Cara Mengatasi Masalah Nusyuz dan Perintah supaya Berlaku Adil dalam Poligami
Surah 4: An-Nisa’ (128 – 130)
Ayat 128
وَإِنِ ٱمْرَأَةٌ خَافَتْ مِنۢ بَعْلِهَا نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَآ أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَٱلصُّلْحُ خَيْرٌ ۗ وَأُحْضِرَتِ ٱلْأَنفُسُ ٱلشُّحَّ ۚ وَإِن تُحْسِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya “nusyuz” (kebencian), atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai); sedang sifat bakhil kedekut (tidak suka memberi atau bertolak ansur) itu memang tabiat semula jadi yang ada pada manusia. Dan jika kamu berlaku baik (dalam pergaulan), dan mencegah diri (daripada melakukan kezaliman), maka sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.
Allah Ta’ala Yang Maha Penyayang memberi petunjuk dengan suatu hukum yang adil dan penuh kasih sayang apabila timbul masalah dalam kehidupan bersuami isteri termasuk nusyuz. Sekiranya seorang isteri bimbang akan wujud sikap nusyuz daripada suaminya atau bimbang dirinya tidak dilayan oleh suaminya, dia boleh menggugurkan semua atau sebahagian daripada hak-haknya. Ini berlaku mungkin disebabkan suami tidak menyukai tingkah laku isteri atau isterinya sudah berumur atau kurang cantik ataupun suami telah menikahi wanita lain. Oleh itu, untuk menyelamatkan perkahwinan dengan suaminya agar tetap tinggal di rumah dengan diberikan kemuliaan dan penghormatan, isteri tersebut mengikhlaskan sebahagian daripada hak-haknya yang dahulu wajib baginya seperti gilirannya dan nafkahnya. Ini kerana perdamaian itu adalah lebih baik dan lebih utama daripada bercerai.
Nusyuz berlaku apabila suami isteri meninggalkan kewajipan masing-masing dalam hidup berumahtangga. Nusyuz yang timbul daripada pihak isteri ialah seperti meninggalkan rumah tanpa izin suaminya manakala nusyuz daripada pihak suami pula seperti bersikap kasar terhadap isterinya, tidak mahu mencampurinya, tidak menunaikan hak-hak isteri seperti nafkah dan lebih cenderung kepada isteri lain.
Ayat ini juga menyentuh tentang tabiat manusia iaitu selalu sahaja bersikap tamak dan kedekut. Kaum isteri sentiasa mempertahankan hak-haknya seperti gilirannya, nafkahnya, dilayan dengan baik dan juga sentiasa ingin mempertahankan suaminya. Begitu juga dengan suami, sentiasa ingin mempertahankan hartanya dan tidak menginginkan kehancuran rumahtangganya. Oleh itu, saling memahami dan saling berdamai lebih baik bagi kedua-dua pihak daripada perceraian.
Allah Swt juga menyatakan bahawa sekiranya para suami memperbaiki urusan mereka dan tetap mempertahankan perkahwinan dengan cara yang baik serta bersabar atas apa yang tidak mereka sukai, melayani isteri mereka dengan baik, menjauhi sikap nusyuz (melakukan perkara-perkara yang menyebabkan isteri sakit hati) maka Dia akan memberikan balasan dan pahala atas semua perbuatan tersebut. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui semua yang mereka lakukan, tiada satu pun tersembunyi daripada-Nya.
Dalam hal ini, terdapat sunnah daripada Rasulullah saw iaitu dalam kitab Sahihain disebut melalui hadis Hisyam ibnu Urwah ra daripada ayahnya, daripada ‘Aisyah ra yang menceritakan, “Ketika usia Saudah binti Zam’ah sudah lanjut, dia menghadiahkan hari gilirannya kepada ‘Aisyah ra. Sejak saat itu Baginda menggilir ‘Aisyah selama dua hari, satu hari milik ‘Aisyah, sedangkan hari yang lain hadiah daripada Saudah.”
