Surah 5: Al-Maidah (38 – 40)

Hukuman terhadap Pencuri

Surah 5: Al-Maidah (38 – 40)


Ayat 38

وَٱلسَّارِقُ وَٱلسَّارِقَةُ فَٱقْطَعُوٓا۟ أَيْدِيَهُمَا جَزَآءًۢ بِمَا كَسَبَا نَكَـٰلًا مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt menetapkan dan memerintahkan pihak berkuasa atau pemerintah agar mengenakan hukuman potong tangan terhadap pencuri, sama ada lelaki ataupun wanita. Sesiapa yang mencuri di kalangan lelaki atau wanita, dia akan dijatuhkan hukuman potong tangan mulai daripada pergelangan tangan dengan syarat-syarat berikut: 

  • Barang yang dicuri itu pada kadar seperempat dinar atau lebih dan diambil secara sembunyi.
  • Pencuri itu adalah seorang yang berakal dan sudah baligh. 
  • Perbuatannya sudah diadukan kepada pihak berkuasa. 

Hukuman ini adalah sebagai balasan kerana mencuri harta orang lain dan juga peringatan kepada manusia agar tidak mengambil harta orang lain dengan cara mencuri. Sangat tepat apabila tangan yang digunakan untuk melakukan kejahatan dipotong sebagai hukuman daripada Allah Swt. Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana dalam keputusan dan hukuman-Nya. 

Ayat 39

فَمَن تَابَ مِنۢ بَعْدِ ظُلْمِهِۦ وَأَصْلَحَ فَإِنَّ ٱللَّهَ يَتُوبُ عَلَيْهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sesiapa yang bertaubat setelah mencuri dan kembali kepada Allah Ta’ala, maka Dia akan menerima taubat berkenaan dengan dosa yang berkaitan antara dia dengan-Nya. 

Namun begitu, taubat yang dilakukan oleh pencuri itu tidak menggugurkan hukuman pemotongan tangan dan pengembalian barang yang dicuri kepada pemiliknya. 

Imam Ahmad meriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, dia berkata seorang wanita mencuri pada zaman Rasulullah saw, lalu mangsa-mangsa kecurian tersebut membawa wanita itu bertemu dengan Baginda dan berkata: “Wahai Rasulullah, wanita ini telah mencuri harta kami. Kami akan menebusnya.” Baginda besabda: “Potonglah tangannya.” Mereka mengatakan: “Kami akan menebusnya dengan lima ratus dinar.” Baginda besabda: “Potonglah tangannya.” Lalu tangan kanannya dipotong. Kemudian wanita (pencuri) itu bertanya: “Apakah taubatku diterima wahai Rasulullah!” Baginda menjawab: “Ya engkau pada hari ini seperti hari engkau dilahirkan oleh ibumu.” ‘Abdullah bin ‘Amr mengatakan, maka Allah menurunkan ayat: “Maka sesiapa yang bertaubat (di antara pencuri-pencuri itu) sesudah melakukan kejahatan itu, dan memperbaiki diri, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” 

Ayat 40

أَلَمْ تَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ لَهُۥ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ يُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ وَيَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Ia menyeksakan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan dan hukum syariat-Nya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan dan hukum syariat-Nya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia-lah Pencipta alam semesta, Pengatur dan Penguasanya. Dia Maha Bijaksana dalam menentukan sesuatu keputusan. Dia menyeksa dan mengampuni sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya kerana Dia benar-benar Maha Berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.