Surah 4: An-Nisa’ (102)

Pensyariatan Solat Khauf

Surah 4: An-Nisa’ (102)


Ayat 102

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ ٱلصَّلَوٰةَ فَلْتَقُمْ طَآئِفَةٌ مِّنْهُم مَّعَكَ وَلْيَأْخُذُوٓا۟ أَسْلِحَتَهُمْ فَإِذَا سَجَدُوا۟ فَلْيَكُونُوا۟ مِن وَرَآئِكُمْ وَلْتَأْتِ طَآئِفَةٌ أُخْرَىٰ لَمْ يُصَلُّوا۟ فَلْيُصَلُّوا۟ مَعَكَ وَلْيَأْخُذُوا۟ حِذْرَهُمْ وَأَسْلِحَتَهُمْ ۗ وَدَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَوْ تَغْفُلُونَ عَنْ أَسْلِحَتِكُمْ وَأَمْتِعَتِكُمْ فَيَمِيلُونَ عَلَيْكُم مَّيْلَةً وَٰحِدَةً ۚ وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن كَانَ بِكُمْ أَذًى مِّن مَّطَرٍ أَوْ كُنتُم مَّرْضَىٰٓ أَن تَضَعُوٓا۟ أَسْلِحَتَكُمْ ۖ وَخُذُوا۟ حِذْرَكُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابًا مُّهِينًا

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka, maka hendaklah sepuak dari mereka berdiri (mengerjakan sembahyang) bersama-samamu, dan hendaklah mereka menyandang senjata masing-masing; kemudian apabila mereka telah sujud, maka hendaklah mereka berundur ke belakang (untuk menjaga serbuan musuh); dan hendaklah datang pula puak yang lain (yang kedua) yang belum sembahyang (kerana menjaga serbuan musuh), maka hendaklah mereka bersembahyang (berjamaah) bersama-samamu, dan hendakah mereka mengambil langkah berjaga-jaga serta menyandang senjata masing-masing. Orang-orang kafir memang suka kalau kamu cuai lalai akan senjata dan harta benda kamu, supaya dengan jalan itu mereka dapat menyerbu kamu beramai-ramai dengan serentak. Dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina.

Ayat ini adalah berkaitan tentang solat khauf iaitu solat dalam keadaan yang tersangat takut. Ada pelbagai kaifiyat (tatacara) solat khauf yang dilaksanakan dan ini bergantung kepada waktu dan situasi ketika berperang. Kadang-kadang musuh berada pada arah kiblat dan ada ketikanya mereka berada pada arah yang lain. Pelbagai cara solat khauf boleh dipelajari daripada hadis-hadis Rasulullah saw. 

Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan salah satu cara solat khauf iaitu pasukan dibahagikan kepada dua kelompok, iaitu satu kelompok berdiri menghadap ke arah musuh (untuk menjaga mereka daripada musuh) dan satu kelompok lagi berdiri dan solat bersama imam. Mereka bertukar giliran untuk solat bersama imam sebagai langkah berjaga-jaga terhadap serangan musuh. 

Dalam solat ini, pasukan perang dibahagikan kepada dua pasukan, contoh pasukan A dan pasukan B. Pasukan A berdiri menghadap musuh dan pasukan B solat bersama imam satu rakaat sambil menyandang senjata, imam berdiri di tempatnya. Ini bermaksud kumpulan B menyempurnakan sendiri satu rakaat lagi lalu salam dan kemudian kembali menghadapi musuh. 

Kemudian kumpulan A pula datang kepada imam yang sedang berdiri solat dan mereka sama-sama menyempurnakan solat satu rakaat lalu salam. Ada pendapat mengatakan bahawa imam tersebut apabila telah berada pada tahayat, beliau menunggu kumpulan A menunaikan satu lagi rakaat dan sama-sama memberi salam bersama imam. Ada pula mengatakan apabila imam memberi salam kerana telah selesai dua rakaat, kumpulan A menyambung solat mereka bagi melengkapkan dua rakaat tersebut. 

Pasukan A dan B solat dalam keadaan mereka menyandang senjata masing-masing. Mereka tidak meletakkannya di atas tanah kerana dikhuatiri mereka akan lalai terhadap senjata tersebut lalu musuh akan menyerang sehingga mereka mengalami kekalahan. 

Walau bagaimanapun, sekiranya mereka mengalami kesusahan untuk menyandang senjata disebabkan sakit seperti terluka atau hujan yang lebat, maka Allah Ta’ala memberi keringanan kepada mereka untuk meletakkan senjata. 

Antara tatacara solat khauf yang dilaksanakan oleh Rasulullah saw adalah seperti diriwayatkan oleh Ibnu Abi Hatim, daripada Salim, daripada ayahnya, dia berkata: “Rasulullah saw solat satu rakaat bersama salah satu daripada dua kelompok, sedangkan kelompok yang lain menghadapi musuh. Kemudian kelompok yang sebelumnya berhadapan dengan musuh, melaksanakan solat satu rakaat bersama-sama Rasulullah saw, kemudian Baginda mengakhiri salam bersama mereka. Kemudian kedua-dua kelompok masing-masing berdiri dan solat satu rakaat, satu rakaat.” 

Dalam ayat ini juga, terdapat dalil bahawa solat berjemaah hukumnya fardhu ain, kerana Allah Ta’ala tetap memerintahkan solat berjemaah walaupun dalam keadaan takut dan bimbang. Jika dalam keadaan seperti ini masih diperintahkan solat berjemaah, maka dalam keadaan aman lebih diperintahkan lagi. 

Namun begitu dalam keadaan berperang serta sulit untuk dilakukan secara berjemaah, maka masing-masing mengerjakan solat sesuai mengikut kemampuan, boleh solat sambil berjalan, menaiki kenderaan sama ada menghadap kiblat ataupun tidak. Firman Allah: 

“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka solatlah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan solat secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” 

Al-Baqarah 2:239