Allah Swt Bersumpah akan Menghimpunkan Manusia pada Hari Kiamat
Surah 4: An-Nisa’ (87)
Ayat 87
ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ۚ لَيَجْمَعَنَّكُمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ لَا رَيْبَ فِيهِ ۗ وَمَنْ أَصْدَقُ مِنَ ٱللَّهِ حَدِيثًا
Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?
Ayat, “Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia.” adalah penjelasan Allah Swt kepada seluruh makhluk-Nya tentang tauhid Uluhiyyah-Nya atau keesaan-Nya dalam hak peribadahan hanya semata-mata kepada-Nya. Ini kerana dengan sifat Rububiyyah-Nya, hanya Dia sahaja yang mencipta, mengatur dan memberikan nikmat sama ada yang nampak ataupun yang tersembunyi kepada semua makhluk-Nya. Oleh itu hanya Dia yang berhak untuk makhluk memperhambakan diri.
Allah Swt bersumpah akan menghimpunkan seluruh manusia bermula daripada penciptaan pertama hingga terakhir di satu tempat iaitu pada Hari Kiamat. Dia-lah yang akan memberikan balasan terhadap perbuatan yang dikerjakan oleh hamba-hamba-Nya.
Hari Kiamat benar-benar akan terjadi dan tidak ada keraguan tentangnya kerana terdapat dalil ‘aqli dan dalil naqli padanya. Dalil ‘aqli adalah apa yang kita saksikan, seperti disuburkan bumi setelah keringnya dan diciptakan makhluk yang sebelumnya tidak ada. Oleh itu sudah pasti membangkitkan makhluk setelah mati lebih mudah bagi Allah Swt daripada menciptakan daripada yang sebelumnya tidak ada.
Demikian juga berdasarkan hikmah-Nya (kebijaksanaan-Nya), Dia yang menetapkan bahawa Dia tidaklah menciptakan makhluk-Nya dengan sia-sia. Mereka hidup dan akan mati yang kemudiannya akan menerima balasan. Manakala dalil naqli adalah pemberitaan daripada yang paling benar ucapan-Nya, iaitu Al-Quran, bahkan Allah Swt bersumpah terhadap kebenarannya.
Oleh itu, pertanyaan Allah Swt, “Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” adalah bermaksud tidak ada satu pun yang lebih benar daripada-Nya dalam perkataan, pemberitaan, janji dan ancaman-Nya. Maka tidak ada Ilah yang lebih berhak diibadahi dengan benar selain Allah Swt dan tiada Rabb selain-Nya.