Surah 4: An-Nisa’ (127)

Perintah untuk Berbuat Baik dan Adil terhadap Urusan Anak Yatim

Surah 4: An-Nisa’ (127)


Ayat 127

وَيَسْتَفْتُونَكَ فِى ٱلنِّسَآءِ ۖ قُلِ ٱللَّهُ يُفْتِيكُمْ فِيهِنَّ وَمَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ فِى يَتَـٰمَى ٱلنِّسَآءِ ٱلَّـٰتِى لَا تُؤْتُونَهُنَّ مَا كُتِبَ لَهُنَّ وَتَرْغَبُونَ أَن تَنكِحُوهُنَّ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلْوِلْدَٰنِ وَأَن تَقُومُوا۟ لِلْيَتَـٰمَىٰ بِٱلْقِسْطِ ۚ وَمَا تَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِهِۦ عَلِيمًا

Dan mereka meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hak dan kewajipan) kaum perempuan. Katakanlah olehmu: “Allah akan memberi keterangan (fatwa) kepada kamu mengenai mereka dan juga (ada difatwakan dalam) apa yang selalu dibacakan kepada kamu dalam Kitab (Al-Quran) ini mengenai perempuan-perempuan yatim yang kamu tidak memberi kepadanya apa yang telah ditetapkan menjadi hak mereka, dan yang kamu suka berkahwin dengan mereka; dan juga mengenai anak-anak yang lemah (yang masih kecil lagi). Dan (kamu juga diwajibkan) supaya menguruskan (hak dan keperluan) anak-anak yatim dengan adil. Dan (ingatlah) apa jua kebaikan yang kamu lakukan (kepada mereka), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahuinya.”

Ada beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini, antaranya, Imam Bukhari meriwayatkan daripada ‘Aisyah ra tentang ayat ini, dia berkata: “Dahulu, seorang lelaki yang mengasuh seorang anak perempuan yatim adalah wali yang mewarisi anak perempuan yatim tersebut. Harta anak perempuan yatim itu digabungkan dengan hartanya, termasuk pohon kurma. Namun lelaki itu tidak ingin menikahinya bahkan pada masa yang sama dia juga enggan menikahkannya kepada lelaki lain, supaya harta anak perempuan yatim itu digabungkan dengan hartanya. Oleh itu, dia menghalang anak perempuan yatim itu bernikah. Lalu turunlah ayat ini (melarang perbuatan tersebut).” 

Dalam ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa apabila seorang lelaki mempunyai seorang anak yatim perempuan yang ada dalam pemeliharaannya lagi halal untuk dia nikahi, dan sekiranya dia menyukai untuk menikahinya, maka Allah swt memerintahkan kepadanya agar memberinya mahar yang sama seperti mahar yang diberikan kepada wanita lain. Jika dia enggan melakukan hal tersebut, hendaklah dia menikahi wanita lain. Dalam hal ini, Allah swt memberikan keluasan baginya. Inilah maksud firman Allah Ta’ala dalam surah An-Nisa’ ayat 3. 

Sekiranya dia tidak mempunyai keinginan untuk menikahinya, kerana rupanya yang tidak cantik menurut pandangannya atau memang sejak awal lagi dia tidak mempunyai keinginan terhadapnya, maka melalui ayat ini Allah swt melarangnya bersikap menyukarkan anak yatim tersebut untuk bernikah dengan lelaki lain disebabkan bimbang hartanya yang merupakan milik bersama antara dia dan anak yatim digunakan oleh suami anak yatim itu. 

Maksud ayat, “dan juga mengenai anak-anak yang lemah” dahulu pada masa jahiliah mereka tidak memberikan warisan kepada anak-anak dan tidak juga kepada anak-anak perempuan. Maka Allah swt melarang hal tersebut, dan menjelaskan masing-masing bahagiannya tersendiri (daripada harta warisan) baik dia masih kecil ataupun sudah dewasa, semuanya beroleh warisan dengan ketentuan ini. FirmanNya: 

“……………..bahagian seorang anak lelaki sama dengan bahagian dua orang anak perempuan…………….” 

An-Nisa’ 4:11 

Pada akhir ayat ini terdapat dorongan daripada Allah swt kepada hamba-hambaNya agar melakukan kebaikan kepada anak-anak yatim, orang-orang yang lemah dan kaum perempuan. Ini kerana Dia mengetahui semuanya dan kelak Dia akan memberikan balasan pahala yang berlimpah lagi sempurna.