Perintah agar Menunaikan Janji dengan Allah Swt dan Tolong Menolong dalam Kebaikan dan Takwa
Surah 5: Al-Maidah (1 – 2)
Ayat 1
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَوْفُوا۟ بِٱلْعُقُودِ ۚ أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ ٱلْأَنْعَـٰمِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ غَيْرَ مُحِلِّى ٱلصَّيْدِ وَأَنتُمْ حُرُمٌ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ يَحْكُمُ مَا يُرِيدُ
Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah menetapkan hukum apa yang Dia kehendaki.
Allah Ta’ala menyeru hamba-hamba-Nya yang beriman agar menepati janji-janji mereka kepada-Nya. Ia merupakan ikrar mereka untuk beriman terhadap segala ajaran-ajaran syariat agama dan tunduk kepada-Nya. Di samping itu mereka berjanji untuk melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mereka juga diperintahkan supaya menunaikan perjanjian yang menjadi tanggungjawab mereka kepada orang lain yang berupa amanah-amanah, jual beli dan akad-akad yang lain selagi tidak bertentangan dengan kitab Allah Swt dan sunnah Rasulullah saw. Salah satu akad jual beli ialah seperti sabda Baginda saw:
“Kedua-dua belah pihak yang melakukan urusan jual beli memiliki khiyar (memilih antara meneruskan atau membatalkan akad) selagi mereka berdua belum berpisah.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah menghalalkan kepada mereka binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing kecuali apa yang akan diterangkan dalam ayat seterusnya serta diharamkan binatang buruan ketika dalam keadaan berihram.
Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan hukum dan apa sahaja yang Dia kehendaki sesuai dengan hikmah dan keadilan-Nya.
Ayat 2
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تُحِلُّوا۟ شَعَـٰٓئِرَ ٱللَّهِ وَلَا ٱلشَّهْرَ ٱلْحَرَامَ وَلَا ٱلْهَدْىَ وَلَا ٱلْقَلَـٰٓئِدَ وَلَآ ءَآمِّينَ ٱلْبَيْتَ ٱلْحَرَامَ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّن رَّبِّهِمْ وَرِضْوَٰنًا ۚ وَإِذَا حَلَلْتُمْ فَٱصْطَادُوا۟ ۚ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَـَٔانُ قَوْمٍ أَن صَدُّوكُمْ عَنِ ٱلْمَسْجِدِ ٱلْحَرَامِ أَن تَعْتَدُوا۟ ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan yang dihormati, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haram, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredhaan-Nya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu – mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
Allah Ta’ala memberi peringatan kepada orang-orang beriman agar tidak melanggar syiar-syiar-Nya. Oleh itu, mereka diperintahkan melaksanakan hukum-hukum yang telah ditetapkan dan meninggalkan larangan-larangan-Nya.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan maksud syiar-syiar Allah Ta’ala dalam ayat ini ialah manasik haji. Mujahid mengatakan, Safa dan Marwah serta hadyu dan korban semuanya termasuk syiar-syiar Allah Ta’ala. Ada juga yang berpendapat bahawa maksud syiar-syiar Allah Ta’ala ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya.
Antara larangan-larangan-Nya dalam ayat ini ialah:
- Melanggar dan mencemari bulan-bulan haram iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab dengan memerangi orang-orang musyrik pada bulan-bulan tersebut.
- Menggantikan bulan-bulan tersebut dengan bulan-bulan yang lain seperti yang dilakukan oleh masyarakat Arab pada masa jahiliah.
- Menghalang orang lain melaksanakan haji pada bulan-bulan haram. Dinamakan bulan-bulan haram adalah kerana dalam bulan-bulan tersebut diharamkan melakukan peperangan.
- Mengganggu binatang hadyu. Hadyu ialah binatang seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri yang digunakan oleh seseorang untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta’ala dengan cara binatang-binatang itu dibawa ke tanah haram dan disembelih di sana. Dagingnya dihadiahkan kepada fakir miskin dalam menyelesaikan manasik haji.
- Mengganggu binatang qalaa-id iaitu binatang hadyu yang dikalungkan atau digantungkan ke lehernya sebagai penanda supaya diketahui oleh orang bahawa binatang itu telah dipersiapkan untuk dibawa ke Kaabah.
- Mengganggu orang yang berkunjung ke Masjidil Haram dalam keadaan mereka ingin mencari kurniaan Allah Swt iaitu mencari rezeki dan keredhaan-Nya. Ini kerana sesiapa sahaja yang memasuki Baitullah Al-Haram, maka dia akan aman daripada sebarang gangguan.
- Membenci suatu kaum yang sebelum ini menghalang dan menghalau mereka supaya tidak dapat menunaikan haji. Hal ini terjadi ketika perjanjian Hudaibiyah. Maka dilarang untuk membalas dendam dan melanggar hak. Malah Allah Swt memerintahkan berlaku adil terhadap hak setiap orang. Rasulullah saw bersabda:
“Tunaikanlah amanah kepada orang yang mengamanahkannya kepadamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu.”
(HR. Abu Daud, At-Tirmizi dan Al-Hakim)
Allah Swt menyatakan bahawa apabila seseorang itu telah bertahalul selepas haji atau umrah dan telah berada di tanah halal, maka dibolehkannya berburu. Ketika ini tiada dosa untuk berburu dan memakan binatang buruan tersebut.
Allah Swt juga mewajibkan orang-orang beriman saling membantu, tolong menolong dan berganding bahu dalam melakukan kebaikan. Dia melarang saling membantu dalam berbuat dosa dan maksiat. Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang menunjukkan kepada kebaikan adalah seperti orang yang melakukan kebaikan itu sendiri.”
(HR. At-Tabrani)
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang beriman agar bertakwa kepada-Nya dengan menjalankan apa yang Dia perintahkan dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. Sesungguhnya azab Allah Swt sangat pedih kepada orang-orang yang membangkang, melanggar dan bermaksiat kepada-Nya.