Surah 4: An-Nisa’ (116 – 121)

Allah Tidak Mengampuni Dosa Syirik dan Angan-angan yang Ditimbulkan oleh Syaitan

Surah 4: An-Nisa’ (116 – 121)


Ayat 116

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِۦ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِٱللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَـٰلًۢا بَعِيدًا

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.

Allah swt memberi amaran bahawa dosa syirik tidak akan diampuni kerana menyekutukan Rabbul ‘alamin dan keesaanNya. Dia memiliki kesempurnaan secara mutlak dan Maha Kaya. Oleh sebab itu, kezaliman yang paling besar dan kesesatan yang paling jauh adalah beribadah kepada makhluk yang memiliki kelemahan dan kekurangan. 

Dosa-dosa selain syirik pula berada di bawah kehendak Allah swt. Jika Dia menghendaki, maka Dia mengampuninya dengan rahmat dan kebijaksanaanNya dan jika Dia menghendaki, maka Dia akan mengazabnya dengan keadilan dan kebijaksanaanNya. 

Ayat 117

إِن يَدْعُونَ مِن دُونِهِۦٓ إِلَّآ إِنَـٰثًا وَإِن يَدْعُونَ إِلَّا شَيْطَـٰنًا مَّرِيدًا

Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka;

Maksud perkataan ‘Inaathan’ dalam ayat, “Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala” adalah perempuan-perempuan. Adh-Dhahhak meriwayatkan dalam At-Tabari, dia berkata “Orang-orang musyrik mengatakan bahawa para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah. Sesungguhnya kami beribadah kepada mereka dengan tujuan agar mereka mendekatkan kami kepada Allah sedekat-dekatnya.” Patung-patung berhala yang disembah oleh orang-orang Arab Jahiliah itu biasanya diberi nama dengan nama-nama perempuan seperti Al-Lata, Al-Uzza dan Manah. FirmanNya: 

“Maka apakah patut kamu (wahai orang-orang musyrik) menganggap Al-Lata dan Al-Uzza, dan Manah yang ketiga, yang paling terkemudian (sebagai anak perempuan Allah)?” 

An-Najm 53:19-20 

Allah Ta’ala menerangkan di beberapa tempat dalam Al-Quran tentang kelemahan berhala, iaitu berhala-berhala itu tidak dapat mendengar, melihat, berkata-kata dan tidak berakal. Ini menunjukkan berhala-berhala tersebut tidak mempunyai kuasa untuk menyelamatkan atau memberi mudarat kepada sesiapa pun. 

Dalam ayat ini juga, Allah swt menjelaskan, bahawa pada hakikatnya kaum musyrikin itu menyembah syaitan. Syaitanlah yang memerintahkan mereka melakukan perkara syirik tersebut dengan menghiaskan perbuatan buruk mereka sehingga nampak indah dan benar. Dengan demikian mereka pun mensyirikkanNya dalam pelbagai amalan. FirmanNya: 

“Mereka menjadikan orang-orang alimnya dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain Allah dan (juga mereka mempertuhankan) Al-Masih putera Maryam, padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Maha suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.” 

At-Taubah 9:31 

Ayat 118

لَّعَنَهُ ٱللَّهُ ۘ وَقَالَ لَأَتَّخِذَنَّ مِنْ عِبَادِكَ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Yang telah dilaknat oleh Allah, dan yang telah mengatakan: “Demi sesungguhnya, aku akan mengambil dari kalangan hamba-hambaMu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku);

Allah swt mengingatkan hamba-hambaNya tentang syaitan yang terlaknat yang sentiasa berusaha untuk menarik manusia kepada kejahatan dan memalingkan mereka daripada kebenaran dan akidah yang benar. 

Sesungguhnya syaitan mengetahui bahawa dirinya tidak mampu menyesatkan hamba-hamba Allah swt yang ikhlas, tetapi hanya mampu mempengaruhi orang-orang yang menjadikannya sebagai kawannya, mentaatinya dan meninggalkan ketaatan kepada Allah Ta’ala. Syaitan akan mengambil bahagian dalam menyesatkan mereka daripada jalan yang lurus, sama ada dalam hal-hal ilmu ataupun amal. 

Ayat 119

وَلَأُضِلَّنَّهُمْ وَلَأُمَنِّيَنَّهُمْ وَلَـَٔامُرَنَّهُمْ فَلَيُبَتِّكُنَّ ءَاذَانَ ٱلْأَنْعَـٰمِ وَلَـَٔامُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ ٱلشَّيْطَـٰنَ وَلِيًّا مِّن دُونِ ٱللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

“Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah”. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata.

