Surah 5: Al-Maidah (32 – 34)

Hukuman bagi Hirabah dan Mengadakan Kerosakan di Bumi

Surah 5: Al-Maidah (32 – 34)


Ayat 32

مِنْ أَجْلِ ذَٰلِكَ كَتَبْنَا عَلَىٰ بَنِىٓ إِسْرَٰٓءِيلَ أَنَّهُۥ مَن قَتَلَ نَفْسًۢا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِى ٱلْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ ٱلنَّاسَ جَمِيعًا وَمَنْ أَحْيَاهَا فَكَأَنَّمَآ أَحْيَا ٱلنَّاسَ جَمِيعًا ۚ وَلَقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُنَا بِٱلْبَيِّنَـٰتِ ثُمَّ إِنَّ كَثِيرًا مِّنْهُم بَعْدَ ذَٰلِكَ فِى ٱلْأَرْضِ لَمُسْرِفُونَ

Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi.

Allah Swt menjelaskan kewajipan manusia untuk saling menghormati dan tercelanya perbuatan membunuh tanpa alasan. Ayat sebelum ini menyebut tentang pembunuhan pertama anak Nabi Adam as secara zalim di muka bumi. Begitu juga perbuatan Bani Israil yang banyak melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah termasuk membunuh para nabi. Oleh itu, Allah Swt mensyariatkan hukuman yang keras terhadap dosa membunuh dan membuat kerosakan di muka bumi. 

Hukuman ini bukanlah ditetapkan kepada Bani Israil sahaja, tetapi ditetapkan kepada sesiapa sahaja yang membunuh seorang manusia tanpa sebab yang dibenarkan seperti tuntutan qisas, murtad, zina (bagi yang berkahwin) dan sebagainya. 

Membunuh seseorang sama seperti membunuh manusia seluruhnya kerana seseorang itu adalah sebahagian daripada anggota masyarakat. Begitu juga jika seseorang itu membunuh tanpa alasan yang dibenarkan, itu menunjukkan bahawa dia tidak membezakan antara orang yang dibunuh itu dengan orang lain yang tidak bersalah. Ini juga menunjukkan tindakan yang dilakukannya itu didorong oleh hawa nafsunya yang menyuruh kepada keburukan. 

Sesiapa yang menahan diri daripada membunuh orang lain yang Allah Swt haramkan, maka seakan-akan dia telah menghidupkan manusia semuanya. Maka memelihara kehormatan jiwa seseorang sama dengan memelihara kehormatan jiwa semua manusia.

Allah Swt juga menyebutkan dalam ayat ini bahawa telah datang kepada Bani Israil para rasul-Nya. Para rasul ini membawa hujjah dan dalil-dalil petunjuk yang menunjukkan kebenaran dakwah yang mereka serukan untuk beriman kepada-Nya dan menjalankan ajaran yang diwajibkan kepada mereka. Namun kebanyakan daripada mereka tetap melanggar larangan-Nya dan meninggalkan perintah-Nya. 

Ayat 33

إِنَّمَا جَزَٰٓؤُا۟ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَسْعَوْنَ فِى ٱلْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓا۟ أَوْ يُصَلَّبُوٓا۟ أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَـٰفٍ أَوْ يُنفَوْا۟ مِنَ ٱلْأَرْضِ ۚ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْىٌ فِى ٱلدُّنْيَا ۖ وَلَهُمْ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Bahawasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.

Ayat ini menjelaskan hukuman Allah Swt dan balasan yang setimpal terhadap orang-orang yang memerangi kaum muslimin dan membuat kerosakan di muka bumi. 

Imam Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Anas ra, dia berkata, “Ada sekumpulan orang daripada suku U’kal dan suku U’rainah datang menemui Rasulullah saw di Madinah dan mereka pun melakukan bai’ah masuk Islam. Namun cuaca di kota Madinah tidak sesuai dengan mereka yang menyebabkan mereka selalu sakit. Melihatkan keadaan ini, Rasulullah saw pun memerintahkan supaya mereka dibekalkan beberapa ekor unta dan seorang penggembala, lalu menyuruh mereka untuk pergi ke gurun dan tinggal di sana, dan selama di sana mereka boleh memanfaatkan air kencing unta dan air susu unta-unta tersebut. Maka mereka pun berangkat, lalu tatkala mereka tiba di Al-Harrah, mereka kembali kufur (murtad) dan membunuh penggembala yang mereka bawa serta membawa lari unta-unta tersebut. Berita tentang kejadian itu pun sampai kepada Rasulullah saw dan Baginda mengutuskan beberapa orang untuk mencari dan mengejar mereka. Kemudian akhirnya mereka dapat ditangkap dan dihadapkan kepada Rasulullah saw. Baginda mengarahkan untuk menghukum mereka iaitu tangan dan kaki mereka dipotong secara bersilang dan mereka dibiarkan sampai ajal mereka tiba. Setelah peristiwa itu maka turunlah ayat ini. 

