Surah 4: An-Nisa’ (64 – 70)

Keimanan yang Hakiki

Surah 4: An-Nisa’ (64 – 70)


Ayat 64

وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا لِيُطَاعَ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ وَلَوْ أَنَّهُمْ إِذ ظَّلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ جَآءُوكَ فَٱسْتَغْفَرُوا۟ ٱللَّهَ وَٱسْتَغْفَرَ لَهُمُ ٱلرَّسُولُ لَوَجَدُوا۟ ٱللَّهَ تَوَّابًا رَّحِيمًا

Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

Allah swt menegaskan bahawa setiap kali Dia mengutuskan seorang rasul kepada manusia, Dia pasti memerintahkan mereka taat kepada rasul utusanNya itu. Manusia wajib mengikuti rasul kerana mereka adalah penyampai ajaranNya. Sesiapa yang taat kepada para rasul bererti taat kepadaNya dan sesiapa yang menentang para rasul bererti menderhakaiNya. 

Mujahid menyatakan yang dimaksudkan بِإِذْنِ اللَّهِ (“dengan izin Allah,”) dalam ayat di atas ialah tidak ada seorang pun yang taat kepada Rasulullah saw melainkan dengan izin Allah swt, iaitu tidak ada seorang pun yang mentaati rasul kecuali setelah dia mendapat taufik daripadaNya. 

Seterusnya Allah swt menyuruh orang-orang yang telah melakukan maksiat dan dosa, datang kepada Rasulullah saw untuk meminta ampun kepadaNya di sisinya dan meminta kepada Baginda untuk memohonkan keampunan bagi mereka. Jika mereka melakukan demikian, Dia pasti akan menerima taubat mereka, mengasihi dan mengampuni mereka. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. 

Ayat 65

فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا

Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.

Imam Bukhari meriwayatkan daripada ‘Urwah dia berkata:  

“Az-Zubair bertengkar dengan seorang Ansar dalam masalah saliran air yang ada di Hurrah (salah satu tempat di Madinah yang banyak batunya). Nabi saw bersabda, “Siramilah kebunmu wahai Az-Zubair, kemudian alirkanlah kepada jiranmu itu.” Orang Ansar itu berkata, “Wahai Rasulullah, apakah kerana dia adalah anak kepada bapa saudaramu (sehingga dia didahulukan)?” Maka berubahlah wajah Rasulullah saw (menunjukkan kemarahan), lalu bersabda, “Wahai Az-Zubair, siramlah kebunmu lalu tahanlah air sampai (penuh) ke pangkal-pangkal pokok, kemudian barulah engkau alirkan ke jiranmu.” Nabi saw memberikan Az-Zubair semua hak kepadanya dalam membuat keputusan secara tegas, selepas orang Ansar tersebut membuat Baginda marah. Padahal sebelumnya Baginda telah memberi keputusan dengan mengarahkan perkara yang mengandungi keluasan bagi kedua-duanya. Az-Zubair berkata, “Aku kira ayat ini tidaklah turun kecuali berkenaan dengan masalah itu.” 

Allah swt bersumpah dengan diriNya Yang Maha Mulia, bahawa seseorang itu tidak beriman sehingga dia berhukum dengan apa yang diputuskan oleh Rasulullah saw dalam seluruh perkara. Apa sahaja hukum yang diputuskannya, itulah kebenaran yang wajib dipatuhi seluruhnya. 

Kemudian apabila mereka berhukum dengannya, bermakna mereka mentaati Baginda dalam hati dan dalam jiwa mereka tidak ada perasaan berat terhadap apa yang telah Baginda putuskan. Mereka mematuhinya secara zahir dan batin serta menerimanya sepenuhnya tanpa bangkangan. 

Ayat 66

وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ ٱقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ أَوِ ٱخْرُجُوا۟ مِن دِيَـٰرِكُم مَّا فَعَلُوهُ إِلَّا قَلِيلٌ مِّنْهُمْ ۖ وَلَوْ أَنَّهُمْ فَعَلُوا۟ مَا يُوعَظُونَ بِهِۦ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُمْ وَأَشَدَّ تَثْبِيتًا

Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).

