Surah 5: Al-Maidah (36 – 37)

Keinginan Orang Kafir untuk Menebus Dirinya

Surah 5: Al-Maidah (36 – 37)


Ayat 36

إِنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْ أَنَّ لَهُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًۭا وَمِثْلَهُۥ مَعَهُۥ لِيَفْتَدُوا۟ بِهِۦ مِنْ عَذَابِ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ مَا تُقُبِّلَ مِنْهُمْ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kafir, kalau (tiap-tiap seorang dari) mereka mempunyai segala yang ada di muka bumi atau sebanyak itu lagi bersamanya, untuk mereka menjadikannya penebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tebusan itu tidak akan diterima dari mereka; dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt tidak akan menerima apa jua bentuk tebusan daripada orang-orang kafir di akhirat nanti walaupun mereka menjadikan seluruh apa yang ada di muka bumi ini sebagai penebus diri mereka. Malahan mereka tidak memiliki pilihan dan tiada tempat untuk melarikan diri daripada seksaan api neraka dan mereka kekal di dalamnya. 

Ayat 37

يُرِيدُونَ أَن يَخْرُجُوا۟ مِنَ ٱلنَّارِ وَمَا هُم بِخَـٰرِجِينَ مِنْهَا ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيمٌ

Mereka sentiasa berharap hendak keluar dari api neraka itu, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya; dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.

Allah swt menyatakan bahawa orang-orang kafir berharap dan terus menerus meminta agar mereka dikeluarkan daripada azab neraka namun mereka sekali-kali tidak akan dapat keluar daripadanya dan mereka kekal di dalamnya. FirmanNya: 

“Setiap kali mereka hendak keluar dari neraka lantaran kesengsaraan mereka, nescaya mereka dikembalikan ke dalamnya. (Kepada mereka dikatakan), ‘Rasailah azab yang membakar ini.'” 

Al-Hajj 22:22