Surah 4: An-Nisa’ (92 – 93)

Hukuman bagi Pembunuhan yang Dilakukan secara Sengaja dan Tidak Sengaja

Surah 4: An-Nisa’ (92 – 93)


Ayat 92

وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ أَن يَقْتُلَ مُؤْمِنًا إِلَّا خَطَـًٔا ۚ وَمَن قَتَلَ مُؤْمِنًا خَطَـًٔا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍۢ وَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦٓ إِلَّآ أَن يَصَّدَّقُوا۟ ۚ فَإِن كَانَ مِن قَوْمٍ عَدُوٍّۢ لَّكُمْ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍۢ ۖ وَإِن كَانَ مِن قَوْمٍۭ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُم مِّيثَـٰقٌ فَدِيَةٌ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰٓ أَهْلِهِۦ وَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مُّؤْمِنَةٍ ۖ فَمَن لَّمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ تَوْبَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “diah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika ia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang ia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kaffarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika ia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar “diah” (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ikrimah bahawa Al-Harith bin Yazid daripada Bani Amir bin Lu’ai bersama dengan Abu Jahal menyeksa ‘Iyasy bin Abi Rabi’ah. Beberapa waktu kemudian, ‘Iyasy ikut berhijrah bersama Rasulullah saw. Setelah itu suatu ketika ‘Iyasy melihat Al-Harith di suatu daerah bernama Harrah. ‘Iyasy pun menghunuskan pedangnya kepada Al-Harith sehingga meninggal dunia kerana menyangka bahawa Al-Harith masih kafir. ‘Iyasy kemudian menemui Baginda dan menceritakan kejadian tersebut, maka turunlah ayat ini. 

Dalam ayat ini, Allah swt menegaskan bahawa seorang mukmin tidak boleh membunuh saudaranya yang mukmin dengan apa cara sekalipun. FirmanNya: 

“Oleh itu Kami tetapkan (suatu hukum) bagi Bani Israil, bahawa, sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia semuanya. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka rasul-rasul Kami dengan (membawa) keterangan-keterangan yang jelas, kemudian banyak di antara mereka sesudah itu sungguh-sungguh melampaui batas dalam berbuat kerosakan dimuka bumi.” 

Al-Ma’idah 5:32 

Juga berdasarkan riwayat daripada Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda: 

“Tidak halal darah seorang muslim yang bersaksi bahawa tidak ada Ilah (yang berhak diibadahi) kecuali Allah dan bahawa aku adalah Rasulullah, kecuali dengan salah satu daripada tiga sebab: (1) jiwa (dibalas) dengan jiwa, (2) orang yang telah menikah lalu berzina dan (3) orang yang meninggalkan agamanya (apabila enggan untuk kembali kepada agama Islam) serta memisahkan diri daripada jama’ah (kaum muslimin).” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Hukuman terhadap ketiga-tiga kesalahan dalam hadis di atas hanya boleh dilaksanakan oleh pemerintah atau pihak yang diberikan kuasa. Orang perseorangan tidak dibenarkan membunuhnya. 

Hukuman yang dijatuhkan kepada orang yang melakukan pembunuhan secara tidak sengaja ada dua: 

  • Memerdekakan seorang hamba mukmin baik lelaki mahupun perempuan. 
  • Membayar tebusan (diyat) yang diberikan kepada keluarga yang terbunuh. Ini sebagai ganti rugi kepada keluarga yang merasai kehilangan dengan meninggalnya orang yang terbunuh itu. 

Diyat ini diwajibkan ke atas wali kepada pembunuh, bukan diambil daripada harta si pembunuh. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam As-Sahihain daripada Abu Hurairah ra dia berkata: 

“Dua orang wanita daripada suku Hudzail terlibat dalam satu pertikaian. Salah seorang melempar batu kepada seorang lagi hingga dia dan janin dalam kandungannya meninggal. Mereka mengadukan perkara tersebut kepada Rasulullah saw lalu Baginda memutuskan bahawa diyat janinnya adalah memerdekakan seorang hamba sahaya lelaki atau wanita. Sedangkan diyat untuk wanita itu dibebankan atas wali wanita yang membunuh. 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Diyat wajib diserahkan kepada keluarga yang terbunuh kecuali jika keluarganya merelakan iaitu memaafkan. 

Selain itu dalam ayat ini juga disebutkan beberapa hukum lain yang berkaitan dengan pembunuhan mengikut keadaan seperti berikut iaitu: 

  • Apabila orang yang terbunuh adalah seorang mukmin sedangkan walinya kafir harbi (yang memerangi kaum mukminin), maka tidak ada diyat bagi mereka. Dalam hal ini orang yang membunuh mesti membebaskan seorang hamba yang beriman. 
  • Apabila para wali orang yang terbunuh adalah ahli zimmah (kafir zimmi) yang telah mengikat perjanjian damai dengan kaum mukminin, maka mereka berhak menerima diyat. Apabila yang terbunuh adalah seorang mukmin maka wajib dibayar diyat dengan sempurna kepada keluarganya dan pembunuh wajib membebaskan seorang hamba sahaya yang mukmin. 
  • Namun begitu sekiranya pembunuh tidak mempunyai hamba sahaya yang beriman atau tidak mampu membelinya untuk dimerdekakan, maka hendaklah dia berpuasa selama dua bulan berturut-turut sehingga selesai sebagai kaffarah atau bertaubat kepada Allah. Sekiranya dia berbuka tanpa uzur seperti sakit, haid atau nifas dia perlu mengulangi puasanya dari awal. 

Allah Maha Mengetahui hakikat urusan hamba-hambaNya juga Maha Bijaksana dalam urusan menentukan syariat kepada hamba-hambaNya. 

Ayat 93

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَآؤُهُۥ جَهَنَّمُ خَـٰلِدًا فِيهَا وَغَضِبَ ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُۥ وَأَعَدَّ لَهُۥ عَذَابًا عَظِيمًا

Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.

Allah swt menjelaskan hukuman terhadap orang yang membunuh orang mukmin dengan sengaja. Kaffarah (penebus) tidak bermanfaat sama sekali kerana Allah swt telah menetapkan neraka sebagai balasan. 

Qisas atau diyat wajib dilaksanakan sekiranya pihak wali bagi mangsa tidak memaafkan pembunuh. Sekiranya pihak wali inginkan diyat daripada pihak pembunuh, maka wajib pihak pembunuh menyerahkan diyat tersebut. 

Sekiranya pihak mangsa menuntut qisas, maka wajib diqisas kerana itu adalah hak mereka. Jika pihak wali memaafkan pembunuh, maka itu juga adalah hak mereka, dan pahala memberikan kemaafan ada di sisi Allah Ta’ala. Hukum qisas dan diyat ini juga disebutkan dalam surah yang lain, firmanNya: 

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu qisas berkenaan dengan orang-orang yang dibunuh, orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba, dan wanita dengan wanita. Maka sesiapa yang mendapat kemaafan daripada saudaranya, hendaklah (yang memaafkan) mengikuti dengan cara yang baik, dan hendaklah (yang diberi maaf) membayar (diyat) kepada yang memberi maaf dengan cara yang baik (pula). Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Rabb kamu dan suatu rahmat. Sesiapa yang melampaui batas sesudah itu, maka baginya seksa yang sangat pedih.” 

Al-Baqarah 2:178 

Hukuman qisas ialah pembalasan yang sama terhadap kesalahan yang dilakukan iaitu pelaku kejahatan dibalas sama seperti yang dia lakukan. Apabila dia membunuh maka dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas nyawa), dia memotong anggota tubuh badan orang lain maka balasannya anggota tubuhnya juga dipotong.