Surah 5: Al-Maidah (57 – 60)

Larangan Berlindung kepada Ahli Kitab dan Kaum Musyikrin yang Mencemuh Agama Islam

Surah 5: Al-Maidah (57 – 60)


Ayat 57

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلَّذِينَ ٱتَّخَذُوا۟ دِينَكُمْ هُزُوًا وَلَعِبًا مِّنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَٱلْكُفَّارَ أَوْلِيَآءَ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan – dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertakwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman.

Allah Swt melarang kaum mukmin menjadikan ahli kitab iaitu orang-orang Yahudi dan Nasrani serta orang-orang musyrik sebagai wali iaitu dengan mencintai mereka, memberikan taat setia kepada mereka atau membocorkan rahsia kaum muslimin kepada mereka serta menolong mereka dalam perkara yang merugikan agama Islam dan kaum muslimin. 

Allah Swt juga memerintahkan mereka untuk tetap bertakwa kepada Allah Ta’ala dengan menjalankan perintahNya dan menjauhi larangan-Nya. Orang-orang mukmin juga diperintahkan agar berlepas diri daripada mereka dan memusuhi mereka. Ini kerana sikap mereka yang mencela agama kaum muslimin dan menjadikannya sebagai bahan ejekan dan penghinaan. 

Oleh sebab itu, jika mereka masih diberikan wala’ padahal keadaan mereka (ahli kitab) seperti ini iaitu memusuhi dan menghina ajaran Islam, maka yang demikian itu menunjukkan bahawa keimanan orang yang memberikan wala’ itu begitu lemah dan tidak memiliki maruah atau kehormatan. 

Ayat 58

وَإِذَا نَادَيْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ ٱتَّخَذُوهَا هُزُوًا وَلَعِبًا ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْقِلُونَ

Dan apabila kamu menyeru (azan) untuk mengerjakan sembahyang, mereka menjadikan sembahyang itu sebagai ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu ialah kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.

Allah Swt menyebut tentang sikap buruk mereka yang mengejek seruan azan. Sesungguhnya mereka tidak berfikir dan memahami konsep beribadah kepada Allah Ta’ala, sedangkan azan itu adalah sebaik-baik panggilan iaitu panggilan menuju kejayaan, kesucian dan mengingatkan kepada Allah Ta’ala yang Maha Pencipta. 

Ayat 59

قُلْ يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ هَلْ تَنقِمُونَ مِنَّآ إِلَّآ أَنْ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ إِلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ مِن قَبْلُ وَأَنَّ أَكْثَرَكُمْ فَـٰسِقُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak mencela dan menyalahkan kami melainkan kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, serta beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu, dan kerana kebanyakan kamu sesungguhnya adalah orang orang yang fasik”.

Ayat ini merupakan bantahan terhadap ahli kitab yang mencemuh, mencela, mentertawakan dan mempermain-mainkan agama Allah Ta’ala dan kaum muslimin. Ini kerana kaum muslimin bukan sahaja beriman kepada Allah Swt, malah mereka juga beriman dengan wahyu yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw iaitu Al-Quran dan juga kitab-kitab yang telah diturunkan kepada umat sebelumnya termasuklah kitab Taurat, Injil dan Zabur. 

Sebenarnya agama Islam bukanlah sesuatu yang mengaibkan atau tercela malah ia merupakan sebuah agama yang murni lagi suci kerana dapat menyelamatkan manusia dan memberikan kebahagiaan hidup di dunia juga di akhirat. Namun semua ini merupakan kebencian dan kesombongan sebahagian daripada ahli kitab terhadap orang-orang yang beriman, firman-Nya: 

“Dan mereka tidak menyeksa orang-orang mukmin itu melainkan kerana orang-orang mukmin itu beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji,” 

Al-Buruj 85:8 

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sebahagian daripada ahli kitab adalah fasik iaitu mereka membangkang dan terkeluar daripada hakikat agama. Agama yang ada pada mereka hanyalah kefahaman yang tidak memiliki sandaran atau dalil yang jelas dan kefahaman tersebut dianut secara mendalam sehingga susah untuk diubah. 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyebut “kebanyakan” untuk menunjukkan bahawa masih ada sebahagian kecil ahli kitab yang tetap berpegang teguh kepada pokok-pokok ajaran agama iaitu mengesakan-Nya dan hanya menyembah kepada-Nya, menyokong kebenaran dan keadilan serta mencintai kebaikan. 

Ayat 60

قُلْ هَلْ أُنَبِّئُكُم بِشَرٍّۢ مِّن ذَٰلِكَ مَثُوبَةً عِندَ ٱللَّهِ ۚ مَن لَّعَنَهُ ٱللَّهُ وَغَضِبَ عَلَيْهِ وَجَعَلَ مِنْهُمُ ٱلْقِرَدَةَ وَٱلْخَنَازِيرَ وَعَبَدَ ٱلطَّـٰغُوتَ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ شَرٌّ مَّكَانًا وَأَضَلُّ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ

Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul”.

Oleh sebab celaan ahli kitab kepada kaum mukmin yang menganggap orang-orang mukmin itu akan mendapat pembalasan yang buruk, maka Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw mengatakan kepada ahli kitab bahawa sebenarnya merekalah yang akan mendapat pembalasan berupa azab yang paling buruk pada hari kiamat. 

Dalam ayat ini, Allah Swt mengingatkan mereka tentang buruknya keadaan dan tingkah laku umat dahulu terhadap nabi mereka, serta balasan-Nya terhadap kefasikan mereka. Ketika di dunia lagi mereka mendapat kemurkaan Allah Swt iaitu laknat-Nya (dijauhi daripada rahmat Allah Ta’ala) dan ada di antara mereka diubah menjadi kera dan babi kerana perbuatan buruk mereka, sebagaimana antara mereka ada para penyembah taghut iaitu setiap apa sahaja yang disembah selain Allah Swt sedangkan dia redha dengan sembahannya itu. Oleh itu, Dia menyegerakan hukuman kepada mereka di dunia seperti dalam firman-firman-Nya: 

“Dan sesungguhnya telah kamu ketahui orang-orang yang melanggar di antaramu pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: ‘Jadilah kamu kera yang hina.'” 

Al-Baqarah 2:65 

“Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka mengerjakannya, Kami katakan kepada mereka: ‘Jadilah kamu kera yang hina.'” 

Al-A’raf 7:166 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa amatlah buruk sekali tempat tinggal mereka di akhirat kelak. Ini kerana apa yang mereka lakukan ketika berada di dunia dahulu telah tersesat dari jalan yang benar.