Syariat Mengqasar Solat ketika Bermusafir
Surah 4: An-Nisa’ (101)
Ayat 101
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِى ٱلْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ ۚ إِنَّ ٱلْكَـٰفِرِينَ كَانُوا۟ لَكُمْ عَدُوًّا مُّبِينًا
Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa “mengqasarkan” (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu.
Allah Swt menerangkan cara-cara solat bagi mereka yang dalam perjalanan (musafir) dan ketika dalam keadaan khauf (bimbang serangan musuh). Ini adalah keadaan yang biasa terjadi pada saat turunnya ayat ini kerana pada awal permulaan Islam setelah hijrah, kebanyakan perjalanan mereka dipenuhi dengan ketakutan. Bahkan tidaklah mereka keluar kecuali menuju ke medan perang atau dalam pasukan khusus.
Oleh itu, Allah Swt memberi keringanan (rukshah) untuk mengqasarkan solat iaitu memendekkan solat yang berjumlah empat rakaat menjadi dua rakaat.
Qasar juga boleh dilakukan ketika bermusafir walaupun dalam keadaan aman. Ini berpandukan beberapa hadis tentang solat qasar, antaranya daripada Ya’la bin Umayymah pernah bertanya kepada Umar Al-Khattab dalam sebuah riwayat Imam Muslim, “Kenapa kita tetap mengqasarkan solat padahal kita telah aman?” Lalu Umar berkata, “Aku juga berasa hairan seperti dirimu. Lalu aku bertanya kepada Rasulullah saw,” lalu Baginda bersabda:
“Itu adalah sedekah yang diberikan oleh Allah Ta’ala kepada kamu sekalian, maka terimahlah sedekah-Nya.”
(HR. Muslim)
Daripada Ibnu Umar ra berkata,
“Saya menemani Rasulullah saw dalam berpergian, dan Baginda tidak menunaikan solat lebih daripada dua rakaat.
Begitu juga saya menemani Abu Bakar As-Siddiq, Umar bin Khattab dan Uthman bin Affan dalam berpegian dan solat yang mereka tunaikan selama dalam perjalanan adalah tidak lebih daripada dua rakaat. Hal ini mereka praktikkan sehingga mereka meninggal dunia.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Walaupun mengqasar solat ini merupakan rukhsah (keringanan) dan tidak diwajibkan, namun perkara itu tidaklah menafikan keutamaan qasar. Bahkan mengqasar lebih utama berdasarkan Rasulullah saw sentiasa mengqasar solatnya ketika musafir.