Surah 4: An-Nisa’ (160 – 161)

Diharamkan Makanan yang Baik bagi Kaum Yahudi Disebabkan Kezaliman Mereka

Surah 4: An-Nisa’ (160 – 161)


Ayat 160

فَبِظُلْمٍ مِّنَ ٱلَّذِينَ هَادُوا۟ حَرَّمْنَا عَلَيْهِمْ طَيِّبَـٰتٍ أُحِلَّتْ لَهُمْ وَبِصَدِّهِمْ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ كَثِيرًا

Maka disebabkan kezaliman yang amat besar dari perbuatan orang-orang Yahudi, Kami haramkan atas mereka makanan yang baik-baik yang pernah dihalalkan bagi mereka, dan disebabkan mereka banyak menghalang manusia dari jalan Allah.

Allah Swt menyatakan bahawa disebabkan kezaliman, penentangan, penderhakaan dan dosa-dosa besar orang-orang Yahudi, Dia mengharamkan kepada mereka makanan yang baik-baik yang sebelum ini halal bagi mereka. Ini adalah sebagai peringatan agar mereka sedar. Firman-Nya: 

“Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan segala binatang yang berkuku dan daripada lembu dan biri-biri, Kami haramkan atas mereka lemak daripada kedua-dua binatang itu, selain lemak yang melekat di punggung kedua-duanya atau yang di perut besar dan usus atau yang bercampur dengan tulang. Demikianlah Kami hukum mereka disebabkan kederhakaan mereka, dan sesungguhnya Kami adalah Maha Benar.” 

Al-An’am 6:146 

Orang-orang Yahudi menahan diri mereka dan juga menghalang manusia lain daripada mengikuti kebenaran. Inilah sikap mereka sejak dahulu hingga sekarang. 

Ayat 161

وَأَخْذِهِمُ ٱلرِّبَوٰا۟ وَقَدْ نُهُوا۟ عَنْهُ وَأَكْلِهِمْ أَمْوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلْبَـٰطِلِ ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ مِنْهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا

Dan juga (disebabkan) mereka mengambil riba padahal mereka telah dilarang melakukannya, dan (disebabkan) mereka memakan harta orang dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya). Dan (ingatlah) Kami telah menyediakan bagi orang-orang yang kafir di antara mereka, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Selain itu, Allah Swt mengharamkan makanan baik-baik kepada mereka adalah disebabkan perbuatan orang-orang Yahudi yang mengambil riba padahal mereka dilarang daripada riba melalui lisan para nabi mereka. Mereka membuat pelbagai tipu daya untuk menghalalkannya dan pelbagai cara syubahat supaya mereka tetap dapat mengambil riba. 

Mereka juga memakan harta orang lain secara batil. Oleh itu, balasan di akhirat mereka adalah azab yang sangat pedih di dalam neraka Jahannam.