Bisikan yang Bermanfaat
Surah 4: An-Nisa’ (114)
Ayat 114
لَّا خَيْرَ فِى كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَىٰهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَـٰحٍ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا
Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.
Allah Swt menegaskan bahawa tidak ada kebaikan pada kebanyakan pembicaraan manusia kecuali pembicaraan yang mengajak manusia lain bersedekah, melakukan yang makruf atau mengadakan usaha untuk mengislahkan (mendamaikan) dua orang daripada kaum muslimin yang bergaduh atau berselisih faham. Firman Allah Ta’ala:
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Ali ‘Imran 3:103
Ibadah bersedekah boleh dilakukan melalui harta, ilmu ataupun sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Malah ibadah yang memberi manfaat bagi diri sendiri seperti tasbih, tahmid dan sebagainya juga dinilai sebagai sedekah.
Berbuat kebaikan bermaksud berbuat ihsan dan ketaatan serta segala sesuatu yang dipandang baik oleh syara’ dan akal. Termasuk berbuat baik ialah mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah melakukan perkara-perkara yang mungkar.
Keutamaan mendamaikan dua pihak yang bertengkar disebutkan dalam hadis daripada Abu Darda’, Rasulullah saw bersabda:
“Mahukah kamu aku beritahukan sesuatu amal yang lebih utama daripada puasa, solat dan sedekah? Mereka menjawab: “Tentu sahaja wahai Rasulullah!” Baginda bersabda: “Mendamaikan dua pihak yang bersengketa dan perosak hubungan antara manusia itu adalah pencukur (perosak agama).”
(HR. Ahmad, Abu Dawud dan At-Tirmizi)
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan sesiapa yang berbuat kebaikan kerana ingin mendapatkan keredhaan-Nya dengan ikhlas kelak akan diberikan-Nya pahala yang melimpah.