Perintah supaya Bertakwa kepada Allah Swt
Surah 4: An-Nisa’ (131 – 134)
Ayat 131
وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۗ وَلَقَدْ وَصَّيْنَا ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ وَإِن تَكْفُرُوا۟ فَإِنَّ لِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ غَنِيًّا حَمِيدًا
Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan demi sesungguhnya, Kami telah perintahkan orang-orang yang diberi Kitab dahulu daripada kamu, dan juga (perintahkan) kamu, iaitu hendaklah bertakwa kepada Allah; dan jika kamu kufur ingkar, maka (ketahuilah) sesungguhnya Allah jualah yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia-lah pencipta dan pemilik semua yang di langit dan di bumi.
Allah Ta’ala telah memerintahkan orang-orang sebelum ini daripada kaum Yahudi, Nasrani dan lain-lain sama seperti yang diperintahkan kepada umat Rasulullah saw supaya bertakwa kepada-Nya, menyembah-Nya semata-mata dan tiada sekutu bagi-Nya serta menegakkan hukum, ketentuan dan syari’at-Nya.
Jika mereka mengkufuri Allah Swt, mengingkari nikmat-nikmat dan kebaikan-Nya, sesungguhnya Dia adalah pemilik kerajaan dan kekuasaan sehingga kekufuran mereka tidak sedikitpun akan memberi mudharat terhadap-Nya. Begitu juga sifat syukur dan ketakwaan mereka tidak juga memberi manfaat sedikit pun kepada-Nya. Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya agar bertakwa dan bersyukur kepada-Nya kerana kesempurnaan-Nya yang berhak untuk dipuji dan disanjung tinggi. Firman-Nya:
“Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun daripada mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberiKu makan. Sesungguhnya Allah Dia-lah Maha Pemberi rezeki Yang mempunyai Kekuatan lagi Sangat Kukuh.”
Az-Zariyat 51:57-58
Allah Maha Kaya dan tidak perlu kepada makhluk-Nya dan ibadah mereka, bahkan merekalah yang memerlukan-Nya. Dia berhak mendapatkan segala pujian dan sanjungan kerana nikmat-Nya yang begitu banyak yang diberikan kepada makhluk-Nya.
Ayat 132
وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ وَكِيلًا
Dan bagi Allah jualah apa yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan cukuplah Allah sebagai Pengawal (yang mentadbirkan dan menguasai segala-galanya).
Allah Swt menguatkan dan menegaskan lagi bahawa segala yang di bumi dan di langit semuanya adalah makhluk ciptaan-Nya dan milik-Nya.
Allah Swt melakukan apa sahaja terhadap semua itu sekehendak-Nya baik mengadakan atau meniadakan mahupun menghidupkan atau mematikan. Cukuplah Allah Ta’ala sebagai Pengawas, Pengurus, Penjaga dan Penjamin segala urusan hamba-hambaNya dalam semua perkara.
Ayat 133
إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ أَيُّهَا ٱلنَّاسُ وَيَأْتِ بِـَٔاخَرِينَ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلَىٰ ذَٰلِكَ قَدِيرًا
Jika Allah menghendaki, nescaya Ia musnahkan kamu wahai umat manusia dan Ia datangkan gantinya dengan umat-umat yang lain. Dan adalah Allah Maha Kuasa melakukan yang demikian itu.
Ayat ini merupakan ancaman daripada Allah Ta’ala kepada manusia kerana kekafiran mereka. Sesungguhnya Dia berkuasa membinasakan hamba-hamba-Nya dan mengadakan kaum lain sebagai ganti mereka sekiranya Dia menghendakinya. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa melakukannya kerana semuanya berada dalam kekuasaan-Nya. Firman-Nya:
“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang kikir dan siapa yang kikir sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah lah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepadaNya), dan jika kamu berpaling nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu ini.”
Muhammad 47:38
Ayat 134
مَّن كَانَ يُرِيدُ ثَوَابَ ٱلدُّنْيَا فَعِندَ ٱللَّهِ ثَوَابُ ٱلدُّنْيَا وَٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا بَصِيرًا
Sesiapa yang mahukan pahala (balasan) dunia sahaja (maka rugilah dia), kerana di sisi Allah disediakan pahala (balasan) dunia dan akhirat. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
Allah Swt menyatakan bahawa sesiapa yang berusaha, beramal dan berjihad untuk meraih pahala dunia iaitu mendapatkan kenikmatan dunia berupa harta kekayaan dan sebagainya, sesungguhnya di sisi-Nya ada pahala dunia dan akhirat. Oleh itu bagi orang-orang yang beriman, mereka mengharapkan kedua-dua ganjaran iaitu pahala dunia dan akhirat. Firman-Nya:
“…………..Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: “Wahai Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia,” dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat. Dan di antara mereka ada orang yang berdo’a: “Wahai Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”
Al-Baqarah 2:200-202
Kemudian Allah Ta’ala menutup ayat ini dengan menyatakan bahawa Dia sentiasa Maha Mendengar perkataan-perkataan hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat dan mengetahui maksud, tujuan dan amal perbuatan mereka. Oleh itu dalam setiap perbuatan dan perkataan, hendaklah manusia sentiasa menanamkan kesedaran dalam diri sesungguhnya Allah Ta’ala sentiasa melihat dan mengawasi hamba-hamba-Nya.