Baginda telah melakukan perkara ini sebagai satu langkah yang boleh dicontohi oleh umatnya. Ini menunjukkan bahawa perjanjian boleh dilakukan di antara isteri dan suami. Suami tidak akan melepaskan isterinya itu dan isteri itu pula menawarkan sesuatu kepada suaminya yang berupa hadiah atau seperti dalam kes Baginda ini, Saudah telah memberikan gilirannya kepada ‘Aisyah ra.
Ayat 129
وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Dan kamu tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Ayat ini merupakan suatu hakikat yang nyata iaitu ketidakmampuan suami untuk berbuat adil terhadap isteri-isteri yang berada di bawah lindungannya, meskipun suami tersebut sangat ingin berbuat demikian.
Maksud ‘tidak dapat berlaku adil’ dalam ayat ini ialah adil dari segi perasaan kasih sayang dan hubungan seksual. Adapun tentang masalah giliran, pakaian, minuman, makanan dan pergaulan yang baik semua ini sesuai dengan kemampuan suami.
Oleh itu, Allah Ta’ala memberikan keringanan (rukhsah) dan tidak menghukum suami kerana sikap lebih cenderung kepada salah seorang isteri yang lebih dia cintai. Rasulullah saw bersabda:
“Ya Allah, ini adalah pembahagianku menurut apa yang aku miliki, maka janganlah Engkau mencelaku dalam hal yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.” (‘Aisyah berkata), “Iaitu hati.”
(HR. Abu Daud)
Manakala yang diharamkan ke atas suami ialah apabila terlalu berpihak kepada salah seorang daripada isterinya. Ini kerana akan menyebabkan seorang isteri yang beriman berada dalam keadaan dia bukanlah seorang isteri yang berhak untuk menikmati hak-hak kehidupan berkeluarga dan tidak pula sebagai wanita yang tertalak yang dapat menikah lagi dengan lelaki lain yang membuatnya bahagia dengan hak-haknya bersama suami. Sabda Rasulullah saw:
“Sesiapa yang memiliki dua isteri, lalu dia cenderung kepada salah seorang daripada mereka, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dalam keadaan tempang sebelah.”
(HR. Ahmad)
Maka Allah Swt memberi teguran kepada para suami agar tidak terlalu cenderung secara berlebihan meskipun mereka tidak mampu berlaku adil sepenuhnya. Ini kerana isteri-isteri yang dinikahi, semuanya berhak mendapat kebahagiaan dan diperlakukan dengan baik serta hak-hak mereka dijaga.
Pada akhir ayat, Allah Swt menjelaskan sekiranya para suami memperbaiki urusan suami isteri dan melakukan giliran dengan adil terhadap semua isteri serta mereka juga bertakwa kepada Allah Swt dalam segala keadaan, nescaya Allah Swt memberikan keampunan atas apa yang mereka lakukan, seperti cenderung kepada salah seorang di antara isteri-isteri mereka melebihi yang lain.
Ayat 130
وَإِن يَتَفَرَّقَا يُغْنِ ٱللَّهُ كُلًّا مِّن سَعَتِهِۦ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ وَٰسِعًا حَكِيمًا
Dan jika keduanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing dari limpah kurnia-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Bijaksana.
Allah Ta’ala menyatakan setelah suami isteri berusaha untuk berdamai dengan pelbagai cara untuk mencari jalan keluar namun tidak mendatangkan hasil, lalu mereka berpisah dengan cara yang baik dan atas dasar ketaatan kepada-Nya, maka Dia menjanjikan kecukupan pada kedua-dua pihak dengan mendapat pasangan yang lebih baik. Allah Maha Luas kurniaan-Nya, besar pemberian-Nya lagi Maha Bijaksana dalam semua perbuatan, ketentuan dan aturan-Nya.
Ini menunjukkan bahawa apabila berlaku perpisahan suami dan isteri dengan berlandaskan kepada prinsip kebaikan dan takwa, maka perpisahan tersebut akan berakhir dengan kebaikan baik di dunia mahupun di akhirat.