Surah 4: An-Nisa’ (71)

Kewajipan Bersiap-siaga dan Berwaspada terhadap Serangan Musuh

Surah 4: An-Nisa’ (71)


Ayat 71

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ خُذُوا۟ حِذْرَكُمْ فَٱنفِرُوا۟ ثُبَاتٍ أَوِ ٱنفِرُوا۟ جَمِيعًا

Wahai orang-orang yang beriman, bersedialah dan berjaga-jagalah (sebelum kamu menghadapi musuh), kemudian (bila dikehendaki) maralah (ke medan perang) sepuak demi sepuak, atau (jika perlu) maralah serentak beramai-ramai.

Allah swt memerintahkan hamba-hambaNya yang beriman agar sentiasa berwaspada terhadap musuh mereka. Mereka mesti mempersiapkan diri dan peralatan perang serta memperbanyakkan pasukan ketenteraan yang siap memerangi musuh. Selain itu, mereka perlu merancang strategi peperangan supaya umat Islam mendapat kemenangan yang gemilang. FirmanNya: 

“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan daripada kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Apa sahaja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” 

Al-Anfal 8:60