Bahaya dan Kejahatan Orang-orang Munafik dan Yahudi
Surah 5: Al-Maidah (41 – 45)
Ayat 41
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلرَّسُولُ لَا يَحْزُنكَ ٱلَّذِينَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْكُفْرِ مِنَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ ءَامَنَّا بِأَفْوَٰهِهِمْ وَلَمْ تُؤْمِن قُلُوبُهُمْ ۛ وَمِنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ ۛ سَمَّـٰعُونَ لِلْكَذِبِ سَمَّـٰعُونَ لِقَوْمٍ ءَاخَرِينَ لَمْ يَأْتُوكَ ۖ يُحَرِّفُونَ ٱلْكَلِمَ مِنۢ بَعْدِ مَوَاضِعِهِۦ ۖ يَقُولُونَ إِنْ أُوتِيتُمْ هَـٰذَا فَخُذُوهُ وَإِن لَّمْ تُؤْتَوْهُ فَٱحْذَرُوا۟ ۚ وَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ فِتْنَتَهُۥ فَلَن تَمْلِكَ لَهُۥ مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ لَمْ يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يُطَهِّرَ قُلُوبَهُمْ ۚ لَهُمْ فِى ٱلدُّنْيَا خِزْىٌ ۖ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang-orang yang berkata dengan mulutnya: “Kami tetap beriman”, padahal hatinya tidak beriman; demikian juga dari orang-orang Yahudi, mereka orang-orang yang sangat suka mendengar berita-berita dusta; mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain (pendita-pendita Yahudi) yang tidak pernah datang menemuimu; mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar. Mereka berkata: “Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik”. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun (yang datang) dari Allah untuknya. Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.
Ayat-ayat 41-44 turun berkenaan dengan orang-orang yang bersegera kepada kekufuran iaitu meninggalkan ketaatan kepada Allah Swt dan Rasul-Nya. Mereka lebih mengutamakan pendapat atau fikiran mereka dan hawa nafsu mengatasi syariat Allah Ta’ala.
Mereka ini adalah orang-orang munafik yang memperlihatkan keimanan mereka hanya pada lisan tetapi tidak dalam hati kerana hati mereka telah rosak. Begitu juga dengan orang-orang Yahudi. Kedua-dua golongan ini adalah musuh-musuh Islam dan para pemeluknya. Mereka semua adalah orang-orang yang sangat suka mendengar kebohongan.
Mereka sangat suka mendengar perkataan-perkataan orang lain yang belum pernah datang ke majlis Nabi Muhammad saw. Ada juga yang mengatakan maksudnya adalah mereka mendengarkan pembicaraan Baginda itu dan menyampaikannya kepada orang-orang yang tidak hadir dalam majlis daripada kalangan musuh-musuh Baginda.
Maksud ayat, “mereka ini mengubah serta meminda perkataan-perkataan (dalam Kitab Taurat) itu dari tempat-tempatnya yang sebenar.” ialah mereka mentafsirkannya dengan pentafsiran yang bukan sebenarnya dan mengubahnya setelah mereka memahami dan mengetahuinya.
Ayat “Mereka berkata: “Jika disampaikan kepada kamu hukum seperti ini maka terimalah dia, dan jika tidak disampaikannya kepada kamu, maka jagalah diri baik-baik.””. ini diturunkan berkenaan dengan dua orang Yahudi yang berzina. Mereka mengubah kitab Allah Swt yang berada di tangan mereka yang di dalamnya terdapat perintah rejam bagi penzina muhsan (yang telah menikah). Lalu mereka mengubah perintah tersebut dan membuat kesepakatan di antara mereka iaitu dengan hukuman sebat seratus kali, dihitamkan muka (dengan arang) dan diarakkan pelaku di atas keldai dengan menghadap ke belakang.
Peristiwa tersebut terjadi setelah hijrah, mereka berkata kepada kalangan mereka sendiri: “Marilah kita berhukum kepadanya (Muhammad). Jika dia memutuskan hukuman sebat dan penghitaman muka, maka terimalah keputusan itu daripadanya, dan jadikanlah hal itu sebagai hujjah antara kamu dengan Allah, bahawa ada salah seorang Nabi Allah yang telah menetapkan hal itu di antara kalian. Namun jika dia memutuskan hukuman rejam, maka janganlah kalian mengikutinya.”
