Surah 4: An-Nisa’ (122 – 126)

Balasan Pahala kepada Orang Mukmin

Surah 4: An-Nisa’ (122 – 126)


Ayat 122

وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ سَنُدْخِلُهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۖ وَعْدَ ٱللَّهِ حَقًّا ۚ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ ٱللَّهِ قِيلًا

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?

Dalam ayat sebelum ini, Allah Swt telah menyebutkan tempat kembali orang-orang yang celaka yang menjadikan syaitan sebagai pemimpin mereka. Dalam ayat ini pula, Allah Swt menyebutkan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta bertakwa akan mendapat kemuliaan yang sempurna. 

Dia memberikan kemuliaan dan kehormatan yang sempurna kepada mereka dengan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan pelbagai kenikmatan yang lain. Mereka kekal di dalamnya tanpa ada perasaan bimbang akan kehilangan kenikmatan tersebut atau bersedih hati. Itulah keuntungan yang agung dan paling tinggi yang menjadi cita-cita setiap orang yang beriman. 

Ini adalah janji daripada Allah Ta’ala dan janji-Nya pasti benar dan nyata. Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Maha Luas dengan kebaikan, rahmat dan kurniaan-Nya. Manakala janji-janji syaitan adalah palsu, bohong dan menipu. Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya sebenar-benar perkataan adalah kalamullah (Al-Quran), dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad saw. Seburuk-buruk perkara adalah perkara-perkara yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan adalah bid’ah, dan setiap bid’ah adalah sesat, dan setiap kesesatan tempatnya di neraka.” 

(HR. At-Tirmizi) 

Ayat 123

لَّيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلَآ أَمَانِىِّ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ ۗ مَن يَعْمَلْ سُوٓءًا يُجْزَ بِهِۦ وَلَا يَجِدْ لَهُۥ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلِيًّا وَلَا نَصِيرًا

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, dia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan dia pula tidak akan mendapat – selain dari Allah – seorang pun yang akan melindunginya, dan tidak ada juga yang dapat menolongnya.

Qatadah mengatakan, telah diceritakan kepada kami bahawa kaum muslimin dan ahli kitab saling membanggakan diri. Ahli kitab berkata, “Nabi kami diutus sebelum nabi kamu, dan kitab suci kami diturunkan sebelum kitab suci kamu, maka kami lebih utama di sisi Allah daripada kamu.” Kaum muslimin mengatakan, “Justeru kami lebih utama di sisi Allah daripada kamu, nabi kami adalah penutup para nabi, dan kitab suci kami adalah penentu hukum atas semua kitab suci yang ada sebelumnya.” Maka Allah menurunkan ayat ini hingga akhir ayat 125. Kemudian Allah memenangkan hujah (alasan) kaum muslimin atas orang-orang yang menentang mereka daripada kalangan agama lain. 

(HR. At-Tabari) 

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa balasan bukanlah daripada angan-angan dan harapan semata-mata tetapi balasan adalah berdasarkan ketaatan kepada-Nya dan mengikuti apa yang disyariatkan-Nya melalui lisan para rasul yang mulia. 

Oleh itu sesiapa yang melakukan kejahatan, maka dia tidak akan mendapati selain Allah Swt sebagai penolong dan dia akan menerima balasan dan akibat daripada perbuatannya. Firman-Nya: 

“Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarahpun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” 

Al-Zalzalah 99:7 

Ayat 124

وَمَن يَعْمَلْ مِنَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ مِن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ يَدْخُلُونَ ٱلْجَنَّةَ وَلَا يُظْلَمُونَ نَقِيرًا

Dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga, dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasannya) sedikitpun.

Allah Swt menjelaskan tentang kebaikan, kemurahan dan rahmat-Nya, iaitu Dia akan menerima amal-amal soleh daripada hamba-hamba-Nya baik lelaki mahupun perempuan dengan syarat mereka adalah orang-orang yang beriman. 

Allah Swt akan memasukkan mereka ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan dan Dia tidak akan mengurangi pahala kebaikan mereka sedikit pun. 

Ayat 125

وَمَنْ أَحْسَنُ دِينًا مِّمَّنْ أَسْلَمَ وَجْهَهُۥ لِلَّهِ وَهُوَ مُحْسِنٌ وَٱتَّبَعَ مِلَّةَ إِبْرَٰهِيمَ حَنِيفًا ۗ وَٱتَّخَذَ ٱللَّهُ إِبْرَٰهِيمَ خَلِيلًا

Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid); dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayangan-Nya.

Ayat ini menjelaskan bahawa orang-orang yang paling dekat dengan Nabi Ibrahim as dan mengikuti agama yang hanif yang diwahyukan Allah Swt ialah Nabi Muhammad saw dan para pengikutnya. Hanif bermaksud berpaling daripada syirik dengan penuh keyakinan iaitu meninggalkannya atas dasar ilmu lalu menuju tauhid dan tidak berharap kepada selain Allah Swt. 

Dalam ayat ini juga terdapat penjelasan tentang syarat-syarat untuk diterima oleh Allah Swt semua amalan seseorang. Amalan-amalan tersebut hanya diberikan pahala jika orang yang melakukannya benar-benar ikhlas semata-mata kerana Allah Swt serta mengikut (muttaba’ah) sunnah Nabi saw. Allah Swt tidak akan menerima amalan-amalan seseorang tanpa ada kedua-dua syarat ini. 

Al-Khullah (kesayangan) merupakan tingkatan tertinggi dalam hal cinta. Darjat Al-Khullah ini diraih oleh Nabi Ibrahim as dan Nabi Muhammad saw dan dikenali sebagai Khalilullah. Ini merupakan satu bentuk dorongan kepada seseorang agar mengikuti Nabi Ibrahim as untuk meraih keredhaan Allah Swt. Rasulullah saw bersabda: 

“Sungguh aku memohon kepada Allah agar aku dipilih di antara kamu sebagai kekasih Allah. Maka Allah Ta’ala memilihku sebagai kekasih-Nya sebagaimana Allah menjadikan Ibrahim juga kekasih-Nya. Seandainya aku memilih di antara umatku seorang kekasih, maka aku akan memilih Abu Bakar sebagai kekasihku.” 

(HR. Muslim) 

Ayat 126

وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ مُّحِيطًا

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi; dan Allah sentiasa Meliputi (pengetahuan-Nya dan kekuasaan-Nya) akan tiap-tiap sesuatu.

Semua yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah Swt. Dia-lah yang mengatur semuanya, tiada yang dapat menghalang atau menolak apa yang telah diputuskan-Nya dan tiada yang boleh mempersoalkan apa yang dilakukan-Nya kerana Dia-lah yang memiliki keagungan, kekuasaan, keadilan, kebijaksanaan, lemah lembut dan segala-galanya. 

Ilmu Allah Ta’ala meliputi segala sesuatu, tiada sesuatu pun yang ada pada hamba-hamba-Nya tersembunyi daripada-Nya, dan tiada sekecil zarah pun di langit dan di bumi yang terhalang daripada pengetahuan-Nya. Begitu juga tidak ada yang terhalang daripada pengetahuan-Nya sama ada kecil atau pun besar.