Hujjah Allah Swt terhadap Ahli Kitab
Surah 5: Al-Maidah (15 – 19)
Ayat 15
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ قَدْ جَآءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ كَثِيرًا مِّمَّا كُنتُمْ تُخْفُونَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَيَعْفُوا۟ عَن كَثِيرٍ ۚ قَدْ جَآءَكُم مِّنَ ٱللَّهِ نُورٌ وَكِتَـٰبٌ مُّبِينٌ
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad saw) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab Suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengutuskan seorang rasul iaitu Nabi Muhammad saw dan agama yang benar kepada seluruh penduduk bumi. Baginda diutuskan dengan membawa bukti dan keterangan yang membezakan antara yang hak dan batil.
Ayat ini juga menerangkan tentang keingkaran orang-orang Yahudi dan Nasrani terhadap hukum-hukum syarak. Mereka menyelewengkan, menakwilkan Al-Kitab dan juga menyembunyikan bukti-bukti kenabian Muhammad saw. Mereka melakukan tipu daya ini agar orang ramai tidak percaya kepada Islam dan enggan memeluknya.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran adalah kitab yang jelas dan nyata. Maksud ‘An-Nur’ dalam ayat ini ialah Islam. Boleh juga dimaksudkan bahawa Nabi Muhammad saw adalah cahaya yang membawa kepada cahaya Islam. Ada juga yang mengatakan “cahaya” ini adalah Al-Quran, yang menerangi kegelapan, kebodohan dan kesesatan.
Oleh itu, maksud “Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.” adalah kitab Al-Quran menerangkan segala yang diperlukan oleh manusia tentang perkara agama ataupun dunia seperti pengetahuan tentang Allah Swt, nama-nama-Nya, sifat dan perbuatan-Nya, demikian juga pengetahuan tentang hukum-hukum syariat-Nya dan hukum-hukum jazaa’i (pembalasan terhadap amal).
Ayat 16
يَهْدِى بِهِ ٱللَّهُ مَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَهُۥ سُبُلَ ٱلسَّلَـٰمِ وَيُخْرِجُهُم مِّنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِهِۦ وَيَهْدِيهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ
Dengan (Al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.
Al-Quran adalah kitab Allah Swt yang diturunkan kepada seluruh manusia melalui Rasul-Nya. Ia dapat membawa kepada kebahagiaan dan kesempurnaan sama ada untuk kehidupan dunia mahupun akhirat.
Allah Swt menyatakan bahawa dengan melakukan perkara-perkara yang diredhai-Nya dan meninggalkan perkara-perkara yang dibenci-Nya dapat membawa ke jalan keselamatan dan juga kebahagiaan serta kesempurnaan. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kekafiran kepada cahaya keimanan, kegelapan kemaksiatan kepada cahaya ketaatan, kegelapan kebodohan kepada cahaya pengetahuan dan kegelapan kelalaian kepada cahaya peringatan.
Ayat 17
لَّقَدْ كَفَرَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلْمَسِيحُ ٱبْنُ مَرْيَمَ ۚ قُلْ فَمَن يَمْلِكُ مِنَ ٱللَّهِ شَيْـًٔا إِنْ أَرَادَ أَن يُهْلِكَ ٱلْمَسِيحَ ٱبْنَ مَرْيَمَ وَأُمَّهُۥ وَمَن فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا ۗ وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۚ يَخْلُقُ مَا يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Demi sesungguhnya, kafirlah orang-orang yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam) katakanlah (wahai Muhammad): “(Dakwaan itu tidak benar) kerana siapakah yang dapat menahan (seksa) dari Allah sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam beserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya?” Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Ia menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Allah Swt berfirman untuk menyampaikan kepada kaum Nasrani bahawa mereka sebenarnya telah kafir. Ini kerana mereka mengatakan bahawa Nabi Isa as adalah Allah. Padahal Baginda as merupakan hamba-Nya dan termasuk ciptaan-Nya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka ucapkan.
Perkataan ini diucapkan oleh salah satu kaum Nasrani, iaitu kaum Ya’qubiyyah. Alasan mereka adalah kerana Nabi Isa as lahir tanpa bapa, padahal ada yang lebih aneh lagi, iaitu Hawa’ yang diciptakan tanpa ibu, dan Adam diciptakan tanpa bapa dan ibu. Hal ini menunjukkan bahawa ucapan mereka itu hanya berdasarkan hawa nafsu tanpa bukti dan dalil sama sekali.
Allah Swt menyatakan bahawa segala sesuatu itu di bawah kekuasaan-Nya, tiada siapa yang dapat menahan-Nya daripada membinasakan atau mematikan Nabi Isa as dan ibunya. Ibu Baginda telah meninggal sedangkan pada masa itu Baginda tidak dapat menghalang kematian ibunya, begitu juga dengan kematian dirinya. Ini menunjukkan bahawa Baginda adalah manusia biasa. Baginda dan ibunya adalah makhluk-Nya dan begitu juga dengan semua makhluk ciptaan-Nya yang lain.
Kemudian Allah Ta’ala menyatakan bahawa semua yang ada di langit dan di bumi adalah milik Allah Swt dan Dia sendirian yang mengaturnya. Oleh sebab itu, tidak layak bagi manusia yang menjadi milik-Nya sekaligus sebagai hamba-Nya menjadi tuhan untuk disembah.
