baqarah 2:76 

Pada akhir ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa Dia mengetahui segala rahsia mereka walaupun mereka menampakkan yang sebaliknya kepada manusia. Sesungguhnya Allah swt mengetahui yang ghaib dan Dia akan memberikan balasan kepada mereka dengan balasan yang sempurna. 

Ayat 62

وَتَرَىٰ كَثِيرًا مِّنْهُمْ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Dan engkau lihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba pada melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.

Allah Ta’ala menyebutkan sifat dan watak yang lain yang ada pada kaum Yahudi iaitu mereka ini bersegera melakukan pelbagai perbuatan dosa (perkara-perkara yang haram) seperti memusuhi manusia, menganiayai orang dan memakan harta orang lain secara batil. Dalam ayat ini juga, Allah swt menegaskan bahawa sesungguhnya seburuk-buruk perbuatan adalah perbuatan mereka dan seburuk-buruk pelanggaran hukum adalah daripada pelanggaran yang mereka lakukan. 

Ayat 63

لَوْلَا يَنْهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلْأَحْبَارُ عَن قَوْلِهِمُ ٱلْإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

Alangkah baiknya kalau ketua-ketua agama dan pendita-pendita mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang dusta dan dari memakan yang haram? Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan.

Ayat ini merupakan celaan kepada para ulama dan tokoh agama Yahudi kerana meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar padahal mereka mempunyai kekuasaan untuk memerintah manusia dan menerangkan kepada mereka jalan yang benar, mendorong mengerjakan kebaikan dan melarang mengerjakan keburukan. 

Ibnu ‘Abbas ra menyatakan bahawa ayat ini adalah ayat yang paling tegas dan keras dalam Al-Quran serta tidak ada ayat yang paling keras ancamannya, cercaan dan tegurannya selain ayat ini. 

Manakala Adh-Dhahak pula mengatakan, “Dalam Al-Quran, tidak ada ayat yang lebih menakutkan bagi saya daripada ayat ini.” Ayat ini menjadi hujjah ke atas para ulama apabila mereka tidak menunaikan kewajipan, lalai dan tidak bersungguh-sungguh dalam memberi petunjuk, pencerahan dan bimbingan kepada umat daripada pelbagai keburukan dan dosa yang merosakkan kehidupan individu dan

Ayat 64

وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ يَدُ ٱللَّهِ مَغْلُولَةٌ ۚ غُلَّتْ أَيْدِيهِمْ وَلُعِنُوا۟ بِمَا قَالُوا۟ ۘ بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ يُنفِقُ كَيْفَ يَشَآءُ ۚ وَلَيَزِيدَنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم مَّآ أُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ طُغْيَـٰنًا وَكُفْرًا ۚ وَأَلْقَيْنَا بَيْنَهُمُ ٱلْعَدَٰوَةَ وَٱلْبَغْضَآءَ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ كُلَّمَآ أَوْقَدُوا۟ نَارًا لِّلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا ٱللَّهُ ۚ وَيَسْعَوْنَ فِى ٱلْأَرْضِ فَسَادًا ۚ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ

Dan orang-orang Yahudi itu berkata: “Tangan Allah terbelenggu (bakhil – kikir)”, tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurniaNya luas melimpah-limpah). Ia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Ia kehendaki; dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur; dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.

Allah swt memberitahu tentang orang-orang Yahudi, (semoga mereka dilaknat terus menerus oleh Allah Ta’ala hingga ke hari kiamat) bahawa mereka secara sombong menyifatkan Allah swt sebagai Rabb yang bakhil, sebagaimana mereka juga menyifatkanNya sebagai Rabb yang miskin dan menganggap diri mereka sendiri sebagai orang-orang kaya. Mereka mengungkapkan kebakhilan Allah swt itu dengan mengatakan: “Tangan Allah terbelenggu.” Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucapkan. 

Allah Ta’ala membantah perkataan bohong dan tuduhan yang mereka ada-adakan kepadaNya dengan mengatakan bahawa sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka itulah orang-orang yang diliputi dengan kebakhilan, kedengkian dan bersikap pengecut. Mereka akan mendapat laknat atas perkataan dan perbuatan mereka. Ini kerana sesungguhnya Dia bersifat Maha Pemurah dan Maha Halus kurniaanNya dan melimpah-limpah pemberianNya, tidak ada satu pun yang melalaikanNya dan di sisiNya ada perbendaharaanNya. 

Setiap nikmat yang didapati oleh makhlukNya adalah daripadaNya dan tiada sekutu dalam pemberianNya. Dia telah menciptakan untuk makhlukNya segala sesuatu yang diperlukan pada setiap waktu dan dalam segala keadaan. FirmanNya: 

“Dan Dia telah memberikan kamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).” 

Ibrahim 14:34 

Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah saw berupa ayat-ayat yang jelas dan nyata serta benar-benar menjadikan ramai musuhNya semakin melampaui batas. Kekufuran mereka yang kebanyakannya terdiri daripada kaum Yahudi dan orang-orang seperti mereka menimbulkan perasaan hasad kepada Baginda lalu mendorong mereka untuk kufur terhadap ayat-ayat Al-Quran. 

Namun bagi orang-orang mukmin, ayat-ayat Al-Quran semakin menambah keyakinan dan keimanan mereka. Firman Allah Ta’ala: 

“Dan Kami turunkan daripada Al-Quran sesuatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan (Al-Quran) itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” 

Al-Isra’ 17:82 

Seterusnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia memberikan balasan kepada mereka dengan menimbulkan permusuhan dan saling membenci antara kaum Yahudi dan Nasrani. FirmanNya: 

“Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu padu, kecuali dalam kampung-kampung yang berbenteng atau di sebalik tembok. Permusuhan antara sesama mereka adalah sangat hebat. Kamu kira mereka itu bersatu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu kerana sesungguhnya mereka adalah kaum yang tidak mengerti.” 

Al-Hasyr 59:14 

Pada akhir ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa setiap kali mereka mengadakan pelbagai cara untuk melakukan tipu daya kepada Rasulullah saw dan setiap kali mereka melancarkan pelbagai muslihat untuk memerangi Baginda, maka Allah swt menggagalkannya dan membalikkan muslihat dan rancangan jahat mereka itu menimpa mereka sendiri. Mereka sememangnya suka berbuat kerosakan di muka bumi dan Allah Ta’ala tidak menyukai orang-orang yang memiliki sifat ini.