Surah 5: Al-Maidah (54 – 56)

Sifat Orang yang Menolong Agama Allah Swt

Surah 5: Al-Maidah (54 – 56)


Ayat 54

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِۦ فَسَوْفَ يَأْتِى ٱللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُۥٓ أَذِلَّةٍ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى ٱلْكَـٰفِرِينَ يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوْمَةَ لَآئِمٍ ۚ ذَٰلِكَ فَضْلُ ٱللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ وَٰسِعٌ عَلِيمٌ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Meliputi Pengetahuan-Nya.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia berkuasa untuk menggantikan orang-orang yang murtad dengan hamba-hamba-Nya yang lebih baik bagi agama-Nya dan mereka yang lebih kukuh dan kuat keimanan dalam menegakkan syariat-Nya iaitu mereka yang lebih lurus jalannya sebagaimana dalam firman-firman-Nya: 

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir dan sesiapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah-lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya) dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” 

Muhammad 47:38 

“Jika Allah menghendaki, nescaya Dia musnahkan kamu wahai manusia dan Dia datangkan umat yang lain (sebagai penggantimu). Dan adalah Allah Maha Kuasa berbuat demikian.” 

An-Nisa’ 4:133 

“Tidakkah kamu perhatikan, bahawa sesungguhnya Allah telah menciptakan langit dan bumi dengan hak? Jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan menggantikan(mu) dengan makhluk yang baru, dan yang demikian itu sekali-kali tidak sukar bagi Allah.” 

Ibrahim 14:19-20 

Antara  ciri-ciri hamba-hamba Allah Swt yang Dia gantikan sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas ialah: 

  • Orang-orang yang dicintai, dimuliakan dan diredhai Allah Swt dan diberi pahala dengan sebaik-baik ganjaran atas ketaatan mereka. 
  • Mereka juga mencintai Allah Swt dengan mengikuti segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. 
  • Mereka bersikap lemah lembut, rendah hati dan berkasih sayang kepada orang-orang mukmin dan bersikap keras terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam seperti dalam firman-Nya: 

“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku’ dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaan-Nya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka daripada bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya. Tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar.” 

Al-Fath 48:29 

  • Mereka berjuang pada jalan Allah Swt dan yakin dengan kebenaran, kebaikan, keutamaan dan tauhid yang membawa kepada keredhaan-Nya. Mereka juga berjuang mempertahankan tanah air, keluarga dan tempat tinggal mereka kerana Allah Ta’ala. 
  • Mereka tidak takut terhadap celaan sesiapa pun, begitu juga terhadap cemuhan dan keteguhan agama orang-orang kafir. 

Semua ini adalah kurniaan Allah Ta’ala yang diberikan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia juga memberikan taufik kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Ini kerana Allah Maha Luas pengetahuan-Nya dan Maha Mengetahui siapa yang layak di kalangan hamba-hamba-Nya yang diberikan kurniaan-Nya. 

Ayat 55

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ ٱللَّهُ وَرَسُولُهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱلَّذِينَ يُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤْتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَهُمْ رَٰكِعُونَ

Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan Rasul-Nya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).

Setelah menyebutkan larangan memberikan wala’ (kesetiaan) kepada orang-orang kafir, maka dalam ayat ini Allah Swt menerangkan siapa sebenarnya yang berhak diberikan wala’. 

Allah Swt menjelaskan bahawa penolong mereka bukanlah orang-orang Yahudi, sebaliknya penolong orang-orang beriman ialah Allah Ta’ala, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin yang mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. 

Ada yang berpendapat bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Abdullah bin Salam ketika dia dijauhi oleh orang-orang Yahudi Bani Quraizhah dan Bani Nadhir. Ada pula yang berpendapat, bahawa ayat ini turun berkenaan dengan Ubadah bin As-Samit ketika dia berlepas diri daripada orang-orang Yahudi dan redha menjadikan Allah Ta’ala, Rasul-Nya dan orang-orang mukmin sebagai penolong. 

Ayat 56

وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فَإِنَّ حِزْبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلْغَـٰلِبُونَ

Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulnya serta orang-orang yang beriman itu penolongnya (maka berjayalah dia), kerana sesungguhnya golongan (yang berpegang kepada agama) Allah, itulah yang tetap menang.

Allah Swt menjanjikan kemenangan ke atas orang-orang yang redha menjadikan Allah Ta’ala, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman sebagai penolongnya.