Allah swt menyatakan bahawa sekiranya Dia mewajibkan orang-orang munafik yang berhukum dengan taghut itu agar mereka membunuh sebahagian yang lain seperti yang berlaku pada kaum Bani Israil tidaklah ada yang mahu menyahutnya kecuali sebahagian kecil sahaja. Perkara yang sama juga akan berlaku sekiranya Dia mewajibkan mereka agar meninggalkan rumah kerana berhijrah kepadaNya. 

Sekiranya orang-orang munafik ini taat kepada Allah dan melaksanakan apa yang diperintahkan serta meninggalkan maksiat yang dilarang, pastilah itu akan bermanfaat bagi mereka dan akan lebih menguatkan keimanan mereka. 

Ayat 67

وَإِذًا لَّـَٔاتَيْنَـٰهُم مِّن لَّدُنَّآ أَجْرًا عَظِيمًا

Dan (setelah mereka berkeadaan demikian), tentulah Kami akan berikan kepada mereka – dari sisi Kami – pahala balasan yang amat besar;

Allah swt berjanji akan memberikan mereka pahala yang begitu besar dari sisiNya pada Hari Kiamat kelak. 

Ayat 68

وَلَهَدَيْنَـٰهُمْ صِرَٰطًا مُّسْتَقِيمًا

Dan tentulah Kami pimpin mereka ke jalan yang lurus.

Allah swt juga berjanji akan memberi petunjuk kepada mereka ketika di dunia dengan memudahkan mereka menempuhnya dan tidak terkeluar daripada landasan yang telah ditetapkanNya. Ini merupakan satu nikmat iaitu apabila keimanan dan urusan kehidupannya dijaga oleh Allah swt. 

Ayat 69

وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ مَعَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمَ ٱللَّهُ عَلَيْهِم مِّنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ وَٱلصِّدِّيقِينَ وَٱلشُّهَدَآءِ وَٱلصَّـٰلِحِينَ ۚ وَحَسُنَ أُو۟لَـٰٓئِكَ رَفِيقًا

Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).

Ibnu Mardawaih meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa seorang lelaki datang menemui Nabi saw dan berkata: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri, lebih aku cintai daripada keluargaku sendiri. Sungguh, ketika aku berada di rumah lalu teringat akan dirimu dan aku tidak sabar untuk datang menemuimu dan melihatmu. Apabila aku teringat akan kematianku dan kematianmu, aku tahu apabila engkau masuk syurga, maka engkau akan bersama para nabi, dan apabila aku masuk syurga aku tidak dapat melihatmu.” Nabi tidak membalas perkataannya hingga turun ayat ini. 

Dalam ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa orang-orang yang melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya dan RasulNya iaitu Nabi Muhammad saw, mereka pasti akan ditempatkan oleh Allah swt di tempat yang mulia iaitu syurga. 

Mereka akan berada bersama-sama orang-orang yang diberikan kenikmatan di syurga. Mereka itu terdiri daripada para nabi, siddiqin yang membenarkan dengan keimanan yang sempurna terhadap apa-apa sahaja yang dibawa oleh para rasul, orang-orang yang mati syahid pada jalan Allah swt dan kaum mukminin yang soleh. Allah swt memuji mereka kerana mereka adalah sebaik-baik teman di syurga. 

Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:  

“Tidak ada seorang nabi pun yang menderita sakit, kecuali akan disuruh memilih antara dunia atau akhirat.” Dan pada saat Baginda sakit, menjelang wafatnya terdengar Baginda bersabda: “Bersama orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, siddiqin, syuhada’, dan  solihin.” Maka aku tahu, bahawa Baginda telah diberikan pilihan. 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam hadis yang lain: “Ya Allah, (aku memilih bersama) ar-rafiiqul a’la.” Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali, kemudian Baginda wafat. (Ya Allah berilah selawat dan salam ke atas Baginda). 

Ayat 70

ذَٰلِكَ ٱلْفَضْلُ مِنَ ٱللَّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِٱللَّهِ عَلِيمًا

Yang demikian itu adalah limpah kurnia dari Allah; dan cukuplah Allah Yang Maha Mengetahui (akan balasan pahalanya).

Pemberian nikmat tersebut adalah daripada Allah swt semata-mata. Cukuplah Dia Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya. Dia sahaja yang mengetahui orang-orang yang berhak memperoleh pahala yang besar melalui amal-amal soleh yang telah mereka usahakan ketika di dunia dahulu. Oleh itu segala pembalasan amal dilakukan dengan adil dan kasih sayang.