Perintah agar Berhukum dengan Apa yang Diturunkan oleh Allah Swt
Surah 4: An-Nisa’ (105 – 107)
Ayat 105
إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِمَآ أَرَىٰكَ ٱللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَآئِنِينَ خَصِيمًا
Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.
Terdapat beberapa riwayat tentang turunnya ayat ini antaranya ialah daripada Ummu Salamah, dia berkata: “Dua orang lelaki Ansar datang menemui Rasulullah saw dan mengadu sengketa mereka tentang harta waris mereka yang hilang. Kedua-duanya tidak memiliki bukti. Maka Rasulullah saw bersabda:
“Kamu mengajukan pertengkaran antara kamu, manakala aku hanyalah manusia biasa. Boleh jadi, sebahagian kamu lebih jelas dalam memberikan alasan dibandingkan dengan yang lain. Aku hanya memutuskan sesuai dengan apa yang aku dengar. Maka sesiapa yang telah aku menangkan padahal dia mengambil hak saudaranya, maka janganlah dia mengambilnya kerana sesungguhnya apa yang aku telah putuskan terhadapnya adalah potongan api neraka yang dia akan bawa di lehernya pada Hari Kiamat sebagai pemetik api untuk membakar dirinya sendiri.”
Maka kedua-dua orang itu menangis dan masing-masing berkata: “Aku serahkan hakku untuk saudaraku.” Lalu Baginda bersabda: “Jika begitu perkataan kamu berdua, maka pergilah. Bahagikanlah harta itu menjadi dua bahagian dan carilah yang benar serta undilah antara kamu berdua. Setelah itu silakan masing-masing daripada kamu berdua saling menghalalkan untuk saudaranya.”
(HR. Ahmad)
Ayat ini adalah perintah kepada Rasulullah saw dan orang-orang yang beriman supaya apabila hendak memutuskan sesuatu hukum, mereka hendaklah merujuk kepada Al-Quran. Ini kerana Al-Quran adalah daripada Allah Swt yang mengandungi kebenaran, baik berita mahupun ajarannya, dan adil dalam perintah dan larangannya.
Oleh itu, Al-Quran hendaklah dijadikan sumber bagi penyelesaian kepada setiap permasalahan, sama ada dalam masalah aqidah, hukum-hakam, muamalah, harta warisan dan sebagainya.
Ayat ini menunjukkan bahawa seorang hakim wajib berilmu dan adil. Dalil wajib berilmu adalah berdasarkan ayat, “dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya)” dan dalil supaya berlaku adil pula adalah berdasarkan ayat, “dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.“
Haram hukumnya jika membela orang yang diketahui khianatnya, orang yang mendakwa sesuatu adalah miliknya padahal bukan miliknya, orang yang mengingkari hak yang ditanggungnya. Namun begitu, tidak berdosa jika seseorang hakim itu tersalah menghukum kerana tidak mengetahui perkara sebenar dan juga tanpa niat untuk berlaku tidak adil dan zalim.
Ayat 106
وَٱسْتَغْفِرِ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا
Dan hendaklah engkau memohon ampun kepada Allah; kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah Swt menyeru orang-orang yang telah melakukan kesalahan agar memohon keampunan kepada-Nya terhadap dosa yang telah dilakukan. Ini kerana sesiapa yang meminta ampun, bertaubat dan kembali kepada-Nya, dia akan diberikan taufik oleh-Nya untuk beramal soleh.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun kepada orang yang beristighfar memohon ampun kepada-Nya. Dia juga Maha Penyayang dan rahmatNya Maha Luas kepada sesiapa yang meminta rahmat dan belas kasih-Nya.
Ayat 107
وَلَا تُجَـٰدِلْ عَنِ ٱلَّذِينَ يَخْتَانُونَ أَنفُسَهُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ خَوَّانًا أَثِيمًا
Dan janganlah engkau berbahas untuk membela orang-orang yang mengkhianati diri mereka sendiri. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang selalu melakukan khianat, lagi sentiasa berdosa.
Dalam ayat ini terdapat larangan berdebat untuk membela orang-orang yang bersalah. Kemungkinan berlaku kesilapan dalam menjatuhkan hukuman ke atas seseorang atas faktor liciknya beralasan dan kepandaiannya berkata-kata untuk membela dirinya. Ini kerana sesuatu perkara diputuskan dan diadili sesuai dengan apa yang didengar pada zahirnya. Ini adalah lanjutan kisah daripada ayat 105.
Sesungguhnya Allah Swt membenci orang yang melakukan pengkhianatan dan Dia mencintai orang yang amanah, jujur dan bertanggungjawab.