Surah 4: An-Nisa’ (150 – 152)

Seseorang itu Dikira Kafir jika Dia Memisahkan Keimanan terhadap Allah dan Rasul

Surah 4: An-Nisa’ (150 – 152)


Ayat 150

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ وَيُرِيدُونَ أَن يُفَرِّقُوا۟ بَيْنَ ٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ وَيَقُولُونَ نُؤْمِنُ بِبَعْضٍ وَنَكْفُرُ بِبَعْضٍ وَيُرِيدُونَ أَن يَتَّخِذُوا۟ بَيْنَ ذَٰلِكَ سَبِيلًا

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) hendak membeza-bezakan iman mereka di antara Allah dan Rasul-rasulNya, dan (orang-orang yang) berkata: “Kami beriman kepada setengah Rasul-rasul itu dan kufur ingkar kepada setengahnya yang lain”, serta bertujuan hendak mengambil jalan lain antara iman dan kufur itu:

Allah swt mengancam orang-orang yang kafir kepada Allah daripada kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Mereka memisahkan antara keimanan kepada Allah swt dan keimanan kepada para rasul. Mereka beriman kepada sebahagian rasul dan kafir kepada sebahagian yang lain semata-mata kerana menurut hawa nafsu, sikap fanatik, adat dan tradisi nenek moyang mereka. 

Orang-orang Yahudi beriman kepada seluruh para nabi kecuali Nabi ‘Isa as dan Nabi Muhammad saw. Orang-orang Nasrani beriman kepada seluruh nabi tetapi kufur kepada Nabi Muhammad saw. 

Sesiapa yang kafir kepada salah seorang nabi, bermakna dia kafir kepada semua nabi. Ini kerana Allah swt mewajibkan manusia beriman kepada setiap nabi yang diutuskanNya kepada penduduk bumi ini. Sesiapa yang menolak kenabiannya kerana dengki atau fanatik golongan atau semata-mata mengikuti hawa nafsu, jelaslah keimanannya kepada nabi-nabi lain tidaklah berdasarkan iman yang diakui oleh syariat. 

Ayat 151

أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْكَـٰفِرُونَ حَقًّا ۚ وَأَعْتَدْنَا لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

Mereka itulah orang-orang yang kafir dengan sebenar-benarnya. Dan Kami telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang menghina.

Perbuatan mereka yang percaya kepada sebahagian rasul dan tidak percaya kepada sebahagian yang lain itu menyebabkan iman mereka tidak sah dan tidak diterima oleh Allah. Ini kerana mereka tidak beriman sepenuhnya. Oleh itu, Allah menyifatkan mereka sebagai orang-orang kafir yang sebenarnya. 

Allah swt telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu azab yang menghinakan sebagaimana mereka menghina para nabi yang mereka tidak imani dengan tidak mahu menerima ajaran yang disampaikannya daripada Allah swt. Juga disebabkan perhatian mereka adalah semata-mata untuk meraih kekayaan dunia. Adakalanya mereka kafir setelah mengetahui kenabiannya, seperti yang dilakukan oleh kebanyakan para pendeta Yahudi pada masa Rasulullah saw. Mereka dengki terhadap kenabian yang agung yang Allah swt anugerahkan kepada Baginda. Mereka menentang, mendustakan, memusuhi, mengusir dan memeranginya. Maka Allah swt menimpakan kepada mereka kehinaan di dunia dan di akhirat. FirmanNya: 

“…………….Lalu ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) karena mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” 

Al-Baqarah 2:61 

Ayat 152

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ وَلَمْ يُفَرِّقُوا۟ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ أُو۟لَـٰٓئِكَ سَوْفَ يُؤْتِيهِمْ أُجُورَهُمْ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan (imannya terhadap) seseorang pun di antara Rasul-rasul itu, (maka) mereka yang demikian, Allah akan memberi mereka pahala mereka. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Maksud ayat, “Dan orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-rasulNya dan mereka pula tidak membeza-bezakan (imannya terhadap) seseorang pun di antara Rasul-rasul itu,” ialah umat Nabi Muhammad saw kerana mereka ini mengimani seluruh kitab suci yang diturunkan oleh Allah swt serta mengimani setiap nabi yang diutus. FirmanNya: 

“Rasul telah beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepadanya daripada Rabbnya, demikian pula orang-orang yang beriman. Semuanya beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya dan rasul-rasulNya. (Mereka mengatakan): ‘Kami tidak membeza-bezakan antara seseorang pun (dengan yang lain) daripada rasul-rasulNya,’ dan mereka mengatakan: ‘Kami dengar dan kami taat.’ (Mereka berdoa): “Ampunilah kami wahai Rabb kami dan kepada Engkaulah tempat kembali.'” 

Al-Baqarah 2:285 

Allah swt menyatakan bahawa Dia menyediakan kepada mereka balasan pahala yang melimpah serta mengampuni dosa-dosa mereka.