Allah Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Maka, tidaklah aneh jika Al-Masih Isa putera Maryam diciptakan tanpa bapa kerana Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Tiada siapa yang dapat menghalang-Nya jika Dia menghendaki sedemikian. Dia tidak ditanya tentang apa yang dilakukan-Nya dengan kekuasaan, kekuatan, keadilan dan keagungan-Nya.
Ayat 18
وَقَالَتِ ٱلْيَهُودُ وَٱلنَّصَـٰرَىٰ نَحْنُ أَبْنَـٰٓؤُا۟ ٱللَّهِ وَأَحِبَّـٰٓؤُهُۥ ۚ قُلْ فَلِمَ يُعَذِّبُكُم بِذُنُوبِكُم ۖ بَلْ أَنتُم بَشَرٌ مِّمَّنْ خَلَقَ ۚ يَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۚ وَلِلَّهِ مُلْكُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا ۖ وَإِلَيْهِ ٱلْمَصِيرُ
Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata: “Kami adalah anak-anak Allah dan yang amat disayangi-Nya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Kalau betul demikian), maka mengapakah Dia menyeksa kamu dengan sebab dosa-dosa kamu? (Sebenarnya bukanlah sebagaimana yang kamu dakwakan) bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara manusia-manusia lain yang diciptakan-Nya. Dia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan serta hukum Syariat-Nya), demikian juga Dia menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, dan kepada Allah jualah tempat kembali”
Allah Swt membantah dakwaan ahli kitab iaitu kaum Yahudi dan Nasrani yang mendakwa mereka adalah anak-anak-Nya dan para kekasih-Nya.
Allah Swt membantah mereka dengan firman-Nya: “maka mengapakah Ia menyeksa kamu…” bermaksud sekiranya orang-orang Yahudi dan Nasrani memang anak-anak Allah dan kekasih-Nya, tentu Dia tidak akan mengancam mereka dengan neraka Jahannam dan menyeksa mereka atas kekafiran dan pendustaan mereka. Dia juga menyatakan bahawa mereka adalah manusia biasa seperti yang lainnya iaitu anak cucu Nabi Adam as. Firman-Nya:
“Tidak ada seorang pun di langit dan di bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba.”
Maryam 19:93
Sekiranya hamba-hamba-Nya melakukan kebaikan maka akan dibalas dengan ganjaran kebaikan dan sekiranya mereka melakukan keburukan, maka akan mendapat balasan keburukan atas perlakuan tersebut. Dia memutuskan di antara para hamba-Nya dan memberikan balasan sesuai dengan apa yang berhak mereka peroleh.
Sesungguhnya Allah Swt mengampuni dan menyeksa sesiapa sahaja yang Dia kehendaki sesuai dengan ilmu dan kebijaksanaan-Nya. Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Dia-lah pemilik kerajaan yang hakiki dan hanya kepada-Nya-lah tempat kembali.
Ayat 19
يَـٰٓأَهْلَ ٱلْكِتَـٰبِ قَدْ جَآءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَىٰ فَتْرَةٍ مِّنَ ٱلرُّسُلِ أَن تَقُولُوا۟ مَا جَآءَنَا مِنۢ بَشِيرٍ وَلَا نَذِيرٍ ۖ فَقَدْ جَآءَكُم بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ ۗ وَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ
Wahai Ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul kami (Muhammad s.a.w) yang menerangkan kepada kamu (akan syariat Islam) ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus), supaya kamu tidak (berdalih) dengan berkata (pada hari kiamat): “Tidak datang kepada kami seorang (Rasul) pun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran (yang mengingatkan kami)”. Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang (rasul) pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Ayat ini ditujukan kepada ahli kitab daripada kalangan orang-orang Yahudi dan Nasrani bahawa Allah Swt telah mengutus Rasul-Nya iaitu Nabi Muhammad saw kepada mereka yang tidak ada seorang Nabi atau Rasul pun setelahnya, bahkan Baginda adalah penutup bagi seluruh nabi.
Maksud “ketika terputusnya (kedatangan) Rasul-rasul (yang diutus)” dalam ayat ini ialah Baginda saw diutuskan selepas terhentinya pelantikan Rasul selepas Nabi Isa as, dalam jarak waktu yang lama. Selama tempoh tersebut, tidak ada Rasul yang memberi ajaran wahyu kepada mereka, maka banyaklah kesalahan yang telah berlaku dan Baginda akan memperbetulkan mana-mana ajaran yang salah dalam agama mereka. Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Aku adalah orang yang paling dekat dengan putera Maryam, kerana tidak ada seorang nabi pun antara aku dengannya.”
(HR. Al-Bukhari)
Para ulama berbeza pendapat tentang jarak waktu antara Nabi Isa as sebagai nabi terakhir daripada kalangan Bani Israil dan Nabi Muhammad saw, penutup para nabi.
Oleh itu, apabila Rasulullah saw diutuskan, maka ahli kitab tidak lagi dapat memberi alasan dengan mengatakan bahawa Allah Ta’ala tidak mengutuskan seorang Rasul yang datang memberi berita gembira dan peringatan kepada mereka. Ini kerana Allah tidak mengazab hamba-hamba-Nya selagi tidak diutuskan seorang Rasul yang akan berdakwah kepada mereka.
Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu, Dia berkuasa memberikan hukuman kepada orang yang derhaka kepada-Nya dan memberikan pahala kepada orang-orang yang taat kepada-Nya.