Daripada Ibnu Umar ra, dia berkata: “Kaum Yahudi datang kepada Rasulullah saw, lalu mereka menyebutkan tentang seorang lelaki dan perempuan berzina daripada kaum mereka, lalu Rasulullah saw bertanya kepada mereka:
“Apa yang kalian dapati dalam Taurat tentang rejam?” Mereka menjawab: “Kami membuka aib mereka dan mereka didera.” Abdullah bin Salam mengatakan: “Kamu berdusta, sesungguhnya dalam Taurat ada rejam.” Maka mereka pun membawa Taurat dan membukanya, sehingga ketika telah sampai pada ayat rejam, salah seorang yang membacanya meletakkan tangannya (menutupi) di atas ayat tentang rejam. Dia membaca ayat sebelum dan sesudahnya. Melihatkan hal itu Abdullah bin Salam mengatakan: “Angkatlah tanganmu!” Dia pun mengangkat tangannya, ternyata di bawah tangannya ada ayat tentang rejam, maka Rasulullah saw memerintahkan kedua-duanya direjam.”
(HR. Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa orang-orang Yahudi ini mengharapkan agar hukuman yang dikenakan oleh Nabi Muhammad saw selaras dengan hukuman yang mereka ubah mengikut hawa nafsu mereka.
Seterusnya ayat ini menyatakan bahawa sesiapa yang mempunyai sifat seperti ini, tidak mungkin Allah swt membersihkan hati mereka. Hukuman ke atas mereka ialah mereka mendapat kehinaan di dunia. Manakala di akhirat mereka akan mendapat seksaan yang amat berat.
Ayat 42
سَمَّـٰعُونَ لِلْكَذِبِ أَكَّـٰلُونَ لِلسُّحْتِ ۚ فَإِن جَآءُوكَ فَٱحْكُم بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ ۖ وَإِن تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَن يَضُرُّوكَ شَيْـًٔا ۖ وَإِنْ حَكَمْتَ فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِٱلْقِسْطِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُقْسِطِينَ
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun; dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang Yahudi suka mendengar berita-berita bohong dan gemar memakan harta haram seperti rasuah. Ini menunjukkan bahawa mereka sangat suka kepada sesuatu yang haram dan tidak mengandungi keberkatan, malah menjadikan mereka dicela dan dicemuh.
Kemudian Allah Ta’ala memberikan kebebasan kepada Rasulullah saw untuk memilih sama ada ingin menjadi pengadil dalam memberi keputusan hukum antara kaum Yahudi atau menolaknya serta membiarkan mereka meminta keputusan hukum kepada pembesar dan tokoh agama mereka.
Allah Swt menjelaskan tiada apa yang boleh memudaratkan Rasulullah saw jika Baginda memilih untuk tidak memberi keputusan di antara mereka. Ini kerana mereka sebenarnya tidak berniat untuk mengikut kebenaran tetapi hanya akan mengikut apa yang selari dengan hawa nafsu mereka.
Namun menurut Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid, ‘Ikrimah, Al-Hasan, Qatadah dan ramai lagi, bahawa ayat, “maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun;” dimansuhkan dengan ayat “وَأَنِ ٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ” “dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah,” (Al-Ma’idah, 5:49) yang bermaksud Allah memerintahkan Rasulullah saw memutuskan perkara di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah sekiranya mereka membawa permasalahan kepada Baginda untuk diadili.
Sekiranya Rasulullah saw bersedia untuk memberikan keputusan hukum di antara mereka, Baginda hendaklah memberi hukuman dengan adil dan jujur sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah Ta’ala walaupun mereka itu adalah orang-orang zalim yang keluar dari jalan keadilan. Ini kerana Dia menyukai orang-orang yang berlaku adil baik sesama Muslim mahu pun terhadap musuh Islam kerana keadilan merupakan dasar Al-Quran.