Allah swt menjelaskan bagaimana syaitan menyesatkan manusia. Syaitan akan menghiasi perbuatan manusia (yang buruk) dan menampakkannya sebagai kebaikan, menyuruh menunda-nunda dan meninggalkan taubat, membangkitkan angan-angan kosong dan menipu diri sendiri. Dengan itu manusia bercita-cita untuk hidup lama di dunia dan tidak mengendahkan adanya hari kebangkitan serta hisab. 

Mereka beranggapan amalan mereka akan memasukkan mereka ke syurga sebagaimana yang menimpa orang-orang Yahudi dan Nasrani. Firman-firman Allah Ta’ala: 

“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata: “Sekali-kali tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang (yang beragama) Yahudi atau Nasrani.” Yang demikian (hanyalah) angan-angan mereka yang kosong belaka.“ 

Al-Baqarah 2:111 

“Demikian pula seperti yang menimpa orang-orang munafik, “Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang mukmin) sambil berkata, “Bukankah kami dahulu bersama-sama dengan kamu?” Mereka menjawab, “Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu (kehancuran kami) dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh (syaitan) yang amat penipu.” 

Al-Hadid 57:14 

Menurut kepercayaan orang-orang Arab jahiliah, binatang-binatang yang akan dipersembahkan kepada patung-patung berhala mestilah terlebih dahulu dipotong telinganya, tidak boleh ditunggang serta belum digunakan lagi dan dilepaskan sahaja. Ini semua adalah rekaan mereka semata. FirmanNya: 

“Allah sekali-kali tidak pernah mensyari’atkan adanya bahiirah, saaibah, wasiilah dan haam. Akan tetapi orang-orang kafir membuat-buat kedustaan terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak mengerti.” 

Al-Ma’idah 5:103 

Mengubah ciptaan Allah swt boleh dimaksudkan dengan mengubah agama Allah, juga mengubah fitrah yang tertanam dalam jiwa manusia, kerana Allah swt menciptakan hamba-hambaNya dalam keadaan hanif (lurus) dan dalam keadaan mahu menerima serta lebih tertarik kepada yang benar. Lalu syaitan datang dan menarik mereka kepada kesyirikan dan kekafiran. Mereka menghalalkan apa yang diharamkanNya dan mengharamkan apa yang dihalalkanNya. FirmanNya: 

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” 

Ar-Rum 30:30 

Ada juga ulama’ menafsirkannya dengan “mengubah penampilan fizikal” untuk kecantikan kerana terdapat sikap tidak puas hati terhadap ciptaan Allah swt. Rasulullah saw bersabda: 

“Allah melaknat wanita-wanita pembuat tatu dan yang meminta dibuatkan tatu, yang mencukur alis dan yang meminta dicukur alisnya dan wanita yang mengikir gigi untuk kecantikan, yang mereka itu mengubah-ubah ciptaan Allah.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Sesiapa yang menjadikan syaitan sebagai tuan dan pemimpinnya yang menguasai urusannya dan untuk diikuti, dia benar-benar telah merugikan dirinya. Kerugian yang besar ialah apabila meninggalkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw kemudian mengikuti jalan syaitan. Wal’iyazubillahi min zalik. 

Ayat 120

يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ ۖ وَمَا يَعِدُهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ إِلَّا غُرُورًا

Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (dengan janji-janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.

Syaitan tidak menjanjikan mereka selain penipuan dan kebatilan yang memperdayakan mereka. Syaitan menghiasi dan menampakkan kepada mereka seolah-olah ada kemanfaatan dalam kemaksiatan seperti berzina, berjudi dan minum minuman keras sedangkan semua itu mengandungi banyak kemudharatan, keburukan, kerosakan dan penderitaaan. Firman Allah Ta’ala: 

“Iblis berkata: ‘Wahai Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka.'” 

Al-Hijr 15:39-40 

Syaitan juga akan memalingkan mereka daripada mencari keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Demikian juga ia menakut-nakutkan manusia ketika mereka ingin mencari keredhaan Allah swt dengan menimbulkan rasa was-was yang dimasukkan ke dalam fikiran mereka sehingga mereka menjadi malas mengerjakan ibadah dan menggantikannya dengan angan-angan kosong. 

Ayat 121

أُو۟لَـٰٓئِكَ مَأْوَىٰهُمْ جَهَنَّمُ وَلَا يَجِدُونَ عَنْهَا مَحِيصًا

Mereka itu, tempat akhirnya ialah neraka jahanam, dan mereka pula tidak akan dapat melarikan diri daripadanya.

Bagi orang-orang yang memandang baik apa yang dijanjikan dan harapan-harapan yang diberikan oleh syaitan kepada mereka, neraka Jahannam adalah tempat kembali mereka. Mereka tidak akan menemui tempat untuk melarikan diri daripadanya dan tiada jalan keluar untuk menyelamatkan diri.