Kisah Qarun
Surah 28: Al-Qasas (76 – 82)
Ayat 76
إِنَّ قَـٰرُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَءَاتَيْنَـٰهُ مِنَ ٱلْكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلْعُصْبَةِ أُو۟لِى ٱلْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُۥ قَوْمُهُۥ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْفَرِحِينَ
Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Qarun itu termasuk kaum Nabi Musa as daripada kalangan Bani Israil. Qarun telah melampaui batas dengan kesombongan dan berlaku zalim terhadap kaumnya sendiri.
Allah Ta’ala telah memberikan Qarun harta kekayaan yang melimpah sehingga kunci-kunci gudangnya sangat banyak dan berat. Oleh itu terpaksa dipikul oleh sekelompok orang yang berbadan kuat.
Ketika Qarun memperlihatkan kebanggaan dan kesombongan dengan harta yang dia miliki, maka sekumpulan Bani Israil menasihatinya dengan berkata agar jangan berlaku sombong dan berbangga dengan harta yang dia miliki. Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri dan angkuh serta tidak bersyukur atas apa yang dianugerahkan-Nya.
Ibnu ‘Abbas ra menafsirkan firman Allah, “Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa,” bermaksud dia adalah sepupu Nabi Musa as, salah seorang anak kepada bapa saudara Nabi Musa as.
Ayat 77
وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.
Mereka meneruskan nasihat kepada Qarun supaya menggunakan harta yang melimpah dan nikmat yang banyak daripada kurniaan Allah Ta’ala untuk mendekatkan diri kepada-Nya dengan pelbagai ibadah yang dapat menolongnya di dunia dan akhirat.
Ayat 78
قَالَ إِنَّمَآ أُوتِيتُهُۥ عَلَىٰ عِلْمٍ عِندِىٓ ۚ أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِۦ مِنَ ٱلْقُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعًا ۚ وَلَا يُسْـَٔلُ عَن ذُنُوبِهِمُ ٱلْمُجْرِمُونَ
Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya).
Allah Ta’ala menyebutkan reaksi Qarun kepada kaumnya ketika mereka menasihati dan membimbingnya ke jalan yang benar. Qarun enggan menerima segala nasihat tersebut dan berkata kepada kaumnya dengan sombongnya bahawa dia berhak mendapat harta yang banyak itu kerana ilmu dan kepandaian yang dia miliki sehingga membuatkan dia kaya raya seperti itu.
Firman-firman Allah Ta’ala dalam surah yang lain:
“Maka apabila manusia ditimpa bahaya, dia menyeru Kami. Kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat daripada Kami, dia berkata, “Sesungguhnya aku diberi nikmat ini hanya kerana kepintaranku.” Sebenarnya, itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.”
Az-Zumar 39:49
“Dan jika Kami berikan kepadanya suatu rahmat daripada Kami setelah ditimpa kesusahan, pastilah dia berkata, ‘Ini adalah hak aku……….’”
Fussilat 41:50
Sesungguhnya Qarun telah tertipu dengan harta yang banyak dan ilmu yang ada padanya lalu dia menjadi sombong dan kufur nikmat terhadap Allah Ta’ala. Dia lupa tentang kekuasaan Allah Ta’ala yang telah membinasakan banyak umat yang kafir sebelumnya meskipun mereka lebih kuat, lebih pandai dan lebih banyak harta daripada yang dimiliki Qarun.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengatakan ketika di akhirat kelak para pendosa tidak akan ditanya tentang dosa-dosa mereka, tetapi mereka akan menerima janji-janji-Nya yang berupa azab dan pada masa itu sebarang alasan daripada mereka tidak akan diterima. Oleh itu, ayat-ayat berupa pertanyaan kepada orang-orang kafir hanyalah sebagai penghinaan dan ancaman kepada mereka.
Ayat 79
فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِۦ فِى زِينَتِهِۦ ۖ قَالَ ٱلَّذِينَ يُرِيدُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا يَـٰلَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَآ أُوتِىَ قَـٰرُونُ إِنَّهُۥ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Kemudian Qarun keluar kepada kaumnya dengan memakai perhiasannya. (Pada saat itu) berkatalah orang-orang yang semata-mata inginkan kesenangan kehidupan dunia: “Alangkah baiknya kalau kita ada kekayaan seperti yang didapati oleh Qarun! Sesungguhnya dia adalah seorang yang bernasib baik”.
Ayat 80
وَقَالَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْعِلْمَ وَيْلَكُمْ ثَوَابُ ٱللَّهِ خَيْرٌ لِّمَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا وَلَا يُلَقَّىٰهَآ إِلَّا ٱلصَّـٰبِرُونَ
Dan berkata pula orang-orang yang diberi ilmu (di antara mereka): “Janganlah kamu berkata demikian, pahala dari Allah lebih baik bagi orang yang beriman dan beramal soleh; dan tidak akan dapat menerima (pahala yang demikian) itu melainkan orang-orang yang sabar”.
