Surah 5: Al-Maidah (51 – 53)

Larangan Berwala’ terhadap Yahudi dan Nasrani

Surah 5: Al-Maidah (51 – 53)


Ayat 51

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَتَّخِذُوا۟ ٱلْيَهُودَ وَٱلنَّصَـٰرَىٰٓ أَوْلِيَآءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَآءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُۥ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat, kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.

Allah Swt melarang hamba-hamba-Nya yang beriman agar tidak menjadikan kaum Yahudi dan Nasrani sebagai teman rapat sama ada sebagai penasihat, tempat rujuk, pemimpin, tempat berlindung dan sebagainya. Ini kerana mereka adalah musuh Islam dan kaum muslimin. Mereka sesama ahli kitab akan saling menolong dan bantu membantu serta bersatu dalam memusuhi dan memerangi orang-orang beriman. Seterusnya Allah Swt memberi ancaman yang keras dengan seksaan kepada orang-orang yang melakukan hal tersebut. 

Ayat 52

فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِى قُلُوبِهِم مَّرَضٌۭ يُسَـٰرِعُونَ فِيهِمْ يَقُولُونَ نَخْشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَ ةٌ ۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأْتِىَ بِٱلْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِّنْ عِندِهِۦ فَيُصْبِحُوا۟ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ نَـٰدِمِينَ

Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: “Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka)”. Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisi-Nya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya.

Ayat ini pula berkenaan dengan orang-orang yang mengaku Islam tetapi dalam hati mereka ada penyakit nifak. Walaupun mereka berada dalam majlis Rasulullah saw namun hati mereka ragu-ragu dan keyakinan mereka kurang terhadap Islam. Mereka adalah orang-orang munafik atau orang-orang yang lemah iman. Mereka amat mudah menerima ahli kitab sebagai teman rapat mereka. 

Hal ini kerana mereka khuatir orang-orang kafir akan menang apabila berlaku peperangan. Sekiranya mereka telah berwala’ kepada orang-orang kafir, mereka tidak akan diserang. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak yakin bahawa Allah Swt akan memenangkan dan menyempurnakan agama Nabi Muhammad saw. 

Namun begitu setelah Allah Swt memberi kemenangan kepada kaum muslimin iaitu berupa penaklukan Kota Mekah, maka terbukalah rahsia orang munafik yang berwala’ kepada orang-orang kafir dan mereka menyesal atas apa yang mereka lakukan yang akhirnya mendatangkan kerugian kepada mereka. 

Ayat 53

وَيَقُولُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَهَـٰٓؤُلَآءِ ٱلَّذِينَ أَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ ۙ إِنَّهُمْ لَمَعَكُمْ ۚ حَبِطَتْ أَعْمَـٰلُهُمْ فَأَصْبَحُوا۟ خَـٰسِرِينَ

Dan (telatah kaum munafik itu menjadikan) orang-orang yang beriman berkata: “Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar menyertai dan menolong kamu?” Telah gugurlah amal-amal mereka, lalu menjadilah mereka: orang-orang yang rugi.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang mukmin berasa penuh kehairanan terhadap orang-orang munafik ini setelah Dia membuka aib perihal mereka yang berwala’ kepada kaum Yahudi dan Nasrani, padahal sebelum ini rahsia mereka tidak diketahui. Ini kerana mereka ini (orang-orang munafik) memperlihatkan diri mereka sebagai orang beriman dan bersumpah atas keimanan mereka, namun kini telah nampak jelas pendustaan mereka.