Perintah Mengingati Allah Swt setelah Solat dan Penekanan terhadap Kewajipan Mendirikan Solat
Surah 4: An-Nisa’ (103)
Ayat 103
فَإِذَا قَضَيْتُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ قِيَـٰمًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا ٱطْمَأْنَنتُمْ فَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ كَانَتْ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ كِتَـٰبًا مَّوْقُوتًا
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
Allah Ta’ala memerintahkan orang-orang mukmin untuk mengingati-Nya dalam setiap keadaan, terutama ketika bertembung dengan musuh kerana ketika itu kekuatan rohani dapat mengalahkan dan menundukkan kekuatan material. Oleh itu tidaklah cukup bagi orang-orang yang berjihad mengingati Allah Swt ketika dalam solat sahaja bahkan selesai solat pun mereka tidak boleh meninggalkan zikir kepada-Nya dan dalam semua keadaan. Firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama) Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beruntung.”
Al-Anfal 8:45
Apabila keadaan sudah kembali aman iaitu tiada lagi ketakutan dan ketenangan menguasai jiwa, maka hendaklah mendirikan solat sesuai dengan batas-batas, syarat-syarat dan rukun-rukunnya yang telah ditetapkan. Ini dilakukan secara sempurna dan tiada lagi keringanan padanya.
Allah Swt memerintahkan mengingati-Nya dalam setiap keadaan adalah kerana kebaikan dan kebahagiaan hati bergantung kepada tahap seorang mukmin berharap kepada-Nya, mencintai-Nya, memuji dan mengingati-Nya sepanjang masa. Salah satu cara yang paling utama untuk mencapai matlamat ini ialah dengan mengerjakan solat secara sempurna, kerana solat itu pada hakikatnya merupakan penghubung antara seorang hamba dengan Tuhannya.
Manfaat zikrullah sangat banyak; antaranya hati dan badan yang sebelumnya lemah kerana memerangi musuh menjadi segar kembali dengannya. Ini kerana sememangnya zikrullah merupakan makanan bagi hati.