Allah Swt Pasti Mengampuni Orang yang Bertaubat
Surah 4: An-Nisa’ (110 – 111)
Ayat 110
وَمَن يَعْمَلْ سُوٓءًا أَوْ يَظْلِمْ نَفْسَهُۥ ثُمَّ يَسْتَغْفِرِ ٱللَّهَ يَجِدِ ٱللَّهَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dalam ayat ini terdapat dorongan supaya memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah Swt. Allah Ta’ala berjanji untuk mengampuni dan merahmati orang yang bertaubat sekali pun orang tersebut pernah melakukan dosa, baik kecil mahupun besar, sama ada berkaitan dengan kejahatan kepada orang lain yang melibatkan harta, kehormatan diri dan nyawa ataupun perbuatan maksiat antara dirinya dengan Allah Swt.
Apabila seseorang itu beristighfar secara sempurna dengan mengakui dosa dan kembali kepada-Nya, maka Allah Swt pasti akan mengampuni dan menerima taubatnya serta memberinya taufik untuk melakukan amal soleh dan dosanya yang lepas tidak dijadikan-Nya sebagai penghalang taufik-Nya. Rasulullah saw bersabda:
“Tidaklah seorang muslim melakukan suatu dosa, kemudian dia berwuduk dan mengerjakan solat dua rakaat, lalu memohon ampun kepada Allah daripada dosa tersebut, kecuali Allah pasti mengampuninya.”
(HR. Ahmad)
Ayat 111
وَمَن يَكْسِبْ إِثْمًا فَإِنَّمَا يَكْسِبُهُۥ عَلَىٰ نَفْسِهِۦ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا
Dan sesiapa yang mengerjakan sesuatu dosa maka sesungguhnya ia hanya mengerjakannya untuk (menjadi bala bencana yang) menimpa dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Sesiapa yang melakukan kesalahan dialah yang akan menerima hukumannya sama ada hukuman di dunia ataupun di akhirat. Dialah yang akan menanggungnya bukan ditanggung oleh orang lain. Firman Allah Swt:
“Bahawasanya seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain.”
An-Najm 53:38
Dalam ayat di atas terdapat bukti keadilan dan kebijaksanaan Allah Swt, bahawa Dia tidak menghukum orang lain kerana kesalahan yang dilakukan oleh seseorang dan tidak menghukum lebih daripada dosa yang dilakukan.
Allah maha sempurna ilmu dan kebijaksanaan-Nya. Antara ilmu dan kebijaksanaan-Nya adalah Dia mengetahui dosa dan apa sahaja yang timbul daripadanya seperti sebab-sebab yang mendorong seseorang itu melakukannya serta hukuman daripada perbuatan yang dilakukan. Dia juga mengetahui keadaan orang yang berdosa, jika orang itu melakukannya kerana hawa nafsu dalam hatinya yang memerintahkan kepada keburukan, tetapi jika dia sentiasa kembali kepada Tuhannya, maka Dia akan mengampuni dan memberikannya taufik untuk bertaubat.
Sebaliknya, jika kemaksiatan dilakukan kerana meremehkan perhatian Allah Swt kepadanya dan seksa-Nya, maka orang seperti ini jauh daripada mendapat keampunan dan taufik-Nya untuk bertaubat.