Sifat Orang Munafik
Surah 4: An-Nisa’ (108 – 109)
Ayat 108
يَسْتَخْفُونَ مِنَ ٱلنَّاسِ وَلَا يَسْتَخْفُونَ مِنَ ٱللَّهِ وَهُوَ مَعَهُمْ إِذْ يُبَيِّتُونَ مَا لَا يَرْضَىٰ مِنَ ٱلْقَوْلِ ۚ وَكَانَ ٱللَّهُ بِمَا يَعْمَلُونَ مُحِيطًا
Mereka menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada manusia, dalam pada itu mereka tidak menyembunyikan (kejahatan mereka) daripada Allah. Padahal Allah ada bersama-sama mereka, ketika mereka merancangkan pada malam hari, kata-kata yang tidak diredhai oleh Allah. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya akan apa yang mereka lakukan.
Ini merupakan penafian dan ancaman kepada orang-orang munafik yang berusaha menyembunyikan sifat buruk mereka daripada orang lain. Perkara ini berlaku adalah disebabkan lemahnya iman mereka, sehingga rasa takut kepada manusia melebihi rasa takut kepada Allah Swt. Oleh sebab itu, mereka berusaha mencari jalan dengan apa cara sekali pun agar aib mereka tidak terbuka di kalangan manusia.
Walau bagaimanapun segala usaha dan perbuatan mereka itu tidak dapat disembunyikan daripada pengetahuan Allah Swt. Allah Ta’ala melihat dan menyaksikan mereka kerana Dia Maha Mengetahui rahsia-rahsia mereka dan mengetahui selok-belok keadaan mereka, khususnya ketika mereka merancang perkara jahat, seperti membebaskan orang yang bersalah dan melemparkan kesalahan kepada orang yang tidak bersalah.
Ayat 109
هَـٰٓأَنتُمْ هَـٰٓؤُلَآءِ جَـٰدَلْتُمْ عَنْهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا فَمَن يُجَـٰدِلُ ٱللَّهَ عَنْهُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ أَم مَّن يَكُونُ عَلَيْهِمْ وَكِيلًا
Sedarlah! Kamu ini adalah orang-orang (yang telah menyimpang dari kebenaran), kamu telah berhujah membela mereka (yang bersalah) dalam kehidupan dunia ini, maka siapakah yang akan berhujah kepada Allah untuk membela mereka itu pada hari kiamat kelak? Atau siapakah yang akan menjadi pelindung mereka (dari azab seksa yang disediakan oleh Allah)?
Allah Swt memberi peringatan kepada kaum munafik, walaupun di dunia mereka terlepas daripada kesalahan dan dimenangkan tetapi pada hari kiamat di hadapan Allah Swt, tiada siapa yang dapat melindungi dan membela mereka kerana Allah Maha Mengetahui segala rahsia yang tersembunyi.
Dalam ayat ini juga terdapat bimbingan agar seseorang itu terlebih dahulu meneliti kesan daripada perbuatan mereka terhadap diri sendiri. Mereka perlu membandingkan antara kepentingan dunia yang diperoleh apabila meninggalkan perintah dan mengerjakan larangan, dengan hilangnya pahala di akhirat dan hukuman azab yang akan diperoleh supaya mereka tidak terdorong melakukan kesalahan.