Maksud “melakukan bencana kerosakan” dalam ayat ini ialah menyerang kaum muslimin, secara terang-terangan memusuhi mereka, mengadakan kemusnahan di muka bumi, melakukan pembunuhan, merampas harta dan mengganggu keamanan termasuk tindakan menghalang laluan manusia sama ada di kota ataupun di kampung halaman mereka kemudian merampas harta mereka, membunuh dan menakut-nakutkan manusia sehingga jalan yang dilalui mereka menjadi tidak aman. 

Para mufassir berbeza pendapat, iaitu apakah hukuman di atas ini adalah satu pilihan, dalam erti kata adakah imam (pemerintah) atau wakilnya boleh melakukan hukuman apa sahaja sesuai yang difikirkannya atau bertepatan atau apakah hukuman tersebut disesuaikan dengan tindakan kejahatan yang dilakukan iaitu kejahatan ada hukuman tersendiri. 

Pendapat yang kuat daripada jumhur adalah imam atau hakim mempunyai hak untuk meringankan hukuman yang dianggap sesuai secara adil dan bijak tetapi harus berpegang kepada prinsip hukum yang telah ditetapkan. Oleh itu: 

  • Sekiranya seseorang itu mengganggu keamanan disertai dengan mengambil barang dan membunuh orang yang disamun itu, maka hukumannya ialah dia akan dihukum bunuh dan disalib (dibunuh dengan cara diikat pada sebatang kayu). Ini adalah cara pembunuhan yang amat berat. Mereka diazab sebelum dibunuh kerana Allah Swt sangat murka terhadap perbuatan ini. Oleh itu, mereka dikenakan hukuman yang paling teruk.
  • Sekiranya seseorang itu mengambil barang sahaja dan orang yang menjadi mangsa itu tidak dibunuh, maka pelakunya dikenakan hukuman dipotong kaki dan tangan secara berselang seli iaitu dipotong kaki kanan kemudian tangan kiri iaitu bagi harta yang mencapai batas atau had yang boleh dipotong tangannya dan sekiranya melakukan kesalahan sekali lagi maka akan dipotong kaki kiri kemudian tangan kanan. 
  • Sekiranya seseorang itu menakut-nakutkan sahaja orang yang lalu lalang di jalanan, maka dikenakan hukuman buang daerah. Ada juga yang mengatakan, mereka itu diasingkan ke daerah lain dan dipenjara di situ. 
  • Sekiranya seseorang itu membunuh sahaja tanpa mengambil harta, maka dia akan dibunuh balas iaitu qisas sahaja tanpa disalib. 

Hukuman yang dikenakan kepada mereka itu merupakan satu kehinaan besar di dunia. Di akhirat kelak mereka akan mendapat azab yang lebih besar. Ini kerana hukuman di dunia hanyalah sekejap tetapi di akhirat hukuman tersebut akan berpanjangan. 

Sekiranya seorang Islam berbuat kesalahan yang sama, mereka pun akan dikenakan dengan balasan yang sama walaupun asal ayat ini adalah ditujukan kepada orang-orang Yahudi. 

Ayat 34

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا۟ عَلَيْهِمْ ۖ فَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah Swt menyatakan bahawa hukuman terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang belum sempat ditangkap oleh penguatkuasa dan sempat bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan benar-benar tulus kerana Allah Swt, maka mereka dikecualikan daripada hukuman di atas. 

Namun sekiranya mereka bertaubat setelah ditangkap, mereka tetap akan dijatuhkan hukuman contohnya sekiranya seseorang itu pernah membunuh orang lain, para wali kepada si mati tetap memiliki hak untuk menuntut sama ada hukuman qisas, diyat atau memberikan pengampunan terhadap pembunuh tersebut. Begitu juga dalam hal seseorang yang dicuri barangnya, dia juga berhak untuk meminta kembali harta yang telah dicuri atau memaafkannya. 

Allah Swt menyatakan bahawa Dia Maha Pengampun dan Maha Pengasih. Sekiranya kesalahan itu berkaitan dengan hukum Allah Swt, maka boleh hanya bertaubat kepada-Nya. Sekiranya kesalahan itu berkaitan dengan manusia, selain bertaubat maka hendaklah diselesaikan dengan manusia juga seperti dipulangkan barang yang telah diambil dan juga meminta maaf. Oleh itu, hendaklah dibezakan antara hak Allah Swt dan hak manusia.