Allah Ta’ala menceritakan pada satu hari Qarun keluar menemui kaumnya dengan mempamerkan kemegahan dan perhiasan kebesarannya berupa kenderaan, pakaian, para pembantu serta pengiringnya. Ketika menyaksikan kemegahan dan kemewahan Qarun itu, orang-orang yang inginkan keduniaan melihatnya dengan penuh takjub dan berangan-angan serta menzahirkan dengan ucapan bahawa mereka juga inginkan kenikmatan dunia seperti itu.
Namun ketika ucapan itu didengar oleh orang-orang beragama dan ahli ilmu yang memahami hakikat kehidupan yang sebenarnya, mereka mengatakan alangkah celakanya orang-orang yang menginginkan apa yang diberikan Allah Ta’ala kepada Qarun sedangkan dia adalah orang yang sombong dan ujub terhadap diri sendiri. Ini kerana balasan Allah Ta’ala kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh di akhirat lebih baik dan lebih bernilai daripada apa yang didapati oleh Qarun.
Sesungguhnya hanya orang-orang yang sabar dalam berbuat ketaatan kepada Allah Ta’ala dan mereka juga bersabar dalam meninggalkan maksiat kepada-Nya memahami betapa besarnya ganjaran di sisi Allah Ta’ala.
Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis sahih:
“Allah Ta’ala berfirman, ‘Aku persiapkan bagi hamba-hambaKu yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata, terdengar oleh telinga, dan terlintas dalam hati.’ Jika kalian suka bacalah, ‘Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (pelbagai jenis nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.’” (As-Sajdah: 17)
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Ayat 81
فَخَسَفْنَا بِهِۦ وَبِدَارِهِ ٱلْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُۥ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُنتَصِرِينَ
Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.
Setelah Allah Ta’ala menyebutkan kesombongan Qarun dan sikap berbangga diri dengan kekayaannya serta melakukan kezaliman kepada kaumnya, akhirnya Qarun dibenamkan ke dalam bumi bersekali dengan tempat tinggalnya sebagai balasan terhadap perbuatannya. Perkara ini disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari tentang balasan orang-orang yang menyombongkan diri, Rasulullah saw bersabda:
“(Pada zaman dahulu), pada saat seorang lelaki (berjalan dengan) menyeret pakaiannya (sampai bawah kaki, menggambarkan orang yang sombong terhadap kekayaannya), saat itu pula dia ditenggelamkan (ke dalam bumi). Dia akan terus bergerak-gerak (menuju dasarnya) hingga tiba Hari Kiamat.”
(HR. Al-Bukhari)
Firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:
“Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun, Firaun dan Haman. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Musa dengan (membawa) keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata. Tetapi mereka berlaku sombong di bumi, dan mereka orang-orang yang tidak luput (daripada azab Allah).”
Al-‘Ankabut 29:39
Allah Ta’ala menyatakan bahawa harta dan pengikut Qarun tidak dapat menyelamatkannya daripada azabNya. Qarun juga tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri mahupun orang lain.
Ayat 82
وَأَصْبَحَ ٱلَّذِينَ تَمَنَّوْا۟ مَكَانَهُۥ بِٱلْأَمْسِ يَقُولُونَ وَيْكَأَنَّ ٱللَّهَ يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ ۖ لَوْلَآ أَن مَّنَّ ٱللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا ۖ وَيْكَأَنَّهُۥ لَا يُفْلِحُ ٱلْكَـٰفِرُونَ
Dan orang-orang yang pada masa dahulu bercita-cita mendapat kekayaan seperti Qarun – mulai sedar sambil berkata: “Wah! Sesungguhnya Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya, dan Dia-lah juga yang menyempitkannya kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!”
Orang-orang yang sebelum itu memimpikan agar mendapat kekayaan seperti Qarun telah menyesal dan sedar akan hakikat yang sebenar. Mereka terkejut dengan hukuman yang menimpa Qarun dan barulah mereka mengetahui bahawa keluasan rezeki bukanlah menunjukkan keredhaan Allah Ta’ala sebagaimana sempitnya rezeki bukanlah tanda kemurkaan-Nya.
Mereka memuji Allah Ta’ala atas kurniaan, rahmat dan pemeliharaan-Nya kepada mereka. Seandainya bukan kerana belas kasihan Allah dilimpahkan kepada mereka kerana berharap sangat untuk menjadi seperti Qarun, tentulah mereka akan menerima azab yang sama.
Mereka meyakini bahawa tidak ada keuntungan atau kemenangan di sisi Allah Ta’ala bagi orang-orang yang berakhlak sama seperti Qarun yang mengingkari nikmat-Nya.