Surah 4: An-Nisa’ (74 – 76)

Dorongan Berjihad pada Jalan Allah

Surah 4: An-Nisa’ (74 – 76)


Ayat 74

فَلْيُقَـٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يَشْرُونَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا بِٱلْـَٔاخِرَةِ ۚ وَمَن يُقَـٰتِلْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَيُقْتَلْ أَوْ يَغْلِبْ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur Syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.

Ayat ini ditujukan kepada orang-orang mukmin supaya mengutamakan kehidupan akhirat atas kehidupan dunia ini agar menyiapkan diri mereka untuk berjihad melawan musuh. Sesiapa yang berjihad pada jalan Allah swt dengan ikhlas sama ada gugur atau mendapat kemenangan, maka dia akan mendapat balasan pahala yang besar di sisiNya.   

Kemenangan daripada Allah swt adalah dengan bertambah keimanan, mendapat ghanimah (harta rampasan perang) dan pujian yang indah serta pahala yang disiapkan Allah swt untuk para mujahid berupa syurga. 

Ayat 75

وَمَا لَكُمْ لَا تُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلْوِلْدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخْرِجْنَا مِنْ هَـٰذِهِ ٱلْقَرْيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهْلُهَا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا وَٱجْعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا

Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas dari kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Makkah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim, dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami), dan jadikanlah bagi kami dari pihakMu seorang pemimpin yang membela kami (dari ancaman musuh)”.

Pertanyaan Allah swt dalam ayat ini adalah sebagai dorongan kepada hamba-hambaNya yang beriman agar berjihad bagi membela agamaNya dan menyelamatkan orang-orang yang lemah daripada kalangan lelaki, perempuan dan anak-anak kecil yang dizalimi di Mekah. Mereka ini tidak berdaya untuk membebaskan diri daripada kezaliman kecuali dengan memohon kepada Allah swt agar mereka dikeluarkan dari negeri mereka. Mereka juga memohon agar diberi perlindungan dan pertolongan dari sisiNya. 

Maksud membela mereka ialah membela orang-orang yang ditahan oleh orang-orang kafir daripada berhijrah dan disakiti, lalu mereka berdoa. Allah swt mengabulkan permohonan mereka, Dia memudahkan mereka berhijrah dan sebahagian lagi tetap tinggal di Mekah sehingga tiba Fathu Makkah (penaklukan Kota Mekah). Ketika Fathu Makkah, Rasulullah saw mengangkat ‘Ataab bin Usaid sebagai pegawai di Mekah. Dia mengembalikan semula hak orang-orang yang dizalimi daripada orang-orang kafir Quraisy. 

Ayat 76

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ يُقَـٰتِلُونَ فِى سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَـٰتِلُوٓا۟ أَوْلِيَآءَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۖ إِنَّ كَيْدَ ٱلشَّيْطَـٰنِ كَانَ ضَعِيفًا

Orang-orang yang beriman, berperang pada jalan Allah; dan orang-orang yang kafir pula berperang pada jalan Taghut (Syaitan). Oleh sebab itu, perangilah kamu akan pengikut-pengikut Syaitan itu, kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah.

Orang-orang yang beriman dengan benar, mereka berjihad untuk membela kebenaran dan mendapatkan keredhaan Allah swt. Sedangkan orang-orang kafir berperang untuk membela kezaliman dan mengadakan kerosakan di muka bumi. 

Oleh itu, Allah swt menyuruh orang-orang mukmin memerangi orang-orang kafir dan musyrik yang menyerahkan kesetiaan mereka kepada syaitan dan mentaati perintahnya. Sesungguhnya pengaturan syaitan terhadap orang-orang yang setia kepadanya adalah lemah. Firman Allah: 

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya.” 

An-Nahl 16:99