Surah 4: An-Nisa’ (145 – 147)

Azab kepada Orang Munafik dan Allah Mengampunkan Dosa Orang Munafik yang Bertaubat

Surah 4: An-Nisa’ (145 – 147)


Ayat 145

إِنَّ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ فِى ٱلدَّرْكِ ٱلْأَسْفَلِ مِنَ ٱلنَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.

Pada hari kiamat kelak, orang-orang munafik itu akan ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah di neraka sebagai pembalasan atas kekufuran mereka. 

Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud ayat ini ialah mereka dimasukkan ke dasar neraka. Manakala Ibnu Abu Hatim meriwayatkannya daripada Ibnu Mas’ud ra, dia mengatakan orang-orang munafik itu dimasukkan ke dalam peti-peti besi yang telah dikunci mati dan peti itu tidak dapat dibuka sama sekali dan ditempatkan di dasar neraka. 

Mereka ini tidak akan mendapat seorang pun yang boleh menyelamatkan mereka daripada seksaan yang mereka alami dan mengeluarkan mereka daripada seksaan yang amat pedih itu. 

Ayat 146

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ وَأَصْلَحُوا۟ وَٱعْتَصَمُوا۟ بِٱللَّهِ وَأَخْلَصُوا۟ دِينَهُمْ لِلَّهِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلْمُؤْمِنِينَ ۖ وَسَوْفَ يُؤْتِ ٱللَّهُ ٱلْمُؤْمِنِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) Allah, serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana Allah, maka mereka yang demikian itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman (di dalam Syurga); dan Allah akan memberikan orang-orang yang beriman itu pahala yang amat besar.

Allah swt memberitahu bahawa sesiapa daripada kalangan orang-orang munafik itu bertaubat ketika mereka masih berada di dunia, nescaya Dia menerima taubat dan penyesalan mereka. 

Taubat mereka diterima jika mereka benar-benar ikhlas dan memperbaiki amal perbuatan mereka serta berpegang teguh kepada agamaNya dalam setiap urusan. Mereka akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang beriman dan akan diberikan pahala di akhirat kelak. 

Ayat 147

مَّا يَفْعَلُ ٱللَّهُ بِعَذَابِكُمْ إِن شَكَرْتُمْ وَءَامَنتُمْ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ شَاكِرًا عَلِيمًا

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur (akan nikmatNya) serta kamu beriman (kepadaNya)? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya (akan orang-orang yang bersyukur kepadaNya), lagi Maha Mengetahui (akan hal keadaan mereka).

Allah Maha Kaya, Dia tidak memerlukan selainNya dan sesungguhnya Dia mengazab hamba-hambaNya hanyalah disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan. Dia hanya akan menyeksa hamba-hambaNya, jika mereka tidak bersyukur dan tidak beriman. 

Oleh itu jika mereka memperbaiki amal perbuatan dan beriman kepada Allah dan RasulNya, maka Dia adalah Allah Yang Maha Mensyukuri lagi Maha Mengetahui. 

Ini bermaksud sesiapa yang bersyukur kepadaNya, maka Dia membalas rasa syukurnya itu dan sesiapa yang beriman, maka Allah swt menerima keimanannya. Allah swt mengetahuinya dan kelak akan membalasnya dengan pahala yang berlimpah. 

Maksud Allah swt membalas dengan sebaik-baiknya ialah Dia memberi pahala terhadap amal-amal hambaNya, memaafkan kesalahannya dan menambahkan nikmatNya. Oleh sebab itu, sesiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah swt, maka Allah Ta’ala akan memberikannya ganti yang lebih baik.