Ayat 43
وَكَيْفَ يُحَكِّمُونَكَ وَعِندَهُمُ ٱلتَّوْرَىٰةُ فِيهَا حُكْمُ ٱللَّهِ ثُمَّ يَتَوَلَّوْنَ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ ۚ وَمَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ بِٱلْمُؤْمِنِينَ
Dan (sungguh menghairankan), bagaimana mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka ada Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu (dari hukumanmu)? Dan (sebenarnya) mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.
Allah Swt menyangkal dan mencela niat kaum Yahudi yang sesat dan meninggalkan kebenaran iaitu kitab Taurat. Padahal mereka mengetahui bahawa mereka diperintahkan supaya berpegang teguh dengannya.
Jika mereka betul-betul beriman, tentu mereka tidak akan berpaling daripada hukum Allah Swt yang ada dalam kitab mereka. Mereka pasti tidak datang kepada Rasulullah saw sekiranya mereka tahu Baginda akan memutuskan sesuatu perkara bertentangan dengan hawa nafsu mereka. Oleh sebab itu, mereka bukanlah daripada golongan orang-orang yang beriman kerana mereka menjadikan hawa nafsu sebagai tuhan dan menetapkan hukum-hukum mengikut hawa nafsu mereka.
Ayat 44
إِنَّآ أَنزَلْنَا ٱلتَّوْرَىٰةَ فِيهَا هُدًى وَنُورٌ ۚ يَحْكُمُ بِهَا ٱلنَّبِيُّونَ ٱلَّذِينَ أَسْلَمُوا۟ لِلَّذِينَ هَادُوا۟ وَٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلْأَحْبَارُ بِمَا ٱسْتُحْفِظُوا۟ مِن كِتَـٰبِ ٱللَّهِ وَكَانُوا۟ عَلَيْهِ شُهَدَآءَ ۚ فَلَا تَخْشَوُا۟ ٱلنَّاسَ وَٱخْشَوْنِ وَلَا تَشْتَرُوا۟ بِـَٔايَـٰتِى ثَمَنًا قَلِيلًا ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk dan cahaya yang menerangi; dengan Kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada Allah) menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi, dan (dengannya juga) ulama mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah), sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah (Taurat) itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang perubahan). Oleh itu janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri dari melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah, pangkat dan lain-lain keuntungan dunia); dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa as yang mengandungi petunjuk iaitu keterangan tentang hukum-hukum serta cahaya yang membawa keluar daripada kesesatan iaitu bab akidah berupa mengesakan-Nya dan perkara-perkara kenabian serta akhirat.
Allah Ta’ala menurunkan Taurat sebagai syariat dan perlembagaan yang menjadi landasan penerapan hukum-hukum oleh para nabi yang tunduk patuh kepada-Nya dengan memurnikan agama hanya untuk-Nya. Setelah Nabi Musa as, ramai lagi para nabi diutuskan kepada Bani Israil sehinggalah sampai kepada Nabi Isa as.
Para nabi yang diutuskan kepada mereka, semuanya tidak menyimpang daripada hukum kitab tersebut. Mereka tidak mengubah dan tidak menyelewengkannya. Begitu juga dengan pendeta-pendeta (rabbaniyyun) iaitu orang-orang alim yang ahli ibadah dan juga orang-orang alim (al-ahbaar) daripada kalangan mereka. Ini kerana mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah Swt, disebabkan mereka diamanahkan untuk menjelaskan dan mengamalkannya. Mereka kelak akan menjadi saksi di hadapan Allah Swt.
Seterusnya Allah Swt mengingatkan mereka agar takut hanya kepada-Nya dan tidak mengubah ayat-ayat-Nya serta tidak menukar hukum-hukum-Nya hanya kerana mencari habuan dunia. Sesiapa yang memutuskan sesuatu hukum yang bukan daripada ketetapan Allah Swt maka dia termasuk orang-orang yang kufur.
Ayat 45
وَكَتَبْنَا عَلَيْهِمْ فِيهَآ أَنَّ ٱلنَّفْسَ بِٱلنَّفْسِ وَٱلْعَيْنَ بِٱلْعَيْنِ وَٱلْأَنفَ بِٱلْأَنفِ وَٱلْأُذُنَ بِٱلْأُذُنِ وَٱلسِّنَّ بِٱلسِّنِّ وَٱلْجُرُوحَ قِصَاصٌ ۚ فَمَن تَصَدَّقَ بِهِۦ فَهُوَ كَفَّارَةٌ لَّهُۥ ۚ وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ
Dan kami telah tetapkan atas mereka di dalam kitab Taurat itu, bahawa jiwa dibalas dengan jiwa, dan mata dibalas dengan mata, dan hidung dibalas dengan hidung, dan telinga dibalas dengan telinga, dan gigi dibalas dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas (seimbang). Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka menjadilah dia penebus dosa baginya; dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
Ayat ini termasuk cercaan dan celaan terhadap orang-orang Yahudi kerana mereka secara sengaja dan penuh keingkaran melanggar ketentuan hukum di dalam kitab Taurat yang menetapkan hukum qisas iaitu jiwa dibalas dengan jiwa. Ini kerana mereka melakukan qisas terhadap seorang daripada Bani Nadhir yang membunuh seorang daripada Bani Quraizhah. Namun mereka tidak pula melakukan qisas terhadap seorang daripada Bani Quraizhah kerana membunuh seorang daripada Bani Nadhir, tetapi mereka menggantikannya dengan diyat.
Selain itu mereka juga menggantikan hukuman rejam yang telah ditetapkan dalam Taurat untuk penzina muhsan (yang telah menikah) kepada hukuman sebat, menghitamkan muka dan mengarak penzina di khalayak ramai.
Oleh itu, Allah Ta’ala menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang zalim kerana mereka tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan-Nya iaitu menegakkan keadilan sesama manusia.
Melalui ayat ini, dijelaskan bahawa ajaran kitab Taurat menyebut sesiapa yang melukai orang lain secara sengaja, maka dilakukan qisas terhadap yang melukai tersebut sesuai dengan perbuatannya melukai, sama ada hadnya, tempatnya, panjangnya dan kedalamannya (sama ada dalam perkara jiwa, anggota badan ataupun luka).
Namun begitu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesiapa yang memberi maaf kepada pelaku dengan melepaskan hak qisasnya maka pelaku itu dikenakan membayar diyat kepada orang yang dizalimi itu. Pembayaran diyat itu sebagai penghapus dosa atau kaffarah baginya. Mereka yang memaafkan akan mendapat pahala kerana memberi kemaafan. Juga boleh bermaksud, apabila seseorang itu memberi maaf, dosanya akan diampunkan kerana memberi kemaafan. Firman Allah Ta’ala:
“………………..bermaaf-maafan itu lebih dekat kepada takwa……………..”
Al-Baqarah 2:237
Daripada Ubadah bin Shamit, dia berkata Rasulullah saw bersabda:
“Seiapa yang berkenan mensedekahkan sesuatu daripada tubuhnya (iaitu memaafkan dan melepaskan hak qisasnya atas suatu penganiayaan yang dia alami pada sebahagian daripada tubuhnya), maka dia diberi sesuai dengan kadar sedekahnya itu.”
(HR. At-Tabari)
Namun sekiranya orang yang dizalimi itu tidak memaafkan pelaku dan tetap berkeras hendak melaksanakan qisas terhadapnya, maka qisas itu menjadi penghapus dosa pelaku tersebut dengan syarat dia menerima perlaksanaan qisas itu secara ikhlas disertai dengan penyesalan dan permohonan ampun atas dosa kezaliman yang telah dilakukannya itu.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa yang tidak melaksanakan hukum-hukum-Nya adalah seorang yang zalim. Ini kerana keadilan tidak ditegakkan kerana ada hak orang lain yang tidak dipenuhi. Ayat ini juga menjelaskan bahawa syariat umat dahulu ada yang sama dengan syariat Nabi Muhammad saw seperti